29.6 C
Kuala Lumpur
Wednesday, June 17, 2026
IKLANShopee SaleShopee Sale
More

    Artikel Terkini

    RTM wujudkan pasukan khas pantau akses siaran Piala Dunia dari luar negara

    Shopee Sale

    Radio Televisyen Malaysia (RTM) mewujudkan pasukan dan sistem khas bagi memantau cubaan mengakses siaran Piala Dunia FIFA 2026 menerusi platform RTMKlik dari luar negara termasuk menerusi penggunaan Rangkaian Persendirian Maya (VPN).

    Ketua Pengarah Penyiaran Ashwad Ismail berkata pemantauan berterusan itu dilaksanakan bersama-sama rakan strategik teknologi bagi memastikan siaran kejohanan berkenaan hanya dapat ditonton di Malaysia, selaras dengan perjanjian hak penyiaran bersama dengan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

    "Kita sentiasa melakukan sekatan geografi dan ia sebahagian daripada perjanjian dengan FIFA.

    "Pasukan teknikal memantau setiap saat dan ada pengukuhan dibuat pada sistem belakang (backend) RTMKlik dari semasa ke semasa bagi memastikan kandungan World Cup menerusi RTMKlik tidak boleh diakses dari luar Malaysia," katanya kepada pemberita selepas menjadi tetamu program The Nation with Jessy Chahal di Wisma Bernama di Kuala Lumpur, hari ini.

    Ashwad berkata langkah itu juga bertujuan memastikan kelancaran siaran kesemua 104 perlawanan menerusi RTM dan rakan penyiar rasminya, Unifi TV, selain memastikan kestabilan platform digital berkenaan sepanjang kejohanan berlangsung.

    Mengulas lanjut mengenai VPN, beliau berkata walaupun terdapat cubaan menembusi sistem RTMKlik, langkah pengukuhan berterusan yang diambil menjadikan sistem itu semakin sukar ditembusi, sekali gus memastikan penonton di Malaysia dapat terus menikmati siaran dengan baik.

    MENARIK:  Ambiga, Surendran desak PM tarik balik arahan 'bersihkan' kuil haram

    Katanya, bagi edisi 2026, kerajaan memperoleh hak siaran bagi kesemua 104 perlawanan merangkumi 94 siaran langsung dan 10 siaran tertunda dengan peruntukan RM26.2 juta berbanding RM33 juta bagi hanya 41 perlawanan pada edisi 2022.

    "Sudah tentu kita boleh buat dengan lebih baik. Ini merupakan pengalaman baharu bagi RTM selepas lebih 20 tahun mengendalikan siaran Piala Dunia.

    "Saya mengambil kesempatan memohon maaf sekiranya ada sedikit cacat cela, memandangkan kali ini RTM berada di barisan hadapan untuk mengendalikan siaran kesemua 104 perlawanan," katanya.

    Berhubung jumlah tontonan, Ashwad berkata RTMKlik merekodkan purata antara 1.5 juta hingga 2.5 juta tontonan bagi setiap perlawanan, namun data lengkap akan diumumkan selepas kejohanan berakhir.

    Piala Dunia 2026 yang menyaksikan Amerika Syarikat, Mexico dan Kanada sebagai tuan rumah bersama telah bermula di Mexico City pada 11 Jun, manakala aksi final dijadualkan berlangsung di New Jersey pada 19 Julai ini.

    Latest Posts

    IKLANShopee Sale

    Mesti Baca

    Follow Facebook Portal Barang Murah