Setiap kali Jalur Gemilang dikibarkan sempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia, perhatian sering tertumpu kepada pengorbanan anggota keselamatan yang mempertahankan negara di barisan hadapan.
Namun, di sebalik operasi keselamatan dan penguatkuasaan undang-undang, terdapat juga barisan pegawai perundangan yang memikul amanah bagi memastikan ancaman terhadap kedaulatan negara diadili mengikut lunas undang-undang.
Tragedi pencerobohan bersenjata di Kampung Tanduo, Lahad Datu antara 12 Feb dan 10 April 2013 menyaksikan sembilan anggota pasukan keselamatan gugur sebagai wira negara.
Insiden itu menjadi antara contoh paling jelas bagaimana sistem keadilan berfungsi seiring dengan usaha mempertahankan keselamatan negara.
Pada 2024, Mahkamah Persekutuan mengekalkan hukuman mati terhadap tujuh lelaki – termasuk anak saudara Jamalul Kiram yang mengaku dirinya Sultan Sulu – kerana melancarkan peranang terhadap Yang di-Pertuan Agong.
Berkongsi mengenai kes itu, Peguam Negara Mohd Dusuki Mokhtar ketika itu bertugas sebagai timbalan pendakwa raya (DPP).
Dia yang mengendalikan perbicaraan kes berkenaan berkata kekuatan sebuah negara berdaulat ialah mempertahankan keselamatan negara dengan tegas tetapi pada masa yang sama memastikan tindakan terhadap mereka yang didakwa mengancam keselamatan negara dilaksanakan melalui proses undang-undang yang telus, adil dan berintegriti.

“Ada anggota keselamatan yang sanggup mempertaruhkan nyawa untuk mempertahankan tanah air dan selepas itu ada pula pegawai penyiasat, pendakwa raya, hakim serta pelbagai pihak lain yang mempunyai tanggungjawab masing-masing untuk memastikan keadilan terus ditegakkan.
“Kes itu adalah satu pengalaman yang amat mencabar kerana ia bukan sekadar melibatkan soal keselamatan negara tetapi turut menguji keteguhan institusi keadilan kita.
“Kami berdepan dengan kes yang kompleks, melibatkan ramai tertuduh, jumlah saksi yang besar serta bukti yang perlu diteliti dengan amat cermat,” katanya kepada Bernama.
Sudah tentu tersentuh
Mohd Dusuki menegaskan dalam keadaan sedemikian, tugas pendakwaan ialah memastikan setiap tindakan yang diambil berlandaskan undang-undang dan bukti, bukan didorong oleh emosi atau tekanan keadaan.
Pada masa sama, tambahnya, hak setiap tertuduh untuk mendapat perbicaraan yang adil perlu dihormati.
Menurut Mohd Dusuki, kes Lahad Datu juga mengingatkan dia bahawa di sebalik kejayaan sesuatu prosiding undang-undang, terdapat pengorbanan dan komitmen banyak pihak.
Katanya ia bermula anggota keselamatan yang berada di lapangan, pegawai penyiasat, pendakwa raya, hakim serta pegawai kehakiman sehingga kepada semua yang terlibat dalam memastikan keterangan dan bukti dapat dikemukakan di mahkamah.

Ketika ditanya sejauh mana kes itu memberi kesan kepadanya, Mohd Dusuki berkata sebagai DPP, dia melihat kes itu dari sudut profesional dan tanggungjawab undang-undang.
Katanya sesuatu kes yang mempunyai implikasi besar kepada keselamatan negara perlu dikendalikan dengan penuh ketelitian, ketegasan dan integriti.
Sebagai rakyat Malaysia pula, katanya, kes Lahad Datu mengukuhkan lagi makna mempertahankan kedaulatan negara.
“Di sebalik fail, keterangan dan prosiding mahkamah itu terdapat sebuah kisah yang menyentuh soal keselamatan dan kedaulatan negara.
“Apabila mengetahui anggota keselamatan kita berdepan dengan ancaman sebenar di lapangan, perasaan sebagai seorang rakyat sudah tentu turut tersentuh,” katanya.
Berlangsung sebaik mungkin
Mohd Dusuki mengakui dalam perbicaraan yang besar seperti kes Lahad Datu, ada detik-detik tertentu yang bukan sahaja menguji ketahanannya sebagai pegawai undang-undang tetapi turut menyentuh hati sebagai rakyat Malaysia.
Dia berkata antara perkara yang paling sukar ialah mendengar keterangan berkaitan apa yang berlaku di lapangan, khususnya apabila menggambarkan keberanian dan pengorbanan anggota keselamatan yang berada dalam keadaan amat bahaya.
“Pada ketika itu, kami sedar perkara yang sedang kami teliti di dalam mahkamah bukan sekadar dokumen atau keterangan saksi tetapi melibatkan nyawa manusia dan keselamatan negara.
“Namun begitu, sebagai pendakwa raya, kami perlu belajar untuk memisahkan perasaan peribadi daripada tanggungjawab profesional.
“Walaupun sesuatu keterangan itu amat menyentuh hati, tugas kami ialah untuk menilai fakta dan bukti secara objektif serta memastikan kes dikemukakan berdasarkan undang-undang.
“Saya juga tidak lupa di sebalik sesuatu pertuduhan, terdapat keluarga yang terkesan dan kehidupan manusia yang berubah selama-lamanya,” katanya.
Justeru, Mohd Dusuki berkata pihak pendakwaan perlu lebih berhati-hati dalam melaksanakan tanggungjawab kerana keadilan bukan tentang memastikan satu pihak menang atau satu pihak kalah tetapi tentang memastikan proses undang-undang dilaksanakan dengan sebaik-baiknya.

Katanya kes Lahad Datu mendapat perhatian di dalam dan luar negara, oleh itu pasukan pendakwaan sentiasa berpegang kepada prinsip setiap tertuduh mempunyai hak untuk mendapatkan perbicaraan yang adil.
Pada masa yang sama, dia berkata, menjadi tanggungjawab pendakwaan untuk mengemukakan kes berdasarkan bukti yang ada dan memastikan setiap pertuduhan dibuktikan mengikut kehendak undang-undang.
Selepas lebih sedekad berlalu, Mohd Dusuki berharap agar tragedi seperti Lahad Datu tidak akan berulang lagi, manakala pengorbanan mereka yang telah mempertahankan tanah air menjadi iktibar kepada kita semua.
“Semoga generasi akan datang dapat mewarisi sebuah Malaysia yang aman, berdaulat dan terus berdiri teguh sebagai sebuah negara yang menjunjung kedaulatan undang-undang.
“Sempena Hari Kebangsaan ini, hargailah keamanan yang kita ada, kenanglah pengorbanan mereka yang terdahulu dan lakukanlah bahagian kita untuk memastikan Malaysia terus menjadi sebuah negara yang aman, bersatu dan berdaulat,” tegasnya.





