Bekas Pengarah Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) didapati bersalah oleh Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu hari ini atas 12 pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah lebih RM45 juta, 10 tahun lalu.
Hakim Abu Bakar Manat membuat keputusan itu ke atas Ag Mohd Tahir Mohd Talib, 63, selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.
Bagaimanapun, mahkamah melepas dan membebaskan isteri Ag Mohd Tahir, Fauziah Piut, 61, atas 19 pertuduhan sama, manakala bekas timbalan pengarah jabatan itu Lim Lam Beng, 72, yang berdepan empat pertuduhan serupa turut dibebaskan selepas mendapati pembelaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.
Sementara itu, mahkamah sama melepaskan Ag Mohd Tahir dan isterinya atas dua pertuduhan bersama berkaitan pengubahan wang haram.
Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di sekitar Sabah dan Kuala Lumpur antara 4 Okt hingga 4 Nov 2016 dan 13 Okt hingga 8 Nov 2016.
Mereka didakwa di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.





