Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menggantung serta-merta pemakaian baju oren bagi Orang Kena Siasat (OKS) yang dibawa ke mahkamah bagi tujuan permohonan reman.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Abd Halim Aman berkata langkah itu diambil susulan perkembangan terkini serta saranan semasa berkaitan tatacara pengendalian OKS, khususnya ketika proses membawa mereka ke mahkamah.
Menurutnya, OKS kini dibenarkan memakai pakaian biasa ketika dibawa ke mahkamah, manakala pakaian lokap hanya perlu dipakai sepanjang tempoh mereka berada dalam tahanan lokap.
"Pemakaian baju lokap hanya terpakai sepanjang tempoh OKS berada dalam tahanan di lokap," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengenai pemakaian gari, SPRM berkata ia bergantung kepada keadaan tertentu dan dikecualikan bagi OKS yang uzur, orang kurang upaya (OKU), kanak-kanak serta warga emas.
Bagaimanapun, SPRM menegaskan langkah berjaga-jaga dan kawalan keselamatan yang sewajarnya akan terus dilaksanakan dalam setiap proses pengendalian OKS.
"SPRM kekal komited bagi memastikan setiap tindakan yang diambil dalam pengendalian OKS dilaksanakan secara profesional, berintegriti, berhemah dan selaras dengan peruntukan undang-undang serta prosedur yang ditetapkan," katanya.
Sementara itu, dalam kenyataan berasingan Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata individu yang ditahan bagi membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak semestinya perlu dikenakan baju oren sebelum mereka didakwa di mahkamah.
Katanya, pemakaian baju oren ketika seseorang masih dalam peringkat siasatan boleh menimbulkan persepsi berbeza, terutama jika individu terbabit memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa.
“Kalau tanya untuk siasat, siasat dulu. Kalau ada kes untuk didakwa, itu saya serah kepada badan penguat kuasa tentang baju warna apa.

“Tapi setakat ini, saya hormati pandangan kerana ada orang yang rasanya bagi kerjasama dalam siasatan, tak perlulah dikenakan baju oren kerana beri persepsi yang berbeza,” katanya kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Bukit Indah, Ampang Jaya hari ini.
Mengulas lanjut, Anwar berkata perkara itu turut disampaikannya sebelum ini, iaitu pemakaian baju oren tidak perlu dikenakan terhadap individu yang masih belum didakwa atau dihadapkan ke mahkamah.
Pada masa sama, Anwar juga menegaskan agensi penguat kuasa perlu menjalankan siasatan secara berhemah dan adil tanpa menekan mana-mana pihak.
"Kita mahu agensi ini jalan kerja dengan berhemah, dengan adil.
“Bukan maksud kita, seperti yang ditohmah, tekan sesiapa. Ada bukti, teruskan. Tiada bukti, lepaskan,” katanya.
Menurut Anwar, kerajaan mendapat mandat untuk mentadbir negara dengan baik serta membersihkan negara daripada amalan rasuah dan penyalahgunaan kuasa.
Dia berkata usaha berkenaan tidak seharusnya dilihat sebagai tindakan terhadap mana-mana kaum atau kumpulan tertentu, sebaliknya merupakan usaha menyelamatkan negara.
"Saya nak tegaskan, selagi saya pegang amanah ini, sudah sampai masanya untuk kita ambil pendirian yang tegas.
"Masyarakat Melayu, bukan Cina, bukan India, dari Sabah atau Sarawak, ini bukan soal kaum.
"Ini soal selamatkan negara. Bukan nak selamatkan kedudukan, bukan selamatkan kumpulan," katanya.





