Menteri Belia dan Sukan, Dr Taufiq Johari, menggesa siasatan menyeluruh dan telus dilakukan terhadap kes kematian murid sebuah sekolah kebangsaan Kedah, Nur Qaira Alisha Ahmad Ilwan.
Taufiq berkata pihak berkuasa pendidikan telah menjalankan siasatan susulan aduan yang dikemukakan keluarga pelajar malang terbabit berhubung kejadian pada 14 April lalu.
Menurutnya, semua aspek berkaitan kejadian itu perlu diteliti dan pihak yang berkaitan wajar diberikan ruang untuk memberikan keterangan serta penjelasan.
"Saya ingin menegaskan bahawa perkara ini perlu disiasat dengan teliti, menyeluruh, telus dan berintegriti.
"Tiada mana-mana aspek yang berkaitan dengan kejadian ini wajar diketepikan, dan semua pihak yang berkaitan perlu diberi ruang untuk memberikan keterangan serta penjelasan.
"Saya juga berpandangan bahawa keluarga allahyarhamah berhak mendapat penjelasan yang jelas, menyeluruh dan berasaskan fakta mengenai apa yang telah berlaku," katanya dalam kenyataan hari ini.
Allahyarhamah Nur Qaira merupakan pelajar Sekolah Kebangsaan Bukit Pak Kiau di Pokok Sena dan dilaporkan sudah berdepan masalah jantung sejak berusia tiga bulan.

Disebabkan keadaan kesihatannya, murid berusia 11 tahun itu dikecualikan daripada menyertai kegiatan sukan di sekolah.
Namun, ibu bapanya mendakwa seorang guru mengarahkan murid tahun empat terbabit menyertai acara larian semasa pengundian rumah sukan pada 15 April lalu walaupun pihak sekolah telah menerima surat perubatan berhubung penyakit dialaminya.
Nur Qaira kemudian meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah, Kedah.
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata dia dimaklumkan bahawa Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah telah menjalankan siasatan berhubung aduan keluarga Nur Qaira.
Fadhlina berkata dia turut mengarahkan Unit Integriti Kementerian Pendidikan mengambil tindakan lanjut.
"Saya telah dimaklumkan bahawa JPN Kedah telah menjalankan siasatan berhubung aduan yang dikemukakan oleh keluarga," kata Fadhlina.
Sementara itu, Taufiq menegaskan tindakan sewajarnya perlu diambil sekiranya siasatan mendapati berlaku kecuaian, pelanggaran peraturan atau salah laku.
“Dalam perkara yang melibatkan keselamatan dan kebajikan murid, kita tidak boleh mengambil mudah atau berkompromi terhadap sebarang kelemahan yang dikenal pasti,” katanya.
Bagaimanapun, dia yang juga Ahli Parlimen Sungai Petani mengingatkan agar proses siasatan diberikan ruang untuk berjalan secara adil dan profesional tanpa membuat sebarang kesimpulan sebelum semua fakta diperoleh serta diteliti.





