24.7 C
Kuala Lumpur
Wednesday, July 8, 2026
IKLANShopee SaleShopee Sale
More

    Artikel Terkini

    ULASAN | Penulis pelbagai kaum kecam gangguan seksual oleh tokoh sastera

    Shopee Sale

    Insiden tokoh sastera melakukan gangguan seksual nampaknya bukan kes terpencil. Malah, berdasarkan pendedahan dan perkongsian di media sosial oleh sejumlah penulis wanita, ada lebih ramai pemangsa menggunakan kedudukan sebagai penulis dan pemegang jawatan dalam institusi tertentu untuk melakukan pengantunan seksual (sexual grooming), gangguan seksual (sexual harassment) dan amang seksual (sexual assault).

    Agak mengecewakan apabila Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang mencanangkan dirinya sebagai “institusi yang bertanggungjawab memartabatkan bahasa dan sastera” memilih jalan selamat dengan bersikap lepas tangan sebaik isu ini dibongkar. Beberapa persatuan penulis yang biasanya terlebih rajin memberi kenyataan media dalam pelbagai isu remeh-temeh juga memilih untuk menutup mulut dalam isu penting ini. 

    Setakat ini, hanya Pertubuhan Sasterawan Kaum India (Kavyan) mengeluarkan kenyataan rasmi mengutuk perbuatan tokoh sasterawan terbabit serta menyokong tindakan para penulis wanita (mangsa) yang berani mendedahkan apa yang berlaku. Ramai juga penulis pelbagai kaum tampil menyatakan solidariti kepada mangsa menerusi komen di media sosial, selain berharap pemangsa disiasat dan dikenakan tindakan undang-undang.

    Penulis Peranakan Cina, Sujata Wee (Wee Sock Yam) dari Wakaf Bharu, Kelantan menghubungi saya untuk berkongsi pengalaman pernah dihubungi seorang penulis terkenal yang disifatkannya “agak miang keladi”. 

    “Namun, ia tidaklah menjadi ancaman bagi saya kerana prinsip saya ialah bertepuk sebelah tangan tidak akan berbunyi. Paling-paling saya berterus-terang kepadanya dengan berkata, ‘Awak ni mianglah. Saya bukan jenis orang yang seperti awak cari.’,” kata ahli Persatuan Penyair Kelantan (PPK) yang aktif menulis puisi dan cerpen.

    Sujata Wee

    Menurut Sujata Wee, dia tidak lagi bersahabat dengan penulis lelaki terbabit di media sosial. Beliau juga memilih untuk menyimpan pengalaman itu sebagai rahsia peribadi kerana mahu menjaga air muka tokoh sastera terbabit serta isteri dan anak-anak yang turut dikenali.

    Ada pula penulis lelaki yang menelefon atau mengirim mesej dengan kata-kata mesra melebihi batas pergaulan. Sujata Wee sentiasa berwaspada demi mengelakkan diri daripada masuk peranangkap sesiapa yang berniat jahat. Kes gangguan seksual yang sedang tular sekarang membuatkan Sujata Wee berkongsi pengalaman lama sebagai panduan kepada rakan-rakan penulis.

    “Sepatutnya sebagai penulis hebat dan tokoh tersohor, tidak perlulah ‘bersayang-sayang’ dengan penulis wanita yang bukan isteri. Dalam kes saya, kami tidaklah kenal rapat sangat, sekadar buat sebuah antologi sahaja. Saya anggap dia cuma bergurau. Tapi apabila baca tentang kes yang tular sekarang, saya bersyukur kerana berwaspada,” kata Sujata Wee.

    Beliau juga menasihati para penulis wanita, khasnya penulis pemula, supaya sentiasa berhati-hati dan menjaga maruah diri. 

    “Pemangsa menghulur umpan, ikan yang waspada akan abaikan sahaja umpan tersebut. Demikianlah perumpaman yang boleh saya beri sebagai nasihat kepada semua,” katanya.

    Penulis wanita kaum India, Thanusya Shanmuganathan juga membuat keputusan mendedahkan perkara yang berlaku kepada dirinya apabila menyedari kes gangguan seksual ini bukan kes terpencil.

    “Terlalu sukar untuk saya mendiamkan diri sebab saya juga salah seorang mangsa yang terkena. Sudah lama pemangsa yang sama menghantar mesej serupa berulang kali tetapi saya abaikan sahaja. Saya tak sangka, dia hantar kepada orang lain juga,” kata penulis dari Petaling Jaya, Selangor yang turut menggunakan nama pena Meera Natasya.

    Thanusya Shanmuganathan

    Sambil menyatakan solidariti penuh kepada mangsa yang berani bersuara, Thanusya menegaskan bahawa dunia sastera mesti menjadi ruang selamat, bukan medan eksploitasi kuasa. Apatah lagi apabila penulis tersohor yang menang anugerah sasterawan negeri dan dipandang tinggi tergamak mengambil kesempatan ke atas penulis wanita yang meminta bimbingan penulisan.

    “Saya menggesa siasatan telus oleh pihak berkuasa dan tindakan tegas terhadap pelaku tanpa mengira nama atau kedudukan. Kepada rakan-rakan penulis pula, sentiasalah berwaspada. Kenali hak anda dan jangan berdiam diri jika menjadi mangsa sebarang bentuk gangguan,” katanya.

    Sebelum ini, Malaysiakini melaporkan berita pendedahan Sarah Ross tentang pengalaman menjadi mangsa gangguan seksual secara maya daripada seorang tokoh sastera. Setakat ini, dua mangsa sudah membuat laporan polis.

    MENARIK:  Ribut petir, hujan lebat dijangka landa hampir semua negeri

    Memandangkan Thanusya turut pernah menerima mesej berbaur lucah dan kurang sopan daripada pemangsa yang sama, beliau mengesahkan akan membuat laporan polis dalam masa terdekat. Penulis wanita ini berharap, tindakan secara kolektif akan membuatkan pihak berkuasa memandang serius serta menyiasat kes ini dengan segera.

    Pendedahan tentang peranangai buruk beberapa penulis terkenal yang mengambil kesempatan terhadap penulis wanita turut mengundang kemarahan penulis veteran, M Mahendran. Beliau yang tinggal di Bentong, Pahang sudah terlibat dalam bidang sastera kebangsaan dan sastera Tamil sejak tahun 1980-an.

    “Sebagai pengarang atau sasterawan, kita seharusnya memiliki jati diri unggul yang mungkin tidak dimiliki oleh orang kebanyakan. Demikianlah pandangan dan harapan orang ramai kepada golongan sasterawan. Janganlah pula golongan penulis memiliki sikap lebih keji daripada haiwan ketika berurusan dengan rakan penulis, khasnya wanita,” kata beliau yang meneraju Kavyan.

    Bagi Mahendran, kita tidak sesekali boleh menyalahkan penulis wanita terbabit dalam isu ini. Mereka adalah mangsa dan tidak patut ditanya mengapa mereka membuka ruang dan peluang kepada penulis lelaki bertindakan berkomunikasi secara lucah dan tidak bermaruah.

    “Semoga para wanita, sama ada penulis, pembaca, peminat sastera atau bukan penulis, sentiasa berwaspada ketika bergaul dengan sesiapa sahaja, termasuk tokoh penulis dan sasterawan ternama. Kita sukar menduga yang mana satu Iblis bertopengkan wajah manusia,” katanya.

    Mahendran juga menegaskan bahawa Kavyan yang mengendaliakn pelbagai bengkel penulisan dan program galakan membaca di seluruh negara serta melibatkan peserta pelbagai kaum dan peringkat umur, sentiasa berpegang pada etika, profesionalisme, dan didikan agama.

    “Kami di Kavyan menyangka semua penulis bersikap budiman dan berpegang pada etika. Pendedahan berani beberapa penulis wanita sejak belakangan ini membuktikan dunia sastera kebangsaan juga dihuni individu berniat jahat. Semoga kita dapat sama-sama menyingkirkan mereka sebelum peranangai buruk mereka merosakkan imej sastera Malaysia,” katanya.

    Turut berkongsi pandangan ialah penulis dan pensyarah Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR), Prof Madya Dr Charanjit Kaur yang terkejut dengan apa yang berlaku dalam dunia sastera kebangsaan.

    “Gangguan seksual tidak seharusnya mempunyai tempat dalam dunia sastera atau mana-mana ruang kehidupan. Saya berdiri teguh menyokong keberanian para penulis wanita yang tampil mendedahkan salah laku demi menuntut keadilan. Tindakan mereka merupakan langkah penting ke arah membina ekosistem kreatif yang lebih selamat, beretika dan bebas daripada budaya toksik,” katanya.

    Charanjit Kaur

    Ahli akademik itu mengingatkan perlunya seluruh komuniti sastera memupuk budaya saling menghormati, berintegriti dan berakauntabiliti. Semua penulis perlulah sentiasa berwaspada dan berani menolak sebarang gangguan, sekalipun daripada figura dihormati. 

    “Status atau anugerah sastera tidak sesekali memberikan imuniti atau tiket kepada sesiapa untuk melakukan perbuatan terkutuk ini,” tegasnya.

    Rasa terkejut dan hampir tidak percaya dilahirkan oleh penulis wanita kaum India, Anuradha Chelliah dari Banting, Selangor. 

    “Saya terkejut membaca isu yang berlaku kepada beberapa penulis wanita. Namun begitu, saya rasa bangga dengan keberanian mereka tampil ke hadapan untuk mendedahkan perkara yang berlaku. Tindakan ini penting demi mengelakkan perkara sebegini berlarutan,” kata Anuradha yang sering menulis cerpen tentang isu berkaitan wanita kaum India di Malaysia.

    Sambil mengingatkan bahawa kes gangguan seksual seperti dilaporkan sepatutnya tidak berlaku lagi dalam masyarakat Malaysia, beliau turut mahu tindakan tegas diambil ke atas pemangsa tanpa mengira umur, jawatan dan ketokohan dalam dunia sastera. 

    “Individu itu mungkin menganggap kaum wanita lemah, lalu cuba mengambil kesempatan terhadap mereka. Pihak berkuasa tidak patut berdiam diri keran laporan polis sudah dibuat. Kita tidak boleh menafikan keadilan bagi para mangsa,” katanya.

    Anuradha juga berharap, tindakan tegas yang diambil nanti menjadi pengajaran kepada sesiapa yang masih berselindung di sebalik gelaran dan jawatan untuk mengeksploitasi golongan wanita.

    Latest Posts

    IKLANShopee Sale

    Mesti Baca

    Follow Facebook Portal Barang Murah