Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan semua ahli dewan undangan negeri (Adun) di Selangor untuk melawat Dataran Selangor bagi membaca dan memahami makna Rukun Negara yang tertera pada Plak Monumen Rukun Negara di situ.
Sultan Sharafuddin bertitah, lawatan berkenaan sewajarnya dilakukan sekurang-kurangnya dua kali sebulan bagi menghayati prinsip yang menjadi teras utama perpaduan rakyat.
Bagaimanapun, titah khas itu ditujukan secara khusus kepada Adun Seri Kembangan Wong Siew Ki daripada DAP dan bekas ahli majlis mesyuarat kerajaan negeri (Exco) Selangor Ronnie Liu Tian Khiew.
"Beta sarankan agar datanglah seminggu sekali ke Dataran Selangor untuk fahamkan dan hayati makna Rukun Negara, agar menjadi rakyat yang tahu untuk hormat kepada kedaulatan Institusi Raja dan menjaga adab kesopanan dan kesusilaan," titah Sultan Sharafuddin dalam kenyataan media hari ini.

Baginda tidak menyatakan dengan jelas kenapa saranan itu ditujukan kepada Wong dan Liu. Bagaimanapun ia dipercayai susulan kontroversi penternakan babi di negeri itu.
Bulan lalu, semasa perbahasan titah diraja di Dewan Undangan Negeri Selangor, Wong menggesa kerajaan negeri mempertimbangkan sistem penternakan babi moden dan menyatakan bahawa isu itu menyentuh hak kesaksamaan bawah Perlembagaan Persekutuan.
Sementara Liu pulau mempersoalkan mengapa pemimpin kanan DAP tidak menghadap Sultan Selangor, berunding dengan menteri besar, atau membangkitkan perkara itu di peringkat persekutuan.
Dia berkata isu tersebut melangkaui politik kerana ia memberi kesan kepada penternak lama, rantaian bekalan, harga, serta keyakinan rakyat terhadap kerajaan.

Kenyataan itu bagaimanapun dilihat oleh pihak tertentu sebagai tidak menghormati istana yang berpendirian Selangor tidak sepatutnya menternak, tetapi mengimport babi, susulan kebimbangan terhadap kebimbangan kesan alam sekitar dan faktor kesihatan.
Sultan Selangor terdahulu berangkat ke Dataran Selangor bagi melihat sendiri Plak Monumen Rukun Negara yang ditempatkan berhadapan dengan Tiang Bendera Negeri Selangor.
Pembinaan plak berkenaan bersama tempat duduk pengunjung di kawasan tersebut dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor, dengan kos pembiayaan ditanggung sepenuhnya oleh baginda sendiri.
Sementara itu, Sultan Sharafuddin mengimbas kembali sejarah penubuhan Rukun Negara yang bermula ekoran pengisytiharan darurat selepas tragedi rusuhan kaum pada 13 Mei 1969.
Menurut baginda, Majlis Gerakan Negara (Mageran) yang bertindak sebagai badan pemerintah waktu itu telah berunding untuk melahirkan konsep Rukun Negara sebagai manifestasi ideologi kebangsaan.
"Beta berharap orang ramai yang berkunjung ke Dataran Selangor khususnya generasi baharu, dapat membaca dan menghayati prinsip-prinsip asas Rukun Negara ini yang menjadi teras utama kepada perpaduan rakyat Malaysia," titah baginda.





