Seorang penerima kotak bantuan dari perkampungan Cenderawasih, dekat Kuantan, Pahang, berkata dia rasa tertipu selepas mendakwa didaftarkan menjadi ahli parti politik tanpa disedari.
Dia yang hanya mahu dikenali sebagai Siti, 41, berkata program pengagihan kotak bantuan itu berlangsung pada Ahad lalu.
Katanya dia cuma dimaklumkan untuk datang mengambil bantuan dan ketika beratur, ada petugas yang memina kad pengenalan untuk diambil gambar.
"Apabila ditanya mengapa, mereka maklumkan ia untuk tujuan rekod. Saya tak tahu pun ia adalah untuk tujuan pendaftaran ahli parti mereka," katanya kepada Malaysiakini.
Difahamkan, program berkenaan anjuran Pusat Komuniti Madani Parlimen Indera Mahkota.
Siti bagaimanapun memberitahu, tidak ada sebarang kain rentang atau poster dipasang ketika program itu berlangsung.
"Cuma ada satu khemah putih dan beberapa meja untuk pendaftaran. Saya sampai di situ sekitar jam 9 pagi dan ramai penduduk yang turut beratur untuk mendapatkan bantuan disediakan penganjur," jelasnya.
Perkara sama turut dikongsi Mazita Ahmad, 58, yang turut mengambil kotak bantuan ketika program itu.
Katanya petugas di situ memaklumkan bantuan berkenaan adalah daripada PKR dan untuk mendapatkannya penerima perlu menunjukkan kad pengenalan untuk diambil gambar.
"Tapi saya tak bagi (kad pengenalan) dan terus bergerak dari situ selepas menerima kotak daripada petugas," katanya yang juga ibu tunggal.
Beza parti tak jadi masalah
Dia turut memaklumkan tidak diberitahu oleh sesiapa mengenai setiap penerima perlu mendaftar sebagai ahli parti terbabit.
"Saya cuma ada bagi nombor telefon... sebelah malamnya saya terima mesej ringkas berbentuk nombor OTP (one time password) untuk akses ke laman web Adil," katanya.
Menganggap ia sebagai tindakan terdesak dan tidak beretika dia juga mendakwa kejadian berkenaan tidak pernah berlaku.
"Ini perkara yang sangat memalukan, sanggup ambil kesempatan seperti ini semata-mata untuk kepentingan parti mereka," luahnya.
Sementara itu, wakil Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), Perkampungan Cenderawasih, Mohd Asyraf Ibrahim, turut berkongsi kekecewaan dengan kejadian berkenaan.
"Kami di Cenderawasih hidup aman damai, tidak pernah menjadikan perbezaan parti dalam hal pengagihan bantuan.
"Bahkan dalam JPKK pun wakil dari semua parti dipilih untuk menjadi ahli jawatan kuasa bagi memastikan setiap bantuan daripada mana-mana parti dapat diagihkan dengan teratur.
"Saya memang kecewa bila dimaklumkan perkara seperti ini berlaku, ia sangat tidak sihat kepada hubungan baik antara penduduk di sini," katanya.

Dia turut menjelaskan, pengagihan kotak bantuan kepada penduduk yang layak di Cenderawasih memang dilakukan menerusi Adun Semambu, Chan Chun Kuang.
Katanya, inisiatif berkenaan sudah berjalan tanpa masalah sebelum ini dan mengakui Chan juga sering turun padang bertemu dengan penduduk di situ.
"Dia (Chan) tak pernah pun ajak kami masuk PKR, dia menjalankan tugas dengan baik dan setiap bantuan disalurkan di sini, dia tak pernah pilih siapa yang patut terima.
"Tak tanya pun penerima orang parti mana, cuma yang layak terima, memang akan dapat.
"Begitu juga kalau bantuan daripada Umno atau PAS, kami agihkan sebaik mungkin kepada penduduk yang betul-betul layak," tegasnya.
Minta beri maklumat
Chan pula ketika dihubungi Malaysiakini bagi mengulas mengenai perkara itu memaklumkan dia tidak mempunyai maklumat berkaitan program di perkampungan Cenderawasih pada pagi Ahad lalu.
"Itu kena tanya Pusat Komuniti Madani Indera Mahkota, ia program mereka... saya memang tak tahu," katanya ringkas.

Pengurus Pusat Komuniti Madani Indera Mahkota, Saifulzaman Mahmood, pula menafikan dakwaan ada pihak 'menipu' penduduk kampung untuk mendapatkan bantuan.
"Program pendaftaran ahli memang dilakukan secara berterusan oleh Pemuda PKR Indera Mahkota dan petugas akan memaklumkan tarikh pendaftaran kepada mereka yang berminat.
"Mengenai (pengagihan) kotak bantuan, terdapat perbezaan antara Kotak Madani dan 'kotak khusus parti' untuk ahli lama dan baru.
“Penerima sepatutnya sudah maklum perkara ini.
"Bagaimanapun, pihak kami meminta jika ada maklumat berkaitan penduduk kampung yang merasakan tertipu dengan program itu, untuk memberikan maklumat supaya siasatan dan tindakan susulan boleh diambil," katanya menerusi satu komen di Facebook.





