34.6 C
Kuala Lumpur
Saturday, August 29, 2026
IKLANShopee SaleShopee Sale
More

    Artikel Terkini

    Tindakan terkait isu TH perlu diteruskan, ikut undang-undang

    Shopee Sale

    Siasatan berhubung isu yang dibangkitkan dalam laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Lembaga Tabung Haji (TH) akan diteruskan bagi memastikan negara tidak menanggung kerugian berterusan, kata Anwar Ibrahim.

    Perdana Menteri menegaskan tindakan sewajarnya perlu diambil jika hasil siasatan mendapati wujud sebarang kesalahan, namun proses berkenaan mesti berlandaskan bukti dan undang-undang.

    “Macam (siasatan RCI) Tabung Haji, apabila tidak ambil tindakan, negara akan rugi; (tetapi apabila) ambil tindakan, saya kena maki. Saya pun tidak faham.

    “Saya kata duit hilang RM12 bilion, macam mana hilang? Bila hilang? Siapa yang hilangkan? Hal itu (pihak berkuasa) siasat. Ada bukti, dakwa di mahkamah dan kemudian serah kepada hakim.

    “Itu cara kita perintah dan mentadbir," katanya ketika berucap pada majlis peluncuran Skim Usahawan Bangkit (SUB) Madani Permatang Pauh di Dewan Yayasan Aman, Penanti, Bukit Mertajam hari ini.

    Anwar berkata kerajaan tidak akan menghukum mana-mana pihak tanpa proses sewajarnya, namun tidak akan berkompromi sekiranya terdapat bukti kukuh wujud salah laku.

    Pada 29 Julai lalu Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menerbitkan laporan RCI setebal 211 halaman berhubung siasatan terhadap pengurusan dan operasi TH bagi tempoh 2014 hingga 2020.

    Laporan itu mendedahkan pelbagai penemuan kelemahan pengurusan institusi berkenaan bagi tempoh tersebut, selain mengemukakan 25 syor tindakan penambahbaikan dengan 75 peratus daripadanya telah dilaksanakan oleh TH setakat 30 Julai lepas.

    Mengulas lanjut, Anwar berkata usaha membanteras ketirisan perlu diteruskan kerana Malaysia mempunyai sumber kewangan yang besar, namun sebahagian manfaatnya tidak sampai kepada rakyat akibat kebocoran dalam pengurusan dana dan peruntukan negara.

    MENARIK:  Tuan Ibrahim persoal P Pinang dapat lebih peruntukan

    Dia yang juga menteri kewangan berkata usaha membendung ketirisan merupakan sebahagian daripada tanggungjawab kerajaan untuk memastikan setiap peruntukan yang disediakan dapat dimanfaatkan rakyat, khususnya golongan yang memerlukan.

    “Apa tujuan ambil tindakan? Supaya (dapat) halang ketirisan. Siapa kata Malaysia ini miskin? Bukan, (cuma bantuan) tidak sampai ke bawah sebab banyak bocor di tengah jalan,” katanya.

    Ramai tak manfaatkan kemudahan

    Sementara itu, perdana menteri menegaskan kerajaan kekal komited membantu semua lapisan masyarakat menerusi pelaksanaan pelbagai program dan inisiatif yang menyentuh keperluan rakyat secara langsung.

    Dia menambah bantuan kerajaan perlu merangkumi usaha membantu rakyat menjana pendapatan, mendapatkan pendidikan serta menguasai kemahiran dan teknologi.

    Kerajaan, kata Anwar, menyediakan pelbagai bantuan termasuk melalui Amanah Ikhtiar Malaysia, Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga Nasional (Tekun Nasional), Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (Sara), namun usaha memperkasakan rakyat untuk berdikari perlu terus dipertingkat.

    Dalam pada itu, Anwar berkata kerajaan akan terus memperkukuh perananan Pusat Sebaran Maklumat Nasional (Nadi), khususnya dalam membawa kemudahan teknologi dan kecerdasan buatan ke kawasan luar bandar.

    “Malaysia satu-satunya negara yang AI dan teknologi itu kita bawa ke daerah-daerah. Setiap DUN (Dewan Undangan Negeri) ada satu Nadi.

    “Kita menang pada peringkat dunia sebab kita buat Nadi sampai ke Pulau Banggi di hujung Sabah, namun kejayaan itu belum cukup kerana ramai yang tidak tahu apa itu Nadi.

    “Ramai yang tidak memanfaatkannya,” kata beliau.

    Terdahulu, Anwar menyerahkan sijil kepada enam pemohon yang berjaya dalam program BUD di Permatang Pauh.

    Latest Posts

    IKLANShopee Sale

    Mesti Baca

    Follow Facebook Portal Barang Murah