Kementerian Pertahanan telah menghantar notis tuntutan kepada syarikat pengeluar di Norway, susulan pembatalan lesen eksport misil antikapal dan serangan darat (NSM) oleh syarikat berkenaan.
Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata notis bagi menuntut kos langsung dan tidak langsung, telah dihantar kepada syarikat berkenaan hari ini.
“Kita tuntut kos langsung dengan kos tak langsung. Kos langsung sebanyak jumlah yang sudah dibayar, 126 juta EUR (RM583.47 juta) dan kita juga ada tuntut jumlah kos tak langsung yang membabitkan jumlah yang besar juga, seluruh jumlah tuntutan itu berjumlah kira-kira RM1 bilion,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan kerja meninjau kemajuan pembinaan Kapal Tempur Pesisir (LCS) di Lumut Naval Shipyard Sdn Bhd (LUNAS), di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Lumut hari ini.
Turut hadir Panglima Tentera Laut Laksamana Tan Sri Dr Zulhelmy Ithnain.
Khaled berkata tuntutan kos langsung berjumlah 126 juta EUR, merupakan 95 peratus kos yang telah dibayar daripada keseluruhan kontrak bernilai RM634.7 juta, yang melibatkan sistem persenjataan untuk kapal persisir tempur (LCS) dan dua lagi kapal KD Jebat dan KD Lekiu.
Beliau berkata pembatalan lesen eksport tersebut dilakukan kerajaan Norway secara unilateral tanpa perbincangan dengan Malaysia, walaupun kerajaan telah memenuhi segala obligasi kontrak tersebut.
“Kita telah bayar 95 peratus daripada nilai kontrak. Tapi pada saat akhir, kalau kita tengok kronologi, kerajaan Norway telah membatalkan lesen eksport bagi sistem tersebut secara unilateral, dia (Norway) enggan mengeluarkan lesen eksport atas alasan dasar baru negara mereka yang mengehadkan eksport teknologi pertahanan sensitif hanya kepada sekutu dan rakan strategik terdekat.
“Maknanya hanya kepada negara NATO (Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara) dan rakan-rakannya yang dia anggap sebagai rakan strategik,” katanya.
Susulan itu Khaled berkata isu pembatalan ini telah menimbulkan krisis kepercayaan terhadap komitmen antarabangsa negara dan menjadi iktibar kepada negara serta negara sekutu ASEAN dalam menjalankan hubungan dagangan dengan Norway.
“Jadi, apabila komitmen ini boleh dibatalkan secara sepihak saja, maka keyakinan terhadap keseluruhan sistem akan mula terhakis. Pada peringkat kementerian kita dah beritahu dan kita harap negara-negara seperti ASEAN dan negara yang bukan menjadi sekutu rapat Norway, ambil pengalaman pengajaran yang dihadapi oleh Malaysia, supaya mereka tak (tidak) beli dan berurusan dengan Norway.
“Kita pun dah maklum pada Kementerian Pertahanan supaya apa-apa pembelian, sama ada peluru ke apa, tak payahlah kita beli daripada Norway dan kita kena berhati-hati apabila kita membuat perolehan dengan negara-negara yang lain yang mungkin melakukan tindakan yang serupa terhadap negara kita,” katanya.





