KOMENTAR | Insiden keganasan terhadap umat Islam di beberapa wilayah Nepal baru-baru ini – termasuk masjid dirosakkan, naskhah al-Quran dibakar, dan komuniti Muslim ditindas – tentu eninggalkan luka yang amat mendalam.
Bagaimanapun, apabila banjir bandang melanda lembah sungai di utara Nepal, timbul naratif di media sosial yang meraikan tragedi tersebut sebagai "balasan azab" daripada Allah.
Naluri manusia memang sentiasa dahagakan keadilan, namun tindakan mengaitkan bencana alam sebagai hukuman Ilahi secara sembarangan adalah menyeleweng daripada teologi Islam dan akhlak nabawi.
Dalam Islam, menetapkan secara khusus bahawa sesuatu bencana adalah hukuman Allah memerlukan wahyu. Ia merupakan suatu jalur komunikasi yang terhenti selepas kewafatan Nabi Muhammad SAW.
Mendakwa kita mengetahui motif Ilahi yang tidak diwahyukan adalah suatu bentuk kesombongan rohani (kibr).
Tambahan pula, menganggap penduduk desa yang terkorban dalam banjir itu sebagai "kaum yang dilaknat" bercanggah secara langsung dengan ajaran baginda.

Dalam Sahih Bukhari, Rasulullah secara jelas mengklasifikasikan mereka yang mati lemas atau dihempap runtuhan sebagai syahid akhirat (shuhada al-akhirah).
Keganasan terhadap umat Islam berlaku di kawasan dataran selatan (Terai), manakala banjir besar melanda komuniti pergunungan di Rasuwa dan Nuwakot terletak ratusan kilometer di utara.
Menyalahkan penduduk kawasan tanah tinggi atas jenayah yang dilakukan di tempat lain mencabuli prinsip keadilan Islam: "Dan seseorang yang berdosa tidak akan memikul dosa orang lain" (al-An'am : 164).
Akhlak nabawi, sifat dengki
Etika Islam melarang keras sifat shamatah iaitu gembira atas penderitaan atau musibah yang menimpa orang lain. Semasa Rasulullah disakiti di Taif, malaikat Jibril menawarkan untuk menghempap kota tersebut dengan dua gunung.
Muhammad bahkan menolak, sebaliknya memilih sifat kasih sayang (rahmah) dan mendoakan hidayah buat penduduk bandar yang menyakiti baginda.
Pengikut Sunnah yang sejati akan mengutamakan ihsan dan bantuan kemanusiaan semasa krisis, bukannya keseronokan di media sosial.
Akhir sekali, andaian bahawa Allah "menunggu" beberapa hari atau minggu sebelum menurunkan pembalasan adalah tindakan memprojeksikan keterbatasan manusia ke atas Yang Maha Pencipta.

Pembalasan manusia terikat oleh masa, peranancangan, dan emosi yang tertangguh. Namun, kekuasaan Allah bersifat mutlak (al-qudrah): "Sesungguhnya keadaan kekuasaan-Nya apabila Ia menghendaki adanya sesuatu, hanyalah Ia berkata kepada sesuatu itu: 'Jadilah!' Maka ia terus jadi" (Yasin : 82).
Menganggap bahawa hukuman Ilahi memerlukan proses pembentukan cuaca atau penangguhan masa menjejaskan konsep kun fayakun.
Ketetapan Allah tidak memerlukan tempoh menunggu.
Tauhid yang hakiki menuntut kita memuliakan kekuasaan mutlak Allah tanpa memenjarakan hikmah-Nya dalam garis masa dendam manusia.
MUJAHIDIN ZULKIFFLI ialah seorang pengulas sosial dan politik.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.





