32.4 C
Kuala Lumpur
Saturday, August 29, 2026
IKLANShopee SaleShopee Sale
More

    Artikel Terkini

    Nyah warta hutan, Peka tanya: Apa yang ditakuti Pahang sebenarnya?

    Shopee Sale

    Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka) mempersoalkan keputusan kerajaan Pahang menolak keperluan mengadakan siasatan awam sebelum sesuatu hutan simpan kekal di negeri itu dinyah warta.

    Presidennya, Rajesh Nagarajan, berkata keputusan itu sangat membimbangkan kerana siasatan awam merupakan mekanisme penting bagi memastikan proses penyahwartaan hutan dilakukan secara telus dan bertanggungjawab.

    “Orang awam berhak mengetahui hutan mana yang akan dikorbankan, mengapa ia perlu dikorbankan, siapa yang mendapat manfaat dan apakah kesan terhadap alam sekitar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Menurut Rajesh, tiada sebab bagi kerajaan negeri untuk berasa bimbang terhadap siasatan awam sekiranya setiap cadangan penyahwartaan hutan benar-benar dibuat atas keperluan, bertanggungjawab dari segi alam sekitar dan demi kepentingan awam.

    “Kerajaan negeri tidak boleh meminta rakyat mempercayai mereka dan pada masa yang sama menghapuskan mekanisme yang membolehkan rakyat mempersoalkan dan menuntut pertanggungjawaban terhadap keputusan tersebut,” katanya lagi.

    Peka turut mengaitkan isu itu dengan keadaan Sungai Pahang yang mengalami masalah kecetekan serius, termasuk sehingga ke tahap sebahagian daripada dasar sungai terdedah di kawasan Maran.

    Rajesh berkata keadaan itu sepatutnya menjadi amaran kepada kerajaan negeri mengenai kepentingan melindungi hutan yang berperananan dalam menjaga kawasan tadahan air.

    “Hutan amat penting kepada kesihatan kawasan tadahan air.

    MENARIK:  Titah adendum: Kerajaan hormati pandangan semua pihak - Anwar

    “Apabila hutan diteroka atau status perlindungannya dihapuskan secara kekal, kesannya boleh melangkaui kawasan hutan itu sendiri, termasuk meningkatkan kadar hakisan tanah dan pemendapan kelodak serta menjejaskan sungai dan masyarakat di hilir,” katanya.

    Menurut aktivis itu lagi, ketika kerajaan negeri sedang mengkaji langkah menangani masalah Sungai Pahang, pada masa sama mereka memilih untuk mengurangkan pengawasan awam terhadap hutan yang menjadi sebahagian daripada sistem ekologi dan tadahan air negeri.

    “Ini bukan pengurusan alam sekitar yang bertanggungjawab. Ini adalah tadbir urus alam sekitar secara berselindung,” katanya.

    Sehubungan itu, Peka mendesak kerajaan Pahang mengembalikan keperluan mengadakan siasatan awam bagi cadangan penyahwartaan hutan simpan kekal.

    Pertubuhan itu turut menggesa kerajaan negeri mendedahkan sepenuhnya butiran semua cadangan serta penyahwartaan hutan simpan kekal yang telah dilaksanakan baru-baru ini.

    Rajesh menambah hutan di Pahang bukan milik kerajaan negeri sebaliknya merupakan amanah kepada rakyat.

    “Jika kerajaan negeri benar-benar yakin bahawa keputusan penyahwartaan hutan yang dibuatnya adalah wajar dan demi kepentingan awam, biarlah rakyat menelitinya dan biarlah kerajaan negeri mempertahankannya secara terbuka.

    “Jika tidak, persoalan yang paling mudah masih sama: Apakah sebenarnya yang ditakuti Pahang daripada diketahui oleh rakyat?” katanya.

    Latest Posts

    IKLANShopee Sale

    Mesti Baca

    Follow Facebook Portal Barang Murah