Ketua Pemuda Bersatu Hilman Idham menyatakan komitmennya untuk memberikan kerjasama penuh susulan siasatan pihak polis terhadapnya berhubung protes menolak Akta Hasutan 1948 di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, Kuala Lumpur pada 29 Julai lalu.
Hadir di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, hari ini, Adun Gombak Setia itu berkata juga yakin dia tidak melakukan apa-apa kesalahan ketika protes berkenaan.
“Saya telah menyatakan kepada pihak polis bahawa saya akan memberi kerjasama sehabis baik untuk melengkapkan siasatan ini.
“Kerana kami tidak ada apa-apa kesalahan yang dilakukan oleh mana-mana pimpinan semasa kita melaksanakan himpunan solidariti tolak Akta Hasutan ketika mana beberapa sahabat kami ditahan di hadapan IPD Dang Wangi (ketika itu),” katanya pada sidang media, hari ini.
Hilman turut diiringi peguam Mahajort Singh untuk bertemu dengan pihak polis.
Sebelum ini Malaysiakini melaporkan Hilman disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Malaysiakini difahamkan dalam protes itu Hilman mendakwa penahanan dua pemimpin akar umbi parti itu sebelum ini diarahkan oleh Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail.
Sebelum ini dua pemimpin akar umbi Bersatu termasuk Ketua Bersatu Port Dickson, Badrul Hisham Shahrin, ditahan polis selepas himpunan ‘Turun Anwar’.
Ketua Polis Negara Khalid Ismail kemudiannya mengesahkan penahanan itu bertujuan bagi menyiasat satu insiden semasa perhimpunan ‘Turun Anwar’ yang menyaksikan beberapa individu dilihat merotan patung menyerupai Anwar.
Khalid berkata susulan itu dua lelaki, berusia 21 dan 47 tahun, telah ditahan untuk membantu siasatan.
Sementara itu, Hilman berharap urusannya di Bukit Aman hari ini berjalan dengan baik selain menegaskan kepimpinannya sentiasa bersedia bagi meneruskan perjuangan untuk menumbangkan kerajaan hari ini.





