Pempengaruh, Diva M, tidak dapat menahan sebak ketika menggunting rambut kira-kira 40 warga emas di Rumah Seri Kenangan (RSK) Cheras, pada Selasa.
Artikel Berkaitan: [VIDEO] Diva M Syukur Tak Buang Alat Kelamin, Kembali Ke Fitrah Selepas 15 Tahun Pakai Implan Payudara
‘Bukan sekadar program amal’ – Diva M

Diva M, 37, memilih untuk menggunakan kemahirannya sebagai pengusaha salun bagi berkongsi rezeki dengan penghuni Rumah Seri Kenangan (RSK) Cheras menerusi satu program amal sempena sambutan Maulidur Rasul.
Tidak hanya memberikan khidmat secara peribadi, pempengaruh berkenaan turut membawa bersama 15 kakitangan untuk membantu memberikan perkhidmatan gunting rambut percuma kepada kira-kira 40 warga emas, termasuk penghuni yang terlantar.
Bagi Diva M, program tersebut bukan sekadar aktiviti amal, malah mempunyai nilai sentimental buat dirinya kerana mengingatkan kepada arwah ayah dan ibunya.
Sebenarnya apabila saya tengok warga emas di sini, saya teringat kepada mak dan ayah. Walaupun ayah sudah tiada, saya tetap teringat kepada mak kerana usia mereka di sini lebih kurang sama dengan usia mak saya.
Jadi saya rasa Allah berikan saya satu peluang yang sangat besar untuk membantu orang yang mungkin memerlukan kasih sayang dan perhatian seperti keluarga sendiri,
Pemilik nama Mohd Muzakir itu berkata, hasrat untuk menganjurkan program berkenaan sebenarnya sudah lama disimpan sebelum mendapat kesempatan untuk direalisasikan pada sambutan Maulidur Rasul kali ini.
Saya sudah rancang mengadakan program amal ini sejak dua minggu lalu dan pilih tarikh ini sempena sambutan Maulidur Rasul. Niat sudah lama ada dan Allah SWT yang gerakkan serta izinkan semuanya.
Ini kali pertama saya anjurkan program amal potong rambut dan pilih RSK Cheras kerana melihat penghuninya yang terdiri daripada berbilang kaum.
Satu pengalaman baharu buat saya kerana sebelum ini pernah potong rambut arwah ayah, malah masih bantu potong rambut emak sampai sekarang. Kali ini dapat bantu warga emas yang lain pula.
Dalam masa sama, Diva M menghargai peluang yang diberikan pihak RSK Cheras serta Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk menjayakan inisiatif tersebut.
Katanya, dia sanggup mengetepikan operasi salunnya untuk sehari kerana mahu meluangkan masa bersama penghuni dan memanfaatkan kemahiran yang dimiliki untuk tujuan kebajikan.
Alhamdulillah, terima kasih kepada RSK dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kerana beri kerjasama.
Saya ada kelebihan dalam bidang potong rambut, jadi saya fikir kenapa tidak saya gunakan kemahiran yang saya ada untuk membantu orang lain.
Mungkin bagi sesetengah orang, potong rambut itu perkara kecil, tetapi bagi saya ia sangat berharga kerana bukan semua orang mempunyai kemahiran ini
Saya sanggup tutup salun hari ini untuk luangkan masa dengan penghuni dan harap apa dilakukan dapat menjadi saham akhirat juga buat saya.
Pengalaman tersebut turut membuka ruang buat Diva M untuk meneruskan usaha sama pada masa akan datang, malah dia tidak menolak kemungkinan menganjurkan lebih banyak program kebajikan.
Harap diteruskan lagi

Sementara itu, Pembantu Pembangunan Masyarakat RSK Cheras, Muhammad Asyraf Muhamad Kefri, menyambut baik inisiatif yang dilakukan Diva M terhadap penghuni pusat berkenaan.
Menurutnya, usaha seperti itu memberi peluang kepada masyarakat luar untuk lebih dekat dengan kehidupan warga emas di RSK Cheras.
Kami di sini terharu dengan usaha Diva M dalam menganjurkan program ini. Kalau boleh, teruskan lagi pada masa akan datang.
Sebelum ini, ada juga pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang datang menyantuni penghuni menerusi khidmat memotong kuku dan gotong royong.
Aktiviti lain pula adalah senaman ringan bersesuaian penghuni yang terdiri daripada warga emas berusia 60 tahun ke atas.
The post [VIDEO] Tutup Salun Demi 40 Warga Emas, Diva M Anggap Amal Saham Akhirat first appeared on OHBULAN!.





