27.9 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 23, 2026
IKLANShopee SaleShopee Sale
More

    Artikel Terkini

    Sebulan hantar tak ambil, pengasuh nekad jadikan anak angkat

    Shopee Sale

    Hati siapa yang tidak akan tersentuh ketika melihat seorang kanak-kanak kecil tidak diambil oleh ibu kandung yang menghantarnya kepada pengasuh.

    Malah bukan sehari dua, tetapi sebulan kanak-kanak empat tahun bernama Rayyan itu menunggu kelibat ibunya yang tidak kunjung tiba.

    Pengasuh itu, yang hanya mahu dikenali sebagai Dayang berkata, pada awal bulan lalu, dia yang tinggal di Puchong, dihubungi oleh ibu Rayyan melalui aplikasi WhatsApp untuk mendapatkan khidmat penjagaan sepenuh masa.

    Dayang menetapkan bayaran RM800 sebulan dengan syarat Rayyan perlu dibawa pulang sekurang-kurangnya seminggu sekali.

    Permintaan itu, kata Dayang, pada awalnya dipersetujui.

    Namun perbualan mereka terhenti seketika apabila ibu tunggal itu meminta bayaran dibuat pada hujung bulan atas alasan baru bekerja sebagai pekerja kilang.

    Pengasuh kanak-kanak dengan pengalaman lebih empat tahun itu bertegas bayaran pendahuluan perlu dilunaskan terlebih dahulu untuk mengelakkan penipuan.

    Namun pada 26 Mac, sang ibu kembali menghubungi dalam keadaan terdesak selepas pengasuh asal menolak permintaannya pada saat akhir. 

    Walaupun sang ibu tidak mampu membuat sebarang bayaran, Dayang tetap menerima kehadiran Rayyan atas dasar kemanusiaan.

    “Saya meminta bayaran minimum RM200 sebagai permulaan, namun dia menyatakan tidak mampu. Atas rasa kasihan, saya menerima Rayyan tanpa sebarang bayaran,” katanya kepada Malaysiakini.

    Sepanjang tempoh penjagaan, Dayang mendakwa bayaran yang dijanjikan tidak dilunaskan sepenuhnya. 

    Bagi tempoh kira-kira enam hari, bayaran sepatutnya mencecah RM500, namun hanya RM100 diberikan terlebih dahulu. 

    Dayang pernah meminta agar sang ibu mengambil semula anaknya sekiranya tidak mampu melunaskan baki yang tertunggak. Namun permintaan itu, dakwanya. tidak diendahkan.

    “Saya turut menawarkan untuk menghantar Rayyan pulang, namun sang ibu gagal memberikan alamat dan terus mengelak,” dakwanya.

    Selepas teguran dibuat, pada 5 April, bekas guru taska itu berkata dia dihubungi seorang lelaki yang mengaku sebagai ayah angkat kepada Rayyan. 

    MENARIK:  Saya tidur atas lantai simen lokap SPRM, kata saksi kes rasuah Guan Eng

    Dia merayu agar bayaran dapat dikurangkan. 

    Dia kemudian membuat pembayaran sebanyak RM150, menjadikan jumlah keseluruhan RM250.

    Sang ibu pula memberitahu ayah angkat Rayyan akan mengambil kanak-kanak itu untuk diserahkan kepada orang lain.

    Menurut Dayang, situasi itu membuatkannya bimbang terhadap masa depan Rayyan.

    Dia kemudian membuat laporan kepada pihak polis, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

    Bagaimanapun, pada 9 April, Dayang membuat keputusan nekad untuk mengambil terus Rayyan sebagai anak angkat.

    “Sepanjang dia berada di bawah jagaan saya, saya melihat sendiri keadaan dia yang kurang mendapat perhatian daripada ibu kandungnya.

    “Rayyan pula semakin rapat dengan saya dan keluarga, dan mula menganggap saya seperti ibunya sendiri. 

    “Dari situ timbul rasa tanggungjawab dalam diri saya untuk memberikan kehidupan yang lebih stabil dan selamat untuk dia,” katanya kepada Malaysiakini.

    Dayang berkata pada awalnya ibu Rayyan tidak bersetuju tetapi mengubah fikiran beberapa jam kemudian.

    Dia kini sedang menguruskan urusan dokumentasi secara rasmi dengan JKM dan JPN.

    Dalam tempoh itu, satu ikatan yang tidak dijangka mula terbina. 

    Rayyan semakin rapat dengan Dayang dan keluarganya. 

    Rayyan sering berada di sisinya dan menunjukkan kebergantungan kepada Dayang sebagai penjaganya ketika ini.

    “Suami saya memahami situasi ini dan menyokong keputusan saya, lebih-lebih lagi selepas melihat keadaan Rayyan. 

    “Anak-anak saya juga menerima Rayyan dengan baik dan melayannya seperti ahli keluarga sendiri,” kata ibu kepada tiga cahaya mata itu.

    Dayang turut merancang untuk menghantar Rayyan ke tadika pada tahun hadapan dan membantu merawat masalah lambat bercakap (speech delay) yang dialaminya.

    Malaysiakini telah menghubungi ibu kandung Rayyan bagi mendapatkan komennya tetapi setakat ini belum berbalas.

    Latest Posts

    IKLANShopee Sale

    Mesti Baca

    Follow Facebook Portal Barang Murah