Pilihan raya negeri (PRN) Johor pada 11 Julai ini memasuki pecutan akhir dengan berbaki kurang 72 jam lagi sebelum hari pengundian.
Walaupun peluang Pakatan Harapan (PH) dilihat semakin stabil, gabungan itu tetap menjadi pasukan pilihan bawah, dengan tiga pemboleh ubah utama bakal menentukan keputusan akhir.

Sepanjang tempoh kempen, pasukan Malaysiakini mengunjungi beberapa kawasan pilihan raya di selatan, tengah dan utara Johor.
Kami mendapati walaupun PH pada mulanya menghadapi tekanan akibat sokongan asas pengundi Cina yang longgar malah merosot pada permulaan kempen, namun ramai pengundi Cina mula menunjukkan sokongan selepas kempen minggu pertama.
Bagaimanapun, kebangkitan semula ini masih belum cukup untuk mengubah hala tuju persaingan secara keseluruhan, dan BN buat masa ini masih kekal dengan kelebihan di hadapan.
Setakat ini, debaran terbesar pada pilihan raya beralih daripada isu "siapa yang mendahului" kepada tiga persoalan utama: ke mana undi Melayu akan pergi akhirnya, jika pengundi luar akan pulang mengundi, dan jika pengundi muda akan menjadi kekuatan yang mampu mengubah medan persaingan.
Pada peringkat awal kempen, ketika Malaysiakini mengunjungi beberapa kawasan majoriti Cina dan menjalankan temu bual jalanan, sentimen paling lazim didengari ialah ketidakpuasan hati terhadap PH.

Ramai pengundi Cina mengkritik prestasi PH dalam tempoh dua tahun lalu, dengan meluahkan rasa kecewa terhadap dasar-dasar seperti e-Invois dan isu penternakan babi di Selangor. Beberapa pengundi di Mengkibol malah kesal kerana Parti Bersama Malaysia (Bersama) yang tidak bertanding di situ, dan mempertimbangkan untuk tidak mengundi langsung.
Mengkibol terletak di bawah kerusi Parlimen Kluang. Ia merupakan kawasan majoriti Cina (kira-kira 57 peratus) dan kubu kuat DAP.
Bagaimanapun, menjelang hujung minggu apabila kempen memasuki fasa pertengahan, suasana di lapangan mula berubah dengan ketara.

Sama ada di pasar pagi, pasar malam atau ceramah politik, setiap kali calon dan pemimpin PH muncul, semakin ramai pengundi mula meminta untuk bergambar, bersalaman dan menyatakan sokongan secara proaktif. Kehadiran orang ramai di ceramah politik juga meningkat secara ketara berbanding hari-hari awal kempen.
Berbanding permulaan kempen, masyarakat Cina kini memberikan sambutan lebih mesra kepada calon PH. Ramai menyatakan secara terus terang bahawa mereka akan menyokong dan mengundi PH.
Peralihan ini mungkin disebabkan oleh dua faktor.
Pertama, sebahagian pengundi luar Johor yang bekerja di tempat lain pulang ke kampung pada hujung minggu, sekali gus meramaikan kehadiran.

Namun, alasan lebih besar ialah selepas seminggu berkempen, naratif berterusan PH yang memfokuskan kepada "kerjasama BN-PAS" mula mendapat perhatian, sekali gus berjaya menggerakkan semula sebahagian daripada asas pengundi Cina.
Bagaimanapun, jika strategi ini terus menjadi sandaran utama kempen, ia mungkin kehilangan keberkesanannya secara beransur-ansur. Oleh itu, dalam tempoh 72 jam akan datang, kem masing-masing mesti membentangkan lebih banyak dasar dan visi masa depan daripada sekadar bergantung kepada mobilisasi emosi.
Ini juga tidak bermakna pengundi Cina yang kecewa menukar fikiran mereka.
Walaupun pelbagai tinjauan pendapat menunjukkan BN mempunyai kelebihan, penentu sebenar tetap tertumpu kepada hala tuju undi Melayu.

Sebelum pilihan raya, beberapa pemimpin PH percaya jika undi Melayu berpecah, mereka percaya bahawa mempunyai peluang untuk "menang dalam kekalutan itu.”
Bagaimanapun, dengan tindakan PN menarik diri daripada 23 kerusi dan PAS menggesa penyokongnya mengundi BN, andaian ini — yang asalnya bersandarkan persaingan tiga penjuru untuk undi Melayu — kini sukar untuk direalisasikan.
Keadaan ini juga menyebabkan penyokong Bersatu di banyak kerusi tidak mempunyai pilihan jelas tentang siapa yang mahu diundi.
Ini, terutamanya di kawasan campuran seperti Larkin, apabila Bersatu memperoleh kira-kira satu perempat daripada undi pada pilihan raya lalu tetapi tidak bertanding kali ini. Tiada sesiapa dapat meramal dengan tepat sama ada pengundi terbabit akan memihak kepada BN, tinggal di rumah atau beralih ke parti lain.
Selepas melawat kawasan berkenaan, pasukan Malaysiakini mendapati walaupun sebahagian penyokong Bersatu menyatakan secara jelas tidak akan menyokong PH, tiada jawapan konsisten sama ada mereka akan beralih kepada BN. Ada yang menyatakan masih belum membuat keputusan, manakala yang lain cenderung untuk berkecuali.

Memandangkan pengundi Melayu membentuk sebahagian besar daripada komposisi kebanyakan kawasan campuran di Johor, peralihan ini cukup untuk menentukan pemenang di beberapa kerusi sengit.
Biarpun begitu, menurut tinjauan yang dijalankan oleh Merdeka Center sebelum hari penamaan calon, pengerusi BN Johor dan menteri besar sementara, Onn Hafiz Ghazi menikmati populariti yang melonjak tinggi, dengan mendapat 78 peratus kadar kelulusan merentasi semua kaum. Ini termasuk 92 peratus kadar sokongan di kalangan orang Melayu, 94 peratus di kalangan orang India, dan 53 peratus di kalangan orang Cina.
Di sebalik perkara itu, kelebihan PH yang memegang sumber pentadbiran persekutuan memudahkan mereka mendekati pengundi Melayu. Sabtu lalu (4 Julai), PH mengadakan ceramah di tanah rancangan Felda Ulu Tebrau dalam kawasan DUN Puteri Wangsa.
Selain kehadiran Perdana Menteri Anwar Ibrahim sendiri, bekas pemimpin Umno, Puad Zarkashi turut naik ke pentas untuk membantu kempen.

Kira-kira 200 orang menghadiri acara itu. Bagi PH, yang mengikut sejarah sukar menembusi jauh ke dalam penempatan Felda, acara sedemikian membawa makna simbolik tersendiri dan mencerminkan usaha aktif PH memikat akar umbi Melayu, yang sebelum ini lebih sukar didekati oleh mereka.
Selain undi Melayu, undi India merupakan satu lagi pemboleh ubah utama dalam PRN ini yang mudah terlepas pandang.
Banyak kerusi DUN di Johor merupakan kawasan campuran. Malah di kerusi yang dianggap sebagai majoriti Cina, peratusan pengundi India secara amnya menghampiri atau melebihi 10 peratus daripada jumlah pengundi. Oleh itu, sebarang peralihan sokongan daripada komuniti ini boleh mengubah keputusan akhir.

Setakat ini, fokus kempen PH kekal untuk memastikan sokongan pengundi Cina di samping cuba mendekati pengundi Melayu, menyebabkan penglibatan mereka dengan komuniti India agak terhad.
Kerajaan pimpinan Anwar sebelum ini menimbulkan ketidakpuasan hati dalam kalangan sebahagian komuniti India berhubung isu seperti kuota matrikulasi universiti dan perobohan kuil Hindu. Tambahan pula, BN Johor dari segi sejarah mengekalkan tahap kekuatan organisasi tertentu dalam kalangan akar umbi India.
Jika BN berjaya mengukuhkan lagi sokongan pengundi India, perkara itu boleh memberi tamparan kepada kerusi penyandang PH, seperti Tangkak (10.2 peratus India), Perling (13.1 peratus India), Johor Jaya (7.9 peratus India), dan Jementah (8.3 peratus India).
Sejak permulaan tempoh kempen, BN kurang mengadakan ceramah berskala besar atau acara mega. Sebaliknya, mereka menganjurkan banyak aktiviti kempen untuk bertemu ahli parti dan penyokong akar umbi, seolah-olah memfokuskan usaha mereka untuk mengukuhkan pangkalan teras mereka.
Satu lagi kumpulan yang perlu diberi perhatian ialah pengundi muda.

Menurut data daripada Merdeka Center, terdapat 1.13 juta pengundi berusia antara 21 hingga 39 tahun pada PRN kali ini, sekali gus membentuk demografi umur terbesar. Selain itu, 6.1 peratus daripada pengundi merupakan pengundi kali pertama susulan pelaksanaan dasar pendaftaran pengundi automatik bagi individu berusia 18 tahun.
Pengundi muda ini menunjukkan kecenderungan politik yang kabur. Berbanding politik perkauman, mereka lebih mengambil berat tentang peluang pekerjaan, perumahan, kos sara hidup dan isu kebajikan setempat berbanding slogan politik tradisional.
Selepas menemu bual beberapa pengundi muda, pasukan Malaysiakini mendapati mereka secara amnya menyatakan hasrat untuk menunaikan tanggungjawab mengundi, namun ramai yang masih belum memutuskan siapa yang mahu disokong.
Tidak seperti masa lalu, mereka lebih suka membandingkan dasar dan naratif pelbagai parti politik sendiri daripada mengikut sahaja pilihan keluarga atau parti politik secara membuta tuli.
Kesannya, PH dan BN dilihat mempertingkatkan operasi media sosial mereka kebelakangan ini, dengan harapan dapat memikat pengundi muda melalui TikTok dan video pendek, malah menggunakan pempengaruh Melayu untuk menarik sokongan mereka.

Sebaliknya, momentum media sosial PN kali ini dilihat lebih lemah dan tidak menonjol, jauh berbeza berbanding ketika pilihan raya umum pada 2022 apabila gabungan itu berjaya menarik pengundi muda Melayu dengan bersandarkan pada TikTok.
Bagi Bersama, pemerhatian setakat ini menunjukkan sukar bagi mereka untuk memecahkan monopoli dua parti antara PH dan BN.
Bagi Bersama, PRN kali ini lebih sebagai eksperimen politik. Jika mereka mampu memperoleh 12.5 peratus hingga 15 peratus undi di sesetengah kawasan, mereka bukan sahaja dapat menyelamatkan wang pertaruhan pilihan raya tetapi juga membuktikan bahawa mereka mempunyai pangkalan sokongan bebas, sekali gus memperoleh taring politik untuk masa depan.
Ini terutamanya di kerusi DUN Johor Jaya, calon Bersama, Lau Yi Leong, yang mempunyai latar belakang undang-undang, merupakan antara calon yang lebih menonjol dalam parti, dan kerusi itu dilihat sebagai salah satu kawasan yang memberi peluang terbaik untuk mereka.

Pada PRN lalu, DAP memenangi kerusi itu di bawah tiket PH dengan majoriti tipis hanya 4.06 peratus atau 1,922 undi.
Mungkin untuk mengelakkan Bersama daripada memecahkan undi Cina, DAP mula menyererang Bersama kebelakangan ini. Adun Seri Kembangan di Selangor, Wong Siew Ki, yang ditempatkan di Johor Jaya untuk membantu kempen, bertukar-tukar bidasan dengan Lau Yi Leong. Setiausaha Organisasi DAP, Khoo Poay Tiong dan penceramah lantang yang "kembali" serta bekas ahli parti, Hew Kuan Yau turut mengecam Bersama, malah Hew menyeru pengundi untuk "membuang kuning demi melindungi merah."
Mengambil kira semua faktor, matlamat lebih realistik bagi PH adalah kekal untuk mempertahankan 12 kerusi yang dimenanginya pada pilihan raya lalu, bersama-sama Puteri Wangsa, yang sebelum ini diserahkan kepada Muda dan dimenangi mereka, menjadikan keseluruhannya sekitar 13 kerusi.

Beberapa kawasan asalnya masih menghadapi persaingan sengit, termasuk kerusi campuran seperti Tangkak dan Johor Jaya, manakala beberapa kawasan dengan peratusan pengundi Cina yang lebih tinggi kekal agak selamat.
Pada masa sama, DAP Perak yang diterajui oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, aktif melancarkan serangan di Yong Peng, manakala MCA menumpukan usaha mereka untuk menyerang kerusi PH seperti Penggaram. Kedua-dua pihak mengambil strategi "kejayaan bersasaran" daripada melancarkan peranang habis-habisan.
Sama ada kerusi yang dipegang atau yang dirancang untuk ditawan, keputusan akhir PRN Johor bergantung kepada undi Melayu yang boleh beralih pada saat-akhir, peratusan keluar mengundi bagi pengundi luar yang melebihi jangkaan, dan jika pengundi muda membuat pilihan muktamad pada saat-saat akhir. Ia masih boleh berbeza daripada apa yang dijangkakan oleh dunia luar pada permulaan kempen.
Laporan tambahan oleh Alyaa Alhadjri dan Qistina Nadia Dzulqarnain





