Perdana Menteri menegaskan kerajaan Madani tidak pernah menyokong aktiviti perjudian, sebaliknya komited mengekang kegiatan itu menerusi pengurangan jumlah cabutan khas nombor ramalan.
Anwar Ibrahim yang juga menteri kewangan berkata sebaik menerajui pentadbiran negara, kerajaan Madani mengurangkan kekerapan cabutan berkenaan daripada 22 kali kepada hanya lapan kali setahun.
“Orang kata Anwar ini tauke judi. Saya (sebenarnya) tidak sokong orang judi.
“Sebelum saya jadi perdana menteri, semasa kerajaan dulu perintah, cabutan (nombor ramalan) setahun ialah 22 kali.
“Saya buat secara berperingkat. Saya turunkan daripada 22 kali, jadi lapan kali setahun.
“Kamu hendak maki saya pasal apa?” katanya ketika berucap pada majlis peluncuran Skim Usahawan Bangkit (SUB) Madani Permatang Pauh di Dewan Yayasan Aman, Penanti, Bukit Mertajam hari ini.
Anwar berkata tindakan mengurangkan jumlah cabutan berkenaan adalah antara langkah yang diambil bagi membendung kegiatan perjudian dan dia tidak seharusnya dipersalahkan atas dasar yang dilaksanakan oleh pentadbiran sebelum ini.
Permatang Pauh tetap di hati
Baru-baru ini, Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor menyalahkan Anwar berhubung keputusan mahkamah tentang isu lesen premis perjudian di negeri berkenaan.
Sementara itu, Anwar berkata kerajaan akan terus memperkukuh nilai agama dan akhlak masyarakat menerusi pelbagai inisiatif termasuk program pendidikan al-Quran serta pendekatan yang menyentuh kehidupan rakyat secara langsung.
Dia mengulangi kenyataan bahawa pembangunan negara tidak seharusnya hanya diukur menerusi kemajuan ekonomi semata-mata, sebaliknya perlu diimbangi dengan penghayatan agama dan pembentukan akhlak yang baik dalam kalangan masyarakat.
Dalam pada itu, Anwar berkata Permatang Pauh sentiasa ada tempat istimewa dalam sejarah politiknya meskipun kini dia merupakan Ahli Parlimen Tambun di Perak.

Bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh selama beberapa penggal itu berkata dia tidak akan sesekali melupakan kawasan berkenaan yang menjadi saksi kepada permulaan khidmatnya sebagai wakil rakyat serta mempunyai nilai sentimental sebagai sebahagian daripada sejarah perjuangan politiknya.
Walaupun kini mewakili kawasan Tambun, tambah Anwar, hubungan dan komitmennya terhadap Permatang Pauh tidak pernah terputus.
“Permatang Pauh inilah yang beri saya peluang dahulu. Saya jadi perdana menteri, betul, sebab wakil rakyat Tambun, tetapi (segalanya) bermula di Permatang Pauh. Takkan saya lupa.
“Ini kampung halaman kita. Saya pergi Port Dickson (Negeri Sembilan), Tambun beri kekuatan untuk kita, tetapi mulanya di sini, sebab itu kena turun ke Permatang Pauh kerana ini tempat saya, kampung halaman saya,” kata beliau.
Anwar mula memenangi kerusi Parlimen Permatang Pauh pada 1982 dan menyandang kerusi itu hingga 1999 sebelum kembali memenanginya pada 2008 hingga 2015, menjadikan keseluruhan tempoh dia mewakili kawasan itu kira-kira 24 tahun.
Ahli politik berusia 79 tahun itu kemudian memenangi kerusi parlimen Port Dickson menerusi pilihan raya kecil (PRK) pada 2018 sebelum beralih ke Tambun dan memenangi kerusi itu semasa PRU ke-15 pada 2022.





