32.9 C
Kuala Lumpur
Tuesday, May 19, 2026
IKLANShopee SaleShopee Sale
More

    Artikel Terkini

    Fitnah: Mahkamah ketepi perintah Chegubard bayar ganti rugi RM550,000 pada Farhash

    Shopee Sale

    Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengetepikan keputusan pada Januari lalu yang memerintahkan pemimpin Bersatu, Badrul Hisham Shaharin, dan YouTuber Nurpais Ismail membayar ganti rugi sivil RM550,000 kepada ahli perniagaan Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak.

    Hakim Arziah Apandi membuat keputusan itu hari ini ketika membenarkan permohonan mengetepikan ganti rugi yang difailkan Badrul, yang juga dikenali sebagai Chegubard, dan Nurpais.

    Dia turut memerintahkan kes itu dibicarakan semula.

    Keputusan itu dibuat selepas dia mendapati defendan berjaya membuktikan penyampaian writ kes oleh plaintif kepada defendan cacat.

    Pada 29 Jan lalu, Arziah memerintahkan defendan membayar RM300,000 sebagai ganti rugi am, RM100,000 sebagai ganti rugi teladan serta RM150,000 sebagai ganti rugi teruk, berjumlah RM550,000, kepada Farhash pada akhir perbicaraan kes itu, ketika plaintif memberi keterangan tanpa disoal balas.

    Ketika itu, defendan tidak memasukkan kehadiran dalam saman berkenaan dan tidak menghadiri sebarang prosiding.

    Defendan bersama peguam Badrul, Rafique Rashid Ali kemudian berkata mereka tidak menyedari kewujudan saman itu dan hanya mengetahui mengenainya melalui laporan media.

    Penyampaian saman cacat

    Dalam keputusannya, Arziah mempertimbangkan hujahan defendan, termasuk writ saman yang disampaikan kepada Badrul diterima oleh individu tidak dikenali manakala dokumen kepada Nurpais dihantar ke alamat yang tidak lagi didiaminya, dalam mendapati penyampaian oleh plaintif sebagai cacat.

    “Walaupun plaintif telah mengambil langkah munasabah, termasuk memaklumkan peguam cara Badrul yang dikenal pasti dalam kes berasingan, masih wujud ketidakpastian sama ada langkah-langkah itu berjaya memastikan defendan mengetahui kewujudan prosiding ini.

    “(Bagaimanapun), mahkamah mengambil kira bahawa Badrul bertindak segera selepas mengetahui penghakiman pada 29 Jan, yang selaras dengan dakwaannya bahawa dia tidak mengetahui mengenai kes ini lebih awal.

    “Kaedah 10 Aturan 1 Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012 jelas dan khusus mengenai kewajipan penyampaian secara peribadi atau melalui pos berdaftar AR (Akuan Penerimaan).

    “(Bagaimanapun), penyampaian secara elektronik yang didakwa digunakan plaintif tidak memenuhi kehendak penyampaian secara peribadi,” katanya, sambil menambah tiada ekshibit pos berdaftar AR dikemukakan di mahkamah bagi menunjukkan penyampaian itu telah dipenuhi.

    MENARIK:  Penyasaran subsidi RON95 tahun depan

    Hakim berkata kaedah penyampaian plaintif melalui komunikasi elektronik terhadap Nurpais, meskipun maklumat itu tersedia secara umum, menimbulkan persoalan sama ada penyampaian tersebut mencukupi.

    “Dalam keadaan ini, mahkamah berpendapat terdapat asas kukuh untuk mendapati penyampaian terhadap (defendan) cacat secara material.

    “Perintah penyampaian ganti, yang diperoleh atas asas yang mungkin tidak tepat, tidak boleh mengesahkan proses yang pada asalnya cacat kerana ia telah menafikan hak asas keadilan kepada (defendan).

    “Penghakiman yang diperoleh dalam keadaan sedemikian wajar diketepikan, demi kepentingan keadilan.”

    Mahkamah kemudian menerima memorandum kehadiran Badrul dan Nurpais, serta memerintahkan kedua-duanya memfailkan pembelaan dalam tempoh tujuh hari dari hari ini manakala Farhash perlu memfailkan jawapannya dalam tempoh 14 hari.

    Arziah turut menetapkan 19 Jun untuk pengurusan kes melalui e-semakan.

    Rafique hadir bagi pihak Badrul manakala peguam Zubir Embong hadir bagi pihak Nurpais dan Nurin Husnina Hussein pula hadir mewakili Farhash dalam prosiding hari ini.

    Rafique memberitahu pemberita selepas itu bahawa penghakiman hari ini bermaksud perbicaraan kes akan bermula semula dari awal dan kali ini, peguam defendan akan berpeluang menyoal balas Farhash.

    ‘Anak emas’ Anwar, perebutan kuasa PKR

    Farhash memfailkan saman itu pada 26 Mei tahun lalu susulan podcast Chegubard dan Nurpais yang diterbitkan pada 7 Mei.

    Dalam pernyataan tuntutannya, dia berkata defendan merujuk kepadanya dengan nama dan sebagai “anak emas Anwar”.

    Dia berkata defendan memfitnahnya dengan mendakwa dia individu keji, tidak bermoral dan berniat jahat yang didakwa menggunakan serta mengawal perdana menteri dan pejabatnya untuk kepentingan peribadi.

    Dia turut berkata kedua-duanya mendakwa dia terlibat dalam perebutan kuasa dengan bekas menteri Rafizi Ramli untuk menjadi “kesayangan” Anwar dan PKR.

    Farhash juga menuntut permohonan maaf terbuka secara penuh dan tanpa syarat serta supaya kedua-duanya menarik balik kenyataan mereka, selain membayar pampasan kewangan RM1 juta bagi ganti rugi am, teladan dan teruk, bersama faedah lima peratus setahun ke atas jumlah itu.

    [Baca berita asal]

    Latest Posts

    IKLANShopee Sale

    Mesti Baca

    Follow Facebook Portal Barang Murah