Kerajaan memberi keutamaan terhadap aspek keselamatan rakyat Malaysia yang menyertai Global Sumud Flotila (GSF) 2.0 berikutan tindakan Israel menahan peserta misi itu di perairan antarabangsa, semalam.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan memandang serius insiden berkenaan, yang disifatkan sebagai tindakan tidak menghormati prinsip kemanusiaan dan melanggar undang-undang antarabangsa.
“Tentunya kita doakan keselamatan, bukan sahaja rakyat Malaysia tapi rakyat negara lain yang terlibat dalam pertahanan oleh rejim zalim Israel dan kebanyakan mereka itu ditahan di perairan antarabangsa.
“Ini kerja gila dan tidak menghormati langsung prinsip. Ini bukan masuk langgar kawasan Israel lagi, masih kawasan antarabangsa. Demikianlah kezaliman yang berterusan,” kata beliau kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Nurul Iman, di Rawang hari ini.
Anwar turut mengecam tindakan provokatif Israel yang berterusan melancarkan serangan ke atas beberapa wilayah termasuk Gaza, Lubnan dan Iran, selain sengaja menghalang usaha bantuan kemanusiaan.

“Dia (Israel) tak puas hati dengan bunuh wanita dan anak-anak, dia tak puas hati menyerang Iran, menyerang Lubnan, menyerang Gaza dan sekarang orang lain nak bantu, bukan bawa senjata (tetapi) bawa makan, minum dan ubatan dan beberapa kelengkapan pakaian,” kata Anwar.
Perdana Menteri berkata kerajaan telah menggerakkan usaha diplomatik dengan menghubungi Kementerian Luar serta negara sahabat bagi mencari jalan penyelesaian segera.
“Mudah-mudahanlah kita sedang ikhtiar. Saya dah hubungi kementerian luar dan kita hubungi negara sahabat. Yang mana saya boleh hubungi, saya akan hubungi insya-Allah,” kata beliau.
Semalam, Ketua Pengarah Sumud Nusantara Command Center (SNCC) Datuk Sani Araby Abdul Alim Araby memaklumkan 175 aktivis telah diculik dan dibawa ke Israel menggunakan kapal laut milik rejim Zionis termasuk 10 rakyat Malaysia.





