24.2 C
Kuala Lumpur
Friday, September 4, 2026
IKLANShopee SaleShopee Sale
More

    Artikel Terkini

    Bila Minat Jadi Pertelingkahan: 5 Insiden ‘Fan War’ Yang Pernah Jadi Perhatian

    Shopee Sale

    Dalam industri hiburan hari ini, peminat fanatik boleh menjadi antara aset paling berharga buat seseorang artis. Merekalah yang membeli album, memenuhi konsert, mengundi ketika musim anugerah, menaikkan tanda pagar sehingga trending dan mempertahankan nama idola ketika berdepan kritikan yang akhirnya menjadi pertelingkahan ‘fan war’.

    Tetapi persoalannya, sampai tahap mana seseorang peminat patut mempertahankan idolanya? Kerana apabila sokongan bertukar menjadi ketaksuban, kritikan terhadap artis boleh dianggap sebagai serangan peribadi.

    Penyanyi lain dianggap pesaing, pengkritik dianggap musuh dan sesiapa yang tidak berada di pihak sama boleh menjadi sasaran. Fenomena ini bukan hanya berlaku dalam fandom antarabangsa.

    Industri hiburan Malaysia sendiri sudah beberapa kali menyaksikan artis terpaksa meminta peminat berhenti bergaduh, selebriti menjadi mangsa kecaman hanya kerana menyokong pihak tertentu malah ada yang menerima ugutan bunuh kerana dikatakan meniru idola popular.

    Artikel Berkaitan: Peminat Jadi Benteng Atau Beban? Bila Fanbase Boleh Naikkan, Tapi Juga ‘Rosakkan’ Imej Artis

    Artikel Berkaitan: Timbul Salah Faham, Peminat Nak Boikot? 8 Selebriti Tempatan & Antarabangsa Jadi Sasaran ‘Cancel Culture

    Lima Insiden Budaya Fanatik ‘Berperang’ Demi Artis

    1. Syasya (Bekas Kumpulan Dolla) Terima Ugutan Bunuh Hanya Kerana Dikatakan Tiru Lisa BLACKPINK

    Antara kes paling ekstrem pernah dialami artis Malaysia ialah apa yang berlaku kepada bekas anggota Dolla, Syasya Rizal. Pada 2021, Syasya mendedahkan dia pernah menerima ugutan bunuh daripada peminat fanatik BLACKPINK selepas penampilannya dibandingkan dengan Lisa.

    Puncanya bukan kontroversi besar. Ia bermula hanya kerana Syasya mempunyai gaya rambut berponi yang menyebabkan orang ramai membandingkan penampilannya dengan Lisa. Namun perbandingan tersebut mencetuskan kemarahan segelintir peminat BLACKPINK sehingga Syasya mendakwa menerima gambar pisau berdarah selain pelbagai komen kebencian.

    MENARIK:  ‘Tak Pernah Rasa Diri Sendiri Artis, Masih Jauh Nak Samakan Diri Dengan Pelakon Hebat’ – Arfie Shah

    Menurut Syasya, pengalaman itu pernah memberi kesan terhadap emosinya sehingga dia memilih menutup notifikasi media sosial bagi mengelakkan komen negatif terus mengganggunya. Dolla sendiri memang kerap dibandingkan dengan BLACKPINK ketika awal kemunculan kerana kedua-duanya merupakan kumpulan wanita dengan empat anggota.

    Namun apa yang sepatutnya menjadi perdebatan mengenai konsep muzik dan imej akhirnya bertukar menjadi serangan terhadap individu sebenar. Lebih ironik, Lisa dan Syasya sendiri tidak pernah mempunyai sebarang konflik peribadi. ‘Peperangan’ itu diwujudkan oleh orang lain atas nama mempertahankan idola.

    Sumber : mStar – “Syasya Dolla pernah terima ugutan bunuh selepas dikecam tiru gaya rambut Lisa Blackpink”

    2. Ernie Zakri & Aina Abdul Okay, Peminat Pula Yang ‘Berperang’?

    Ini mungkin antara contoh terbaik apabila artis yang kononnya sedang ‘bermusuh’ sebenarnya tidak mempunyai sebarang masalah. Sejak beberapa tahun lalu, Ernie Zakri dan Aina Abdul sering dibandingkan terutama apabila melibatkan kemampuan vokal dan pertandingan seperti Anugerah Juara Lagu (AJL).

    Seawal 2020, Ernie sudah menyuarakan rasa kurang selesa apabila peminat membandingkan dirinya dengan Aina sehingga berlaku kutuk-mengutuk dalam kalangan penyokong. Ernie ketika itu menegaskan dia mempunyai hubungan baik dengan Aina dan berharap peminat menerima perbezaan setiap artis tanpa perlu menjatuhkan satu sama lain.

    " data-video-id="7339193733239426322" data-embed-from="oembed" style="max-width:605px;min-width:325px">
    @daxvilo

    Aina Abdul x Ernie Zakri – Kau Kekasihku #bintangrtm2024 #brtm #ainaabdul #erniezakri #kaukekasihku

    ♬ original sound – Alip – Alip

    Pada 2023, isu antara peminat kedua-duanya kembali menjadi perhatian apabila seorang pengguna meminta Aina ‘memantau’ peminat fanatik yang didakwa meninggalkan komen negatif terhadap Ernie.

    Ernie akhirnya tampil meminta pertelingkahan itu dihentikan sambil menegaskan dia dan Aina langsung tidak mempunyai masalah.

    " data-video-id="7472083223493741832" data-embed-from="oembed" style="max-width:605px;min-width:325px">
    @ashsuhaimi

    Ernie peluk aina! 🥹✨ #AJL39 @ainaabdulofficial @erniezakriez #ainaabdul #erniezakri #nadarasa

    ♬ blue – slowed down – yung kai

    Selepas memenangi kategori Vokal Terbaik AJL38 pada 2024, Aina sekali lagi menegaskan pengiktirafan tersebut tidak bermaksud dirinya lebih bagus berbanding Ernie. Malah, Aina menyifatkan mereka yang sengaja mahu melaga-lagakan dirinya dengan penyanyi lain bukanlah peminat sebenar.

    Maksudnya cukup jelas. Artis okay. Peminat yang terlebih bergaduh. Apabila fenomena sama berulang bertahun-tahun, ia menunjukkan betapa mudahnya budaya persaingan diwujudkan hanya kerana dua penyanyi berada dalam kategori atau liga yang sama.

    Sumber: Gempak – “Jangan Banding, Jangan Kutuk!’ – Ernie Zakri Tak Selesa Dibandingkan Dengan Aina Abdul”, mStar – “Tolong pantau pentaksub anda!’ – Ernie Zakri minta peminat henti bertelagah, tiada masalah dengan Aina Abdul”, mStar – “Vokal dapat pengiktirafan bukan bermaksud lebih baik daripada Ernie Zakri – Aina Abdul”

    3. Amir Jahari Sampai Padam X Selepas Diserang ‘Fake Sitizoner’

    Fan war juga boleh tercetus apabila seseorang artis memberikan pandangan terhadap isu yang melibatkan selebriti dengan fandom besar. Pada 2024, Amir Jahari mengakui emosi serta mentalnya terganggu selepas menjadi mangsa buli siber di platform X.

    Menurut Amir, serangan itu berlaku selepas pandangannya mengenai persembahan Datuk Seri Siti Nurhaliza tidak diterima baik oleh sebahagian peminat fanatik penyanyi berkenaan. Amir sendiri membezakan antara penyokong Siti yang baik dan kelompok yang digelarnya sebagai ‘fake Sitizoner’.

    Menurutnya, serangan tersebut menyebabkan dia memadam aplikasi X selama sebulan. Amir turut mendakwa ada pihak mengejek perjalanan kerjayanya dengan mengatakan dirinya kembali ‘sendu’ selepas kemenangan di AJL.

    Menariknya, Amir kemudiannya meminta peminat supaya tidak terlalu mengagungkan dirinya sendiri atau mana-mana artis. Dalam kenyataan berasingan, dia secara terbuka meminta mereka yang terlalu mengidolakan dirinya supaya berhenti berbuat demikian jika sikap tersebut akhirnya membawa kepada fanatisme keterlaluan.

    Perlu ditekankan tindakan segelintir akaun tidak boleh digunakan untuk mewakili keseluruhan Sitizoner. Namun kes Amir menunjukkan bagaimana kritikan atau perbezaan pendapat mengenai seseorang idola boleh bertukar menjadi serangan peribadi terhadap pihak yang tidak bersetuju.

    Sumber: mStar – Amir Jahari padam X gara-gara komen ‘fake Sitizoner’, mental terganggu baca kecaman netizen” Kosmo! – “Kepada yang idolakan saya, tolong berhenti – Amir Jahari”

    4. Fattah–Fazura Dah ‘Move On’, Perang Peminat Masih Berpanjangan

    Tidak semua fan war melibatkan penyanyi atau pertandingan muzik. Perpisahan selebriti juga boleh mewujudkan ‘kem’ penyokong masing-masing.

    Selepas perceraian Fattah Amin dan Fazura pada Oktober 2024, perkembangan melibatkan bekas pasangan itu terus menjadi perhatian dan bahan perdebatan di media sosial.

    Pada Julai 2025, Kosmo! menerbitkan laporan khusus menyeru peminat Fattah dan Fazura supaya berhenti bertelagah apabila perbalahan antara penyokong kedua-duanya terus berlaku. Situasi kembali mendapat perhatian selepas Fattah berkahwin dengan Amira Othman.

    Pelakon Fasha Sandha antara individu yang menerima tempias selepas menghadiri majlis resepsi pasangan itu pada Oktober 2025. Fasha mendedahkan terdapat pengguna yang mahu berhenti mengikutinya di media sosial hanya kerana dia menghadiri majlis berkenaan.

    Sebulan kemudian, Fasha sekali lagi menjelaskan dia masih bersahabat dengan Fazura dan menyifatkan peminat fanatik sebagai terlalu beremosi terhadap situasi tersebut.

    Malah pada Julai 2026, Fazura sendiri meminta orang ramai menghentikan provokasi dan tidak mencampuri usaha dirinya bersama Fattah untuk membesarkan anak mereka. Dia turut meminta supaya fitnah, cacian dan provokasi dihentikan demi kesejahteraan anak mereka.

    " data-video-id="7667880628209093904" data-embed-from="oembed" style="max-width:605px;min-width:325px">
    @lobakmerahmy

    Aktres jelita dan juga usahawan, Fazura memohon orang ramai agar menghentikan segala bentuk provokasi, fitnah serta cacian yang berterusan terhadap dirinya. Menerusi satu sesi siaran langsung di TikTok, Fazura berkata dia hanya mahu diberikan ruang untuk membesarkan anak tunggalnya, Nur Fatima Aisya, dalam suasana tenang dan harmoni. Topik berkaitan Fazura dan Fattah mula diperkatakan selepas perkongsian di Instagram milik Fatima mengenai sambutan hari kebudayaan di sekolahnya, diserikan dengan kehadiran kedua-dua ibu bapanya itu. P/s: Video di atas bukan hak milik Lobak Merah dan kami telah meletakkan kredit kepada pemilik video. Sekiranya anda ingin menurunkan sebarang video, Sila DM kami dalam kadar segera. Terima Kasih!

    ♬ original sound – LOBAK MERAH – LOBAK MERAH

    Apabila individu yang terlibat sendiri meminta orang luar berhenti bergaduh, timbul satu persoalan: Siapa sebenarnya yang masih mahu ‘berperang’?

    Sumber: Kosmo! – “Peminat Fattah, Fazura berhenti bertelagah”, mStar – “Ramai nak ‘unfollow’ Fasha Sandha sebab pergi majlis resepsi Fattah Amin, Amira Othman…”, mStar – “‘Saya masih sahabat dia’… Fasha ulas hubungan dengan Fazura, anggap peminat fanatik terlebih emosi”, mStar – “Hentikan provokasi, Fazura mohon jangan campur tangan urusan besarkan anak bersama Fattah Amin”

    5. Konsert DAY6 Di Kuala Lumpur Cetus ‘Perang’ Asia Tenggara Lawan Korea Selatan

    Satu insiden pada 2026 menunjukkan fan war yang bermula di Malaysia boleh berkembang jauh melampaui sempadan fandom. Pada 31 Januari 2026, DAY6 mengadakan konsert di Kuala Lumpur.

    Selepas konsert, beberapa peminat Malaysia mempersoalkan tindakan fansite Korea Selatan yang didakwa membawa masuk kamera profesional dan lensa besar walaupun peraturan penganjur melarang peralatan sedemikian.

    CNA melaporkan selepas wajah seorang fansite dikongsikan dalam talian, sebahagian pengguna Korea membantah tindakan berkenaan manakala pengguna Malaysia mempertahankan pendirian bahawa peraturan negara tuan rumah perlu dihormati.

    Kalau berhenti setakat itu, ia mungkin sekadar perdebatan fandom. Malangnya, pertikaian tersebut kemudian berubah menjadi serangan lebih luas sehingga melibatkan penghinaan mengenai rupa paras, budaya, ekonomi dan isu sosial.

    Pengguna dari beberapa negara Asia Tenggara turut menyertai perdebatan sehingga muncul identiti kolektif ‘SEAblings’. The Rakyat Post turut melaporkan pertikaian tersebut bermula daripada insiden selepas konsert DAY6 di Malaysia sebelum berkembang menjadi perang kata-kata antara pengguna Korea Selatan dan Asia Tenggara.

    Ironinya, semakin lama perang tersebut berlangsung, semakin jauh perbincangan menyimpang daripada DAY6. Sebuah isu mengenai peraturan kamera akhirnya berkembang menjadi perdebatan tentang bangsa, ekonomi dan identiti serantau.

    Sumber: CNA Lifestyle – “How a K-pop concert in Malaysia led to war of words between Southeast Asian and Korean netizens”, The Rakyat Post –“SEA Versus South Korea: A K-Pop Fan War Nobody Asked For”

    Bila ‘Saya Minat Dia’ Bertukar Menjadi ‘Saya Kena Pertahankan Dia’

    Kes Syasya Dolla menunjukkan bagaimana fanatisme boleh bergerak daripada komen kasar kepada sesuatu yang jauh lebih serius seperti ugutan. Kes Ernie Zakri dan Aina Abdul pula membuktikan persaingan boleh diwujudkan oleh peminat walaupun artis sendiri berulang kali menegaskan mereka tidak mempunyai masalah.

    Amir Jahari menunjukkan bagaimana seseorang artis yang memberikan pandangan mengenai selebriti popular boleh menjadi sasaran kelompok peminat yang tidak bersetuju. Manakala pertelingkahan penyokong Fattah Amin dan Fazura memperlihatkan fandom boleh terbentuk bukan sahaja di sekitar kerjaya seseorang selebriti tetapi juga kehidupan peribadi mereka.

    Persamaan semua kes ini ialah kecenderungan sebahagian peminat untuk menganggap serangan terhadap idola sebagai serangan terhadap diri sendiri. Apabila seseorang terlalu mengikat identitinya kepada selebriti yang diminati, kekalahan artis menjadi kekalahannya, kritikan terhadap artis terasa seperti kritikan terhadap dirinya dan kejayaan ‘pesaing’ pula dianggap ancaman.

    Masalahnya bukan kerana seseorang terlalu menyukai artis. Masalah bermula apabila rasa suka itu digunakan sebagai alasan untuk menghina, mengugut atau menyerang orang lain. Kerana selepas fan war tamat, hashtag sudah tidak trending dan artis kembali menjalani kehidupan masing-masing, individu yang menjadi mangsa serangan tetap perlu menanggung kesannya.

    Dan kalau artis yang kita cuba ‘pertahankan’ sendiri meminta peminat berhenti bergaduh, mungkin itu petanda paling jelas peperangan tersebut sebenarnya tidak pernah diperlukan.

    The post Bila Minat Jadi Pertelingkahan: 5 Insiden ‘Fan War’ Yang Pernah Jadi Perhatian first appeared on OHBULAN!.



    Latest Posts

    IKLANShopee Sale

    Mesti Baca

    Follow Facebook Portal Barang Murah