31.4 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 25, 2026
IKLANShopee SaleShopee Sale
More

    Artikel Terkini

    Sesi PDPR pelajar di daerah Kota Setar dan Pendang berjalan lancar

    Shopee Sale

    Sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) yang bermula hari ini bagi pelajar di daerah Kota Setar dan Pendang berikutan keadaan cuaca panas berjalan dengan lancar.

    Tinjauan mendapati kebanyakan ibu bapa membantu anak mereka melaksanakan PdPR dari rumah menggunakan pelbagai platform seperti Google Meet, Google Classroom dan aplikasi WhatsApp bagi memastikan sesi pembelajaran tidak terjejas walaupun tidak hadir ke sekolah.

    Seorang suri rumah Shahira Azizan, 32, berkata walaupun kurang bersetuju dengan pelaksanaan PdPR kerana bimbang penyampaian guru tidak sampai terus kepada murid-murid, dia tetap akur demi keselamatan dan kesihatan anak saudaranya.

    “Saya menjaga dua anak saudara, Khayla Zahra Mohd Zahir, 11, dan Khayla Zulfa Mohd Zahir, 9. Kalau ikutkan, saya lebih suka mereka ke sekolah sebab sesi pembelajaran yang lebih berkesan tetapi saya tahu cuaca terlalu panas, jadi tidak mahu ambil risiko.

    “Ada juga rakan yang maklumkan mereka berdepan kekangan, contohnya dalam satu keluarga ada tiga anak yang ikuti PdPR tapi hanya ada satu perananti. Jadi, memang akan ada masalah sikit tetapi perlu juga dilakukan,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Alor Setar hari ini.

    MENARIK:  Rafizi selar 'ceplos' PKR, sekolahkan Fahmi, JKOM isu kawal persepsi rakyat

    Sementara itu, Khayla Zahra, pelajar darjah lima Sekolah Kebangsaan (SK) Convent berkata dia lebih bersedia mengikuti PdPR kali ini berbanding pertama kali melaluinya ketika negara dilanda COVID-19 dahulu.

    “Masa pertama kali PdPR dahulu, saya rasa kekok sikit sebab tak pernah belajar menggunakan telefon dan cikgu tiada di depan macam di sekolah tapi lama-kelamaan saya sudah faham dan rasa lebih selesa,” katanya.

    Noraini Jusoh, 45, yang juga suri rumah berkata keputusan melaksanakan PdPR adalah wajar memandangkan keadaan cuaca sejak kebelakangan ini amat panas, terutama pada waktu tengah hari dan ia boleh menyebabkan berlaku strok haba.

    “Kalau anak-anak berada di sekolah mungkin mereka terdedah kepada panas ketika berjalan di dalam kawasan sekolah atau melakukan aktiviti luar. Sekurang-kurangnya dengan PdPR mereka belajar dalam keadaan lebih selesa di rumah,” katanya.

    Semalam, JPN Kedah dalam kenyataan memaklumkan pelaksanaan PdPR selama tiga hari bermula hari ini sehingga Selasa dilaksanakan melibatkan sekolah di Kota Setar dan Pendang selepas kedua-dua daerah itu merekodkan bacaan suhu harian gelombang haba pada Tahap 2 selama tiga hari berturut-turut.

    Latest Posts

    IKLANShopee Sale

    Mesti Baca

    Follow Facebook Portal Barang Murah