Speaker DUN Johor, Puad Zarkashi, mengesahkan tidak akan mempertahankan kerusi DUN Rengit pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang dijadualkan berlangsung pada 11 Julai ini.
Puad, yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, berkata dia telah memikirkan perkara itu sejak setahun lalu dan membuat keputusan tersebut atas faktor usia.
Katanya perkara itu juga telah dimaklumkan kepada Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi serta Pengerusi Badan Perhubungan Umno Johor, Onn Hafiz Ghazi, kira-kira dua minggu lalu.
“Saya ingin mengesahkan berita yang tular bahawa saya tidak akan mempertahankan kerusi DUN Rengit di PRN Johor.
"Faktor usia adalah faktor utama. Saya sudah berusia 69 tahun.
“Kalau lima tahun lagi saya akan berumur 74 tahun. Pada saya tidak sesuai di usia tersebut mahu bertanding lagi di kerusi DUN,” katanya dalam hantaran di media sosial.
Menurutnya, Onn Hafiz yang juga Menteri Besar Johor wajar diberi ruang untuk memimpin barisan pemimpin muda dalam menghadapi pilihan raya dan menerajui pentadbiran negeri.
“Sepatutnya yang berusia 50 tahun ke bawah sahaja yang wajar bertanding di kerusi DUN.
"Bagaimanapun saya telah memberikan cadangan ciri ciri pelapis yang perlu dipertimbangkan. Sudah tentu mesti berkelulusan, berakhlak, komited kepada perjuangan dan faham hala tuju bangsa,"tambahnya.
Puad berkata dia akan menyelesaikan beberapa tugasan di kawasan itu sebelum hari penamaan calon, selain turut merakamkan penghargaan kepada rakyat Rengit, penjawat awam, ketua kampung dan masyarakat Cina atas kerjasama yang diberikan sepanjang lebih empat tahun berkhidmat sebagai wakil rakyat.
Selain itu, dia turut menjunjung kasih kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, atas perkenan melantiknya sebagai Speaker DUN Johor, serta kepada Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, atas nasihat dalam memastikan perjalanan sidang DUN Johor berjalan lancar.
Pada PRN Johor ke-15, Puad memenangi kerusi DUN Rengit dengan majoriti 1,920 undi.
Dia yang bertanding atas tiket BN mendapat undi sebanyak 7,903 dan menewaskan Mohammad Huzair Lajis daripada Perikatan Nasional (5,983).
Sementara itu, Khairuddin A Rahim daripada PKR mendapat 2,065 undi manakala Nizam Bashir Abdul Kariem Bashir daripada Pejuang memperolehi 206 undi.





