Permohonan penangguhan pelaksanaan (stay of execution) yang difailkan penghuni Biara Gua Sakyamuni bagi menghalang syarikat pengeluar simen Associated Pan Malaysia Cement (APMC) mendapatkan waran pemilikan tanah biara itu akan didengar pada 9 September ini.
Peguam yang mewakili pihak biara, Gokul Radhakrishnan, berkata permohonan itu dibuat susulan usaha APMC mendapatkan waran pemilikan (Writ of Possession) bagi mengosongkan tanah berkenaan.
“Kes itu telah dibatalkan terhadap defendan kedua pada 2 September 2026. Jadi, penghuni memfailkan permohonan stay of execution untuk menghalang pelaksanaan Writ of Possession yang telah dipohon oleh APMC.
“Jadi, 9 September bukan pendengaran mengenai rayuan terhadap keputusan strike-out. Ia adalah pendengaran berasingan mengenai sama ada pelaksanaan Writ of Possession patut ditangguhkan atau tidak,” katanya kepada Malaysiakini.
Gokul berkata kes saman sivil yang difailkan Biara Gua Sakyamuni dan seorang sami terhadap APMC, selaku defendan kedua sebelum ini telah dibatalkan pada 2 September lalu selepas mahkamah membenarkan permohonan APMC untuk membatalkan tuntutan pihak biara dengan kos.
Sehubungan itu, pihak biara kini dalam proses merayu keputusan tersebut.
Bagaimanapun, Gokul berkata alasan penuh keputusan strike-out itu belum diberikan.
“Saya tidak mempunyai alasan penghakiman ketika ini. Sebaik mendapatkannya, saya boleh menentukan sebab-sebab keputusan itu. Alasan penuh tidak diberikan pada 2 September,” katanya.
Sementara itu, Gokul berkata jika permohonan stay of execution pada 9 September ditolak, pihak-pihak perlu hadir di hadapan pendaftar bagi mendapatkan arahan lanjut berhubung tindakan seterusnya.
“Jika stay ditolak, kami perlu hadir di hadapan pendaftar untuk melihat apakah arahan yang akan dibuat,” katanya.
Awal bulan ini kumpulan sami daripada Biara Gua Sakyamuni di Gunung Kanthan, telah meminta bantuan Perdana Menteri Anwar Ibrahim bagi membantu menyelamatkan rumah ibadat mereka daripada perobohan.
Biara didakwa berusia seratus tahun itu berada dalam kawasan Tambun yang juga kerusi parlimen Anwar. Mereka ketika itu membangkitkan isu alam sekitar dan tapak warisan.
Pada 2023, Mahkamah Rayuan membenarkan pengeluar simen Associated Pan Malaysia Cement (APMC) untuk mengusir biara di Lot No. 46497 di Hulu Kinta.
Panel tiga hakim terdiri daripada Azizah Nawawi, See Mee Chun dan Zaini Mazlan, memutuskan biara itu gagal membangkitkan sebarang isu yang boleh dibicarakan untuk menghalang pemberian perintah.
Mahkamah juga menerima hujah syarikat bahawa sebagai pemilik berdaftar mereka berhak untuk berjaya dalam permohonan ringkas bagi pemilikan selepas rayuan didengar.





