32.9 C
Kuala Lumpur
Monday, May 18, 2026
IKLANShopee SaleShopee Sale
More

    Artikel Terkini

    Bersih, mahasiswa rancang himpunan ‘Gempur Rasuah Sabah 3.0’

    Shopee Sale

    Beberapa kumpulan hak asasi sedang merancang untuk menganjurkan perhimpunan Gempur Rasuah Sabah yang ketiga bagi membantah cara pihak berkuasa mengendalikan skandal perlombongan yang mengaitkan ahli politik negeri itu.

    Dalam satu kenyataan hari ini, Naib Pengerusi Bersih (Sabah) Fadhil Kasim berkata satu sidang media rasmi akan diadakan dalam masa terdekat mengenai acara itu, yang sedang diatur bersama kumpulan mahasiswa Suara Mahasiswa UMS (Universiti Malaysia Sabah).

    Fadhil Kasim

    Fadhil kesal kerana walaupun setahun berlalu sejak skandal itu terbongkar, hanya dua individu didakwa, manakala individu lain yang dikaitkan dalam pendedahan itu kekal bebas tanpa pendakwaan.

    "Kali terakhir SPRM memberikan perkembangan kes ini adalah pada 9 September 2025, memaklumkan enam lagi Adun masih menunggu keputusan daripada pihak Timbalan Pendakwa Raya.

    "Sehingga kini tiada perkembangan baharu diumumkan SPRM kepada rakyat," katanya dalam satu kenyataan media.

    Dia juga mengakui bahawa sebelum pilihan raya negeri Sabah pada November tahun lalu, ketua pesuruhjaya SPRM ketika itu, Azam Baki mendedahkan bahawa potensi pertuduhan terhadap enam lagi individu masih menunggu keputusan daripada Jabatan Peguam Negara (AGC).

    Bagaimanapun, Fadhil mengecam kelewatan yang ketara dalam menyediakan perkembangan terkini mengenai perkara itu.

    Pada Julai tahun lepas, Andi Suryady Bandy dan Yusof Yacob, yang ketika itu masing-masing merupakan Adun Tanjung Batu dan Sindumin, berdepan pertuduhan rasuah melibatkan suapan yang didakwa berkaitan dengan lesen mencari gali mineral di Sabah.

    Ahli perniagaan Albert Tei, yang telah mendedahkan puluhan ahli politik Sabah dalam skandal perlombongan itu dengan bertindak sebagai pemberi maklumat sejak 2024, turut berdepan dengan dua pertuduhan menawarkan rasuah kepada kedua-dua Adun tersebut.

    Mengulangi gesaan agar SPRM memberikan penjelasan kepada orang ramai mengenai status ahli politik lain yang didakwa terlibat dalam skandal itu, Fadhil seterusnya menegaskan bahawa beberapa individu yang dituduh melakukan rasuah dinaikkan pangkat ke jawatan tertentu berkaitan kerajaan.

    MENARIK:  'Undang-undang keselamatan dalam talian tak boleh pinggirkan hak bersuara'

    Perkara itu, katanya, menimbulkan persoalan serius mengenai integriti kerajaan negeri yang dipimpin oleh Ketua Menteri Hajiji Noor.

    Pada Januari tahun ini, kritikan semakin meningkat selepas Yusof dilantik sebagai pengerusi Sabah Development Bhd (SDB) dan bekas timbalan ketua menteri III negeri, Shahelmey Yahya, dipilih sebagai pengerusi Sabah Oil and Gas Development Corporation Sdn Bhd (SOGDC).

    Jawatan yang disebut terakhir itu dilaporkan setaraf dengan perananan menteri, dengan SOGDC menegaskan bahawa pelantikan Adun Putatan itu dijangka memperkukuh hala tuju strategik syarikat.

    Selain itu, Fadhil turut mempersoalkan jawatanAdun Tempasuk Arsad Bistari sebagai pengerusi Sabah Softwoods Berhad.

    Shahelmey dan Arsad kedua-duanya didakwa terbabit dalam skandal itu, bersama Hajiji, Timbalan Ketua Menteri I dan Menteri Kerja Raya dan Utiliti negeri Joachim Gunsalam, Timbalan Ketua Menteri II dan Menteri Kewangan negeri Masidi Manjun, Menteri Pembangunan Luar Bandar negeri Rubin Balang, dan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri Arifin Arif, yang merupakan menantu Yang di-Pertua Negeri Sabah Musa Aman.

    Turut didakwa terbabit ialah Adun Kuamut Masiung Banah dan speaker dewan undangan negeri Kadzim Yahya.

    Tei sebelum ini juga menamakan beberapa pemimpin Parti Solidariti Tanah Airku (Star), termasuk presidennya Jeffrey Kitingan, bekas timbalan presidennya Ellron Alfred Angin dan Robert Tawik, bekas presiden Star Maximus Ongkili serta ahli politik veteran Jahid Jahim.

    Bagi menggambarkan betapa seriusnya skandal rasuah itu, Fadhil juga menyatakan bahawa bekas pembantu Perdana Menteri Anwar Ibrahim, Shamsul Iskandar Akin, turut terbabit dalam perkara itu.

    Shamsul, bekas pengerusi PKR Melaka, dan Tei dikenakan pertuduhan berkaitan rasuah pada Disember tahun lalu.

    Latest Posts

    IKLANShopee Sale

    Mesti Baca

    Follow Facebook Portal Barang Murah