Susulan perlu menjalani rawatan kesihatan dan menanggung anak-anak, suami kepada pelakon Azar Azmi memohon pertimbangan pihak mahkamah untuk mengurangkan wang jaminan sebanyak RM25,000.
Artikel Berkaitan: [VIDEO] Azar Azmi Kongsi Detik Sukar Selepas Dibebaskan – ‘Keluar Dari Situ, Saya Ada RM28 Saja’
Artikel Berkaitan: [VIDEO] ‘Cemburu Tengok Pasangan Lain..Saya Lebih Kepada Menjaga Anak, Sebab Itu Saya Bertahan’ – Azar Azmi
Suami Azar mohon

Berdasarkan laporan Sinar Harian, Mohd Apri Hazreen Mohd Sapri, 41, memohon perkara tersebut kepada Hakim Mohamad Kamil Nizam semasa prosiding sebutan semula kes di Mahkamah Sesyen Seremban pada Rabu.
Difahamkan Mohd Apri hadir ke mahkamah dalam keadaan sebelah kakinya terhincut-hincut dan baru sahaja keluar dari hospital.
Saya sebenarnya baharu keluar dari hospital. Kalau boleh saya nak minta jaminan dikurangkan kerana saya perlu menggunakan duit untuk buat ekokardiogram dan angiogram.
Saya dah tanya hospital, kos untuk prosedur tersebut antara RM9,000 ke RM10,000. Saya juga perlu duit untuk perbelanjaan anak-anak kerana tiada siapa yang tanggung.
Selain itu, Mohd Apri juga memaklumkan dia baharu sahaja menjalani pembedahan gout dan belum bersedia mengikut setiap syarat-syarat yang ditetapkan oleh mahkamah.
Timbalan Pendakwa Raya, Nadia Ezzati Mohd Zainal memohon mahkamah untuk mengekalkan jumlah jaminan tersebut kerana kes itu melibatkan jenayah komersial serius.
Menurutnya, tertuduh sehingga kini tidak kemukakan sebarang bukti berkenaan sakit atau rawatan yang diperlukan.
Mahkamah kemudian membenarkan jaminan dikurangkan kepada RM21,000 dan syarat-syarat tambahan masih ditetapkan.
Dalam masa sama, di Mahkamah Majistret, Mohd Apri juga memohon jumlah jaminan RM3,000 dikurangkan atas alasan sama namun, permohonan tersebut ditolak oleh Majistret Nurul Saqinah Rosli.
Sebutan semula kes akan ditetapkan 20 Mei hadapan untuk lantikan peguam bagi kedua-dua pertuduhan.
Untuk info, Mohd Apri sebelum ini mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menipu membabitkan urusan penjualan tanah kurniaan tidak wujud sehingga menyebabkan kerugian lebih RM200,000 tahun lalu.
Mohd Apri turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memperdaya seorang lelaki berusia 49 tahun dengan menipu untuk membuat pembayaran sebanyak RM23,120 bagi urusan mendapatkan darjah kebesaran membawa gelaran Datuk yang tidak wujud.
Sumber: Sinar Harian
The post Suami Azar Azmi Jalan Terhincut, Mohon Wang Jaminan Dikurangkan – ‘Kos Rawatan & Perbelanjaan Anak-Anak Perlu Tanggung’ first appeared on OHBULAN!.





