Tidak kira berapa pun usia seseorang, kehadiran seorang mak atau ibu tetap menjadi tempat paling selesa untuk mencari ketenangan, mendapatkan nasihat dan meluahkan segala yang terbuku di hati.
Bagi penyampai radio dan pelakon, Sharifah Shahirah, nikmat itu masih dapat dirasainya sehingga hari ini apabila ibunya yang kini berusia 78 tahun masih setia menjadi tempat untuknya mengadu, terutama ketika berdepan cabaran membesarkan anak-anak.
Artikel Berkaitan: [VIDEO] ‘Bilik Tidak Boleh Dikunci, Telefon Bimbit Jangan Dimatikan’ – Auddra Dedah Peraturan Sharifah Shahirah
Artikel Berkaitan: POV XTRA: ‘Jual Air Balang Pun Tetap Anak Artis’ – Sharifah Shahirah Anggap Fenomena ‘Nepo Baby’ Sudah Jadi Lumrah
POV XTRA membawakan pandangan selebriti mengenai pelbagai isu, daripada topik yang hangat diperdebatkan hinggalah persoalan harian yang sering bermain dalam fikiran ramai. Tiada jawapan mutlak, tetapi setiap perspektif membuka ruang untuk sesuatu perkara dilihat dari sudut berbeza.
Menerusi segmen #POVXTRA, Shahirah atau lebih mesra disapa sebagai Shiera mengakui fokus kehidupannya kini lebih tertumpu kepada anak-anak yang masih bergantung kepadanya terutamanya apabila memasuki usia 50-an.
Dalam masa sama, perubahan hormon serta kerenah anak-anak yang sedang meningkat remaja membuatkan dirinya semakin memahami apa yang pernah dilalui ibunya suatu ketika dahulu.
Sekarang ini saya dah tak peduli dengan diri sendiri. Lebih kepada anak-anak sebab saya risau mereka masih lagi bergantung dengan kami.
Saya nak melepaskan tali itu sedikit demi sedikit. Kepenatan itu dah datang, lagi-lagi bila dah umur 50 lebih. Satunya hormon pun dah bertukar, sudah tentu dah menopause. Berlaga pula dengan hormon anak yang sedang meningkat remaja.
Pengalaman melalui fasa tersebut membuatkan Shiera sering terfikir bagaimana ibunya dahulu berdepan kerenah dirinya ketika usia remaja.
Saya fikir macam inilah mak saya hadap ketika zaman remaja dahulu. Nasib baik mak saya hidup lagi. Saya akan mengadu dengan dia, lepas itu mak saya ketawa. Dia akan berbuih nasihat saya agar berdoa untuk anak-anak.
Syukur Masih Ada Ibu, Tempat Meluah Keluh-Kesah
Menurut Shiera, dia tidak merasakan perlu mencari orang lain sebagai tempat untuk meluahkan perasaan kerana ibunya masih mampu memberikan pandangan dan nasihat yang baik.
Alhamdulillah, ibu saya walaupun dah berusia 78 tahun tapi dia boleh berfikir. Selalu nasihat saya untuk bercakap baik. Best apabila dapat meluah perasaan dengan mak.
Wajib Hubungi Ibu Selepas Balik Kerja
Hubungan rapat mereka juga dapat dilihat apabila Shahira menjadikan rutin menghubungi ibunya setiap kali selesai bekerja.
Asal balik kerja saja mesti akan hubungi mak. Walaupun tak dapat tengok dia, balik kerja wajib call. Kena ikut cakap ibu bila nasihat, suruh jaga makan agar jadi macam dia.
Menganggap ibunya sebagai ‘kawan gaduh’, Shiera turut mengakui akan mula berasa risau sekiranya panggilannya tidak dijawab.
Kebimbangan itu turut berkait dengan keadaan ibunya yang pernah mengalami serangan keresahan atau anxiety sehingga mendapatkan rawatan pakar.
Kawan gaduh saya. Kalau dia tak angkat saya risau. Sebab dia ada kena attack anxiety. Dia selalu periksa kesihatan sampai doktor cakap dia tak sakit, akhirnya kena pergi pakar psikiatri rupanya dia ada anxiety.
Tapi sakit anxiety itu yang membuatkan dia sakit, tak nak makan, muntah.
Bagi Shiera, meskipun dirinya kini sudah bergelar ibu dan mempunyai anak-anak sendiri, peluang untuk masih mempunyai seorang ibu sebagai tempat mengadu dan meminta nasihat merupakan nikmat yang cukup besar dalam kehidupannya.
The post POV XTRA: ‘Salah Satu Nikmat Allah Paling Besar, Saya Masih Ada Mak Untuk Mengadu’ – Sharifah Shahirah first appeared on OHBULAN!.





