27.9 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 23, 2026
IKLANShopee SaleShopee Sale
More

    Artikel Terkini

    ULASAN | Dasar bekerja dari rumah sebagai strategi nasional

    Shopee Sale

    ULASAN | Perang antara Iran dengan Amerika Syarikat-Israel bukan sekadar konflik geopolitik biasa, tetapi satu krisis yang sedang menggoncang kestabilan ekonomi dunia.

    Tempiasnya tidak terhenti di Asia Barat, sebaliknya merebak pantas ke seluruh dunia termasuk Malaysia dan rantau Asean. Negara-negara Arab menanggung kesan paling parah akibat tindakan agresif yang mencetuskan peperanangan ini, suatu perkembangan yang sepatutnya menjadi peringatan awal kepada negara-negara lain tentang risiko ketidakstabilan global.

    Ketegangan yang berpunca daripada isu program nuklear dan peluru berpandu Iran akhirnya meledak menjadi konflik terbuka. Serangan Iran terhadap pangkalan tentera AS di beberapa negara Arab serta tindakan menyekat Selat Hormuz telah mencetuskan gangguan besar kepada bekalan minyak dunia.

    Kesan langsungnya jelas harga minyak melonjak hampir 40 peratus, kos logistik meningkat mendadak dan ekonomi global mula menunjukkan tanda-tanda tekanan yang serius.

    Malaysia tidak terkecuali, kita tidak boleh sekadar menunggu.

    Sebagai negara yang mengamalkan dasar ekonomi terbuka, Malaysia sangat terdedah kepada kejutan luaran seperti ini. Kenaikan harga minyak dunia akan terus memberi tekanan kepada subsidi kerajaan, meningkatkan kos operasi perniagaan dan akhirnya memerah poket rakyat.

    Penjimatan bahan api

    Walaupun jaminan bekalan oleh Petronas di setiap stesen minyaknya sehingga hujung Mei 2026, realitinya krisis ini belum menunjukkan tanda-tanda akan reda dalam masa terdekat.

    Dalam keadaan ini, pengumuman kerajaan untuk melaksanakan dasar bekerja dari rumah (BDR) melibatkan kementerian, agensi, badan berkanun dan syarikat berkaitan kerajaan bermula 15 April bukan sekadar langkah pentadbiran biasa. Ia adalah isyarat awal bahawa negara sedang memasuki fasa pengurusan krisis tenaga.

    Pegawai kerajaan di sektor awam khususnya di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor juga semua ibu negeri di Malaysia dengan perjalanan sehala dari pejabat ke rumah melebihi 8 kilometer (KM) dibenarkan bekerja dari rumah. Pelaksanaan ini berkuat kuasa selama tiga hari seminggu susulan konflik Asia Barat yang kita sedang berlangsung.

    Namun persoalan yang lebih besar ialah adakah kita benar-benar bersedia untuk melaksanakannya secara serius?

    BDR tidak boleh dilihat sebagai pilihan sampingan atau sekadar “pilihan fleksibel”. Dalam konteks krisis tenaga global, ia perlu dilihat sebagai satu dasar strategik negara. Setiap perjalanan ulang-alik yang dapat dikurangkan bermaksud penjimatan bahan api.

    Setiap liter petrol yang dijimatkan bermaksud pengurangan tekanan terhadap subsidi negara. Tindakan kerajaan mengurangkan subsidi RON95 melalui Budi Madani daripada 300 liter kepada 200 liter sebulan tidak terlepas memberi kesan langsung kepada tenaga kerja yang commute harian menggunakan kereta terutamanya bagi mereka yang berada di luar bandar ingin ke bandar dan begitu sebaliknya.

    Ia juga membuktikan bahawa kerajaan sedang berkira-kira tentang kemampuan untuk menampung harga subsidi sedia ada.

    Namun begitu, kelemahan utama dasar ini di Malaysia adalah pada tahap pelaksanaan, bukan pada konsepnya. Sektor awam mungkin boleh diarahkan, tetapi bagaimana dengan sektor swasta? Tanpa komitmen jelas daripada syarikat-syarikat besar, dasar ini akan gagal mencapai impak yang diharapkan.

    Pendekatan negara jiran

    Realitinya, banyak majikan masih skeptikal terhadap produktiviti BDR, walaupun pengalaman lalu telah membuktikan sebaliknya khususnya ketika Covid-19.

    Di Myanmar, kerajaan memperkenalkan sistem catuan bahan api melibatkan kenderaan persendirian melalui kaedah nombor plat ganjil dan genap. Kenderaan tersebut digilirkan mengikut tarikh tertentu sahaja jika hendak digunakan di jalan raya.

    MENARIK:  Hampir 100,000 pelancong M'sia kunjungi Selatan Thai, manfaat cuti panjang

    Di Bangladesh, universiti ditutup sementara bagi menjimatkan penggunaan tenaga selain perkhidmatan bas sekolah dihentikan.

    Contoh ini membuktikan bahawa Malaysia juga tidak terlepas dari ancaman yang barangkali boleh dilalui nanti. Sekiranya pendekatan sekarang tepat dan lebih bersedia, sudah tentu dasar dan polisi sedia ada yang dilaksanakan oleh kerajaan boleh menangani isu ini.

    Di sinilah kerajaan perlu lebih tegas.

    Pengalaman negara seperti Thailand, Vietnam dan Indonesia menunjukkan bahawa BDR boleh dilaksanakan secara lebih berani dan tersusun. Mereka antara negara yang mempelopori usaha ini sejak awal apabila krisis ini muncul.

    Indonesia telah menetapkan pelaksanaan BDR sekurang-kurangnya satu hari seminggu bagi penjawat awam sebagai satu langkah kecil tetapi konsisten.

    Thailand pula tidak teragak-agak mengarahkan agensi kerajaan mereka untuk melaksanakan BDR serta merta dalam krisis ketidaktentuan ini.

    Malaysia perlu melangkah lebih jauh daripada sekadar galakan.

    Kerajaan wajar mempertimbangkan garis panduan yang lebih komprehensif kepada sektor swasta dalam melaksanakan dasar ini. Cadangan ini boleh merangkumi beberapa langkah konkrit:

    • Insentif cukai dan sokongan kewangan

    Kerajaan boleh menimbang pemberian potongan cukai, geran atau subsidi kepada syarikat yang melaksanakan BDR secara sistematik, misalnya bagi kos penyediaan peralatan pejabat di rumah, subsidi internet atau latihan pengurusan jarak jauh.

    Pendekatan ini memberi motivasi langsung kepada syarikat untuk mengekalkan amalan BDR tanpa membebankan mereka.

    • Sektor terpilih berdasarkan kesesuaian

    Dasar BDR mungkin lebih berkesan jika dilaksanakan secara berperingkat dan berfokus pada sektor-sektor tertentu seperti teknologi maklumat, kewangan, perkhidmatan profesional dan pendidikan.

    Sektor ini juga secara tidak langsung membudayakan kerja dari mana-mana sahaja tanpa menjejaskan produktiviti.

    • Garis panduan standard dan indikator prestasi

    Kerajaan boleh menyediakan manual BDR yang merangkumi amalan terbaik, piawaian keselamatan siber, pengurusan masa dan mekanisme pemantauan produktiviti kepada sektor-sektor yang memerlukan.

    Hal ini memastikan pelaksanaan BDR tidak sekadar arang habis besi binasa tetapi memberi impak sebenar kepada keberkesanan organisasi.

    • Fasa percubaan dan penambahbaikan berterusan

    Sebelum pelaksanaan secara menyeluruh, kerajaan boleh memulakan program rintis dengan beberapa syarikat dan sektor terpilih.

    Hasil daripada fasa percubaan ini boleh digunakan untuk memperhalusi garis panduan dan insentif supaya lebih praktikal dan memberi impak nyata.

    Lebih penting, BDR tidak boleh berdiri sendiri. Ia mesti menjadi sebahagian daripada strategi nasional yang lebih besar termasuk memperkukuh pengangkutan awam, mengurangkan kebergantungan kepada kenderaan persendirian dan mempercepatkan peralihan kepada tenaga boleh baharu.

    Tetapi dalam konteks hari ini, langkah penjimatan harus digerakkan dengan lebih awal dalam menghadapi situasi yang tidak menentu ketika ini. BDR salah satu alternatif jangka masa pendek yang boleh dilaksanakan.

    Tuntasnya. kerajaan dan sektor swasta tidak boleh lagi bergerak secara “business as usual” dalam dunia yang tidak menentu harini.

    BDR mungkin bukan penyelesaian mutlak tetapi dalam krisis seperti ini, ia adalah antara langkah paling cepat, paling selamat dan paling rendah kos yang boleh dilaksanakan. Dan dalam keadaan ekonomi yang semakin terhimpit, kelewatan bertindak bukan lagi satu pilihan.


    LUTHFI YUSRI merupakan Pegawai Penyelidik dan Advokasi di Nusantara Academy for Strategic Research (NASR).

    Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

    Latest Posts

    IKLANShopee Sale

    Mesti Baca

    Follow Facebook Portal Barang Murah