27.9 C
Kuala Lumpur
Wednesday, April 29, 2026
IKLANShopee SaleShopee Sale
More

    Artikel Terkini

    Siapa ganti empat exco BN? Aminuddin umum minggu depan

    Shopee Sale

    Sebarang keputusan berhubung kekosongan empat jawatan exco yang dilepaskan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan akan dibuat pada minggu hadapan, kata Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun.

    Beliau berkata perkara tersebut tidak dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (exco) hari ini serta tiada keperluan melantik pemangku bagi jawatan berkenaan pada masa ini.

    Aminuddin berkata meskipun masih tiada exco bagi portfolio tertentu buat masa ini, semua program kerajaan negeri yang dirancang sebelum ini termasuk sambutan Hari Belia Peringkat Kebangsaan di Sendayan pada 15 Mei ini akan berjalan seperti biasa.

    "Kita akan putuskan apa juga keputusan pada minggu depan dan mesyuarat exco tadi semua ada kecuali empat orang yang telah meletak jawatan....kita tidak bincang pun pasal pengganti atau pemangku setakat ini semuanya akan diputuskan minggu depan.

    "Tidak timbul masalah untuk kita meneruskan program yang dirancang (Hari Belia) seperti biasa dan saya telah meminta exco lain membantu menjayakannya kerana ia satu penghormatan buat Negeri Sembilan (peringkat kebangsaan)," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat exco di Seremban hari ini.

    Sementara itu, Pengerusi Pakatan Harapan Negeri Sembilan itu berkata pihaknya menafikan mengadakan perjumpaan bersama Adun Umno yang lain untuk mengisi kekosongan jawatan exco dalam kerajaan negeri seperti yang tular dalam media sosial.

    MENARIK:  Suami isteri warga emas maut, empat cedera nahas dua kereta di Temerloh

    Sebelum ini Adun Pertang, Datuk Seri Jalaluddin Alias memegang portfolio exco kanan selain Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kemajuan Desa, Perladangan dan Komoditi serta Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pertanian, Keterjaminan Makanan dan Kos Sara Hidup, manakala Adun Senaling Datuk Ismail Lasim memegang portfolio Exco Pendidikan dan Modal Insan.

    Dua lagi ialah Adun Palong Datuk Mustapha Nagoor yang memegang portfolio Pembangunan Belia dan Sukan serta Adun Linggi Datuk Mohd Faizal Ramli yang bertanggungjawab terhadap portfolio Warisan, Teknologi, Inovasi dan Digital.

    Kemelut pentadiran negeri ini tercetus apabila kesemua 14 Adun Umno dan BN Negeri Sembilan sebulat suara hilang kepercayaan dan menarik sokongan terhadap kerajaan negeri pimpinan Aminuddin, susulan kemelut pemerintahan yang berlaku.

    Bagaimanapun, Aminuddin terus diberikan mandat untuk menerajui pentadbiran negeri ini selepas diperkenankan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir pada Isnin.

    Negeri Sembilan mempunyai 36 kerusi DUN dan daripada jumlah itu, PH memenangi 17 kerusi, BN menguasai 14 kerusi, manakala Perikatan Nasional (PN) lima kerusi pada Pilihan Raya Negeri ke-15 pada 2023.

    PH dan BN membentuk kerajaan apabila menguasai 31 kerusi DUN selepas pilihan raya tersebut.

    Latest Posts

    IKLANShopee Sale

    Mesti Baca

    Follow Facebook Portal Barang Murah