29 C
Kuala Lumpur
Wednesday, July 8, 2026
IKLANShopee SaleShopee Sale
More

    Artikel Terkini

    ‘Putus asa tak ubah apa-apa’: 134 pertubuhan Cina gesa balik undi

    Shopee Sale

    Ketika pilihan raya negeri (PRN) Johor yang sedang berlangsung dan menjelang PRN Negeri Sembilan, 

    Sebanyak 134 persatuan Cina termasuk Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH) mengeluarkan kenyataan bersama bagi menggesa pengundi Johor dan Negeri Sembilan pulang mengundi.

    “Kami memahami bahawa sebahagian pengundi berasa kecewa dengan keadaan politik semasa, namun berputus asa dan tidak mengundi tidak akan mengubah status quo.

    “Setiap undi memainkan perananan menentukan hala tuju dasar kerajaan negeri bagi tempoh lima tahun akan datang, selain memberi kesan terhadap pembangunan tempatan serta kehidupan rakyat.

    “Oleh itu, kami menyeru pengundi dari Johor dan Negeri Sembilan, khususnya pekerja serta pelajar yang berada di luar kawasan, supaya merancang perjalanan pulang lebih awal dan mengambil bahagian secara aktif dalam proses pengundian, menggunakan undi mereka untuk menyatakan harapan serta pilihan terhadap kerajaan negeri pada masa depan,” kata mereka dalam kenyataan bersama.

    Kenyataan itu dikeluarkan petang ini, tiga hari sebelum PRN Johor, Sabtu ini.

    Ia turut menggesa syarikat dan majikan di Lembah Klang menunjukkan tanggungjawab korporat sosial dengan memberi kelonggaran atau cuti khas kepada pekerja yang mahu pulang mengundi.

    Sebahagian besar pekerja dari Johor dan Negeri Sembilan yang bekerja di luar kawasan tertumpu di sekitar Lembah Klang. 

    Selain KLSCAH, kenyataan bersama itu turut ditandatangani termasuk Dong Zong (Persekutuan Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia), Jiao Zong (Persekutuan Persatuan Guru Sekolah Cina Malaysia), Merdeka University Berhad (MUB), pelbagai dewan perhimpunan Cina negeri, Pusat Kajian Cina Malaysia (CMCS), serta Yayasan Kebudayaan LLG.

    Satu sidang media berkaitan perkara itu turut diadakan di Kuala Lumpur hari ini.

    Tidak mengundi sebabkan kemunduran

    Bercakap pada sidang media itu, Presiden KLSCAH, Ngan Teng Ye, berkata kedua-dua PRN itu bukan sekadar melibatkan perubahan pentadbiran tempatan, tetapi juga merupakan ujian penting terhadap pandangan rakyat mengenai kemajuan demokrasi serta pembaharuan institusi semasa.

    MENARIK:  Lim: Tak adil waktu bekerja bukan pejabat ditambah 45 jam seminggu

    Bagaimanapun katanya, apabila Malaysia memasuki era persaingan sengit politik pelbagai parti serta perpecahan politik, ditambah pula dengan banyak pembaharuan institusi utama yang bergerak perlahan atau terbantut, rasa mual terhadap politik semakin menular dalam masyarakat, malah menyebabkan timbul persepsi bahawa undi tidak lagi membawa makna.

    Dia juga mengingatkan rakyat bahawa usaha membentuk semula sistem bukanlah proses yang boleh berlaku dalam sekelip mata, sebaliknya memerlukan usaha berterusan dan dilakukan langkah demi langkah untuk mencapai kejayaan.

    “Jika kita memilih untuk melepaskan hak mengundi pada saat genting ini, ia sama seperti menyerahkan hak kita sebagai rakyat untuk menjalankan fungsi pengawasan. 

    “Malah, ia boleh menyebabkan landskap politik Malaysia berundur kembali kepada pertembungan sempit berasaskan kaum dan agama.

    “Kami memulakan kempen tandatangan bersama ini untuk membangkitkan semula keprihatinan awam terhadap urusan negara, serta mengingatkan pengundi di Johor dan Negeri Sembilan bahawa undi kekal menjadi alat paling penting untuk membawa perubahan dan menentang sistem lama,” katanya lagi.

    Selain itu, Ngan turut menyampaikan mesej tegas kepada semua calon bagi menyuarakan harapan masyarakat sivil.

    “Kami mengecam sekeras-kerasnya sebarang amalan yang mengeksploitasi isu kaum, agama, serangan peribadi atau penyebaran kebencian bagi meraih undi. Kami menyokong calon yang menjunjung prinsip demokrasi, kepelbagaian, kesederhanaan, keterbukaan, sekularisme, kemajuan, tanggungjawab fiskal dan tadbir urus yang baik.

    “Semua calon dan parti politik yang bertanding harus memberi tumpuan kepada pembangunan ekonomi tempatan, kesejahteraan rakyat, pengagihan sumber secara adil serta akauntabiliti dalam pentadbiran negeri. 

    “Mereka perlu mengemukakan rancangan yang konkrit dan boleh dilaksanakan untuk mentadbir negeri, serta mendapatkan sokongan pengundi melalui visi politik dan keupayaan mentadbir,” tegasnya.

    Hari pengundian bagi PRN Johor akan berlangsung pada Sabtu ini (11 Julai), manakala PRN Negeri Sembilan pada 1 Ogos.

    Latest Posts

    IKLANShopee Sale

    Mesti Baca

    Follow Facebook Portal Barang Murah