29 C
Kuala Lumpur
Wednesday, July 8, 2026
IKLANShopee SaleShopee Sale
More

    Artikel Terkini

    AJL40 Angkat Tema Evolusi & Masa Depan Muzik Malaysia, Faizal Tahir & Hael Husaini Terima Anugerah Ikon

    Shopee Sale

    Anugerah Juara Lagu Ke-40 (AJL40) bakal diraikan dengan sambutan yang lebih gah sempena ulang tahunnya yang ke-40 menerusi tema Meraikan 4 Dekad: Evolusi dan Masa Depan Muzik Malaysia serta mesej Love Your Legacy, Elevate Your Future.

    Artikel Berkaitan: AJL40: Aisha Retno ‘Bocor’ Sedikit Arrangement Lagu Tak Adil – ‘Gimik Ini Dah Fikir Dua Tiga Kali’

    Evolusi & Masa Depan Muzik

    Menerusi majlis pelancaran AJL40: The First Look, TV3 telah mengumumkan pelbagai inisiatif baharu yang bakal mewarnai edisi istimewa tahun ini. 

    Antara pengumuman paling mencuri perhatian ialah pengenalan semula Anugerah Ikon AJL40 yang diberikan kepada Faizal Tahir dan Hael Husaini sebagai penghargaan terhadap sumbangan serta pengaruh besar mereka dalam perkembangan industri muzik Malaysia.

    Faizal Tahir menerima pengiktirafan atas peranannya sebagai penyanyi, komposer, penulis lirik, penerbit muzik dan mentor yang banyak membimbing serta melahirkan bakat baharu. 

    Faizal menyifatkan AJL sebagai sebuah acara berprestij yang cukup bermakna dalam perjalanan seninya, malah mengakui pentas tersebut memberi impak besar terhadap kerjaya muziknya.

    Jutaan terima kasih kepada AJL kerana menjadi pemain utama dalam kerjaya seni saya, tiada AJL tiadalah Faizal Tahir. Apabila dapat anugerah ini maksudnya saya memang tidak akan bertanding lagi lepas ini. AJL merupakan sebuah program lagenda. AJL memain satu peranan penting untuk industri muzik Malaysia. 

    Sementara itu, Hael Husaini pula diiktiraf atas konsistensinya menghasilkan karya berimpak tinggi, bukan sahaja untuk dirinya sendiri, malah untuk ramai penyanyi tempatan sebagai komposer dan penulis lirik.

    Hael dalam ucapannya meluahkan rasa terharu di atas penghargaan tersebut dan berterima kasih kepada semua pihak yang percaya pada bakat serta karyanya.

    Saya tak jangka untuk penghargaan ini, saya seorang manusia yang hampir berputus asa, namun diberi peluang oleh TV3 pada AJL32 untuk saya sampaikan lagu Jampi. Itu detik permulaan seorang yang hampir berputus asa. Sekarang saya dapat berkongsi rezeki dengan artis yang lain.

    Terima kasih Media Prima dan orang-orang di belakang saya yang sentiasa ada dan beri peluang untuk saya terus berkarya. Saya ingin beritahu bahawa kita semua harus percaya pada rezeki, pasti akan sampai.

    Dalam pada itu, bagi memperkukuhkan identiti muzik AJL40, komposer dan penerbit Aubrey Suwito diumumkan sebagai Pengarah Muzik. 

    MENARIK:  ‘Selalu Tengok Di Televisyen’ – Yulia Kamelia Teruja Khai Bahar Sudi Jadi Rakan Duet

    Dengan pengalaman luas dalam industri, Aubrey dijangka membawa nafas baharu menerusi susunan muzik yang lebih segar, moden dan bertaraf antarabangsa, selari dengan tema sambutan tahun ini yang menghubungkan legasi AJL dengan aspirasi masa depan muzik tempatan.

    Dari segi pengacaraan, Naz Rahman dan Sissy Imann kembali diberi kepercayaan sebagai hos utama selepas menerima maklum balas positif pada edisi lalu. 

    Sementara itu, Fizi Ali bersama Fiza Frizzy akan mengendalikan liputan karpet merah dan belakang pentas bagi membawa penonton lebih dekat dengan suasana malam kemuncak AJL40.

    Majlis AJL40: The First Look turut diserikan dengan tayangan tiga video khas yang menampilkan Datuk Acis, Aubrey Suwito dan Biduanita Negara Datuk Sri Siti Nurhaliza. 

    Bersempena sambutan edisi ke-40, TV3 turut memperkenalkan Muzik Lab yang dianjurkan buat julung kalinya pada 11 Julai 2026 di McDonald’s Pantai Sentral Park. 

    Selain itu, siri jelajah Meet & Greet turut diadakan bagi menemukan barisan finalis AJL40 dengan peminat di beberapa lokasi terpilih. 

    Jelajah itu akan bermula di Ipoh pada 12 Julai, diikuti Kuantan pada 18 Julai, Johor Bahru pada 25 Julai sebelum melabuhkan tirainya di Kuala Lumpur pada 1 Ogos.

    Majlis pelancaran AJL40 turut dimeriahkan dengan persembahan pembukaan oleh Mariam OIAM bersama Rio Jazz Band menerusi medley 10 lagu finalis AJL40. 

    AJL40 dibawakan oleh McDonald’s Malaysia bersama Ronald McDonald House Charities (RMHC) Malaysia sebagai badan kebajikan pilihan. 

    Shopee tampil sebagai Rakan E-Dagang, Grab selaku Rakan E-Hailing Rasmi, manakala Volvo merupakan Rakan Selamat bagi penganjuran edisi istimewa ini.

    Dalam perkembangan sama, jualan tiket yang dibuka sejak 26 Jun lalu terus menerima sambutan menggalakkan daripada peminat dan masih boleh didapati menerusi http://www.wowtix.com.my.

    Malam kemuncak AJL40 akan berlangsung di Unifi Arena, Bukit Jalil pada 15 Ogos 2026, jam 9 malam dan disiarkan secara langsung menerusi TV3 serta Tonton.

    The post AJL40 Angkat Tema Evolusi & Masa Depan Muzik Malaysia, Faizal Tahir & Hael Husaini Terima Anugerah Ikon first appeared on OHBULAN!.

    Latest Posts

    IKLANShopee Sale

    Mesti Baca

    Follow Facebook Portal Barang Murah