Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) menegaskan pengedaran baja subsidi daripada agensi itu dilaksanakan mengikut tatakelola yang ketat berdasarkan pesanan dan kuota berdaftar.
Pengurus Besar Nafas Muhammad Faris Ariffin berkata, senarai penerima baja subsidi itu berdaftar dengan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM).
Menurutnya kemudahan pertanian itu diuruskan hingga ke peringkat pertubuhan peladang kawasan (PPK) dan diagihan kepada pesawah.
“Nafas tidak sesekali berkompromi dengan sebarang aktiviti penyelewengan, ketirisan, atau penyeludupan rentas sempadan.
“Kami bersedia memberi kerjasama penuh kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM), KPKM, dan agensi penguatkuasaan sempadan bagi membantu siasatan lanjut,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini, hari ini.
Dia berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung sejumlah subsidi Skim Baja Padi Kerajaan Persekutuan (SBPKP) yang dibekalkan oleh anak syarikat Nafas dikesan dijadikan bahan untuk menghasilkan bom buatan sendiri (IED) oleh kumpulan pemisah di selatan Thailand.
Media semalam melaporkan pihak berkuasa Thailand merampas kira-kira 520 kilogram baja urea tersebut dalam satu operasi di Mukim Koh Sathon, Tak Bai, Narathiwat pada Jumaat lalu.
Laporan itu menyebut logo Persekutuan Malaysia dan tulisan skim baja padi kerajaan persekutuan selain logo anak syarikat Nafas tersebut dilihat ada pada guni baja yang dirampas.
Memetik sumber, Utusan Malaysia melaporkan Pusat Operasi Keselamatan Dalam Negeri Wilayah 4 (ISOC 4) berkata, hasil pemeriksaan yang dilakukan pihak berkuasa menemukan 26 guni baja urea dari Malaysia.
Dalam operasi pada jam 10.16 pagi itu, seorang suspek berusia dalam 40-an turut ditahan semasa sedang membawa baja tersebut menggunakan motosikal roda tiga.
“Setiap guni baja itu seberat 20 kilogram. Semakan mendapati suspek sebelum ini pernah ditahan untuk soal siasat berkaitan kes keselamatan pada 2012.
“Kami percaya baja urea tersebut akan digunakan oleh kumpulan pemisah sebagai salah satu komponen membuat IED,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Sumber itu berkata, operasi tersebut sekali gus berjaya menghalang insiden lebih serius daripada berlaku khususnya ketika wilayah Selatan Thailand berdepan puluhan siri serangan dan letupan bom kebelakangan ini.
Sebelum ini pernah pihak berkuasa Thailand dilaporkan mendedahkan baja urea antara bahan yang digunakan untuk membuat bom dalam insiden letupan di Selatan Thai.
Pengarah ISOC 4, Left Jen Naratip Phoyanok, berkata hasil soal siasat terhadap beberapa individu yang ditahan mendapati baja urea itu dibawa masuk dari negara jiran.





