Menjelang hari pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, tumpuan semakin beralih daripada persoalan siapa membentuk kerajaan kepada persoalan yang lebih besar: sekuat mana mandat baharu yang bakal diterima BN.
Menjelang hari pengundian pada 11 Julai ini, berdasarkan situasi semasa lapangan, BN berada pada landasan untuk menguasai sekitar 44 hingga 45 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN). Pakatan Harapan (PH) dijangka mempertahankan sekitar lapan hingga sembilan kerusi, manakala Perikatan Nasional (PN) tersekat hanya tiga kerusi dalam keadaan yang paling baik dan paling buruk berkemungkinan hilang semua kerusi.
Jika unjuran ini menjadi kenyataan, ia bukan semata-mata disebabkan kekuatan BN, tetapi kerana perubahan yang berlaku dalam landskap persaingan politik Melayu sendiri.
Sejak beberapa tahun lalu, naratif bahawa undi Melayu telah berpecah antara Umno dan PAS menjadi asas kepada kebangkitan PN. Namun PRN Johor kali ini memperlihatkan perkembangan berbeza apabila kedua-dua parti tidak lagi bertembung di banyak kawasan.
Di 23 kerusi yang tidak ditandingi PN, berlaku satu situasi politik yang menarik. Pengundi yang sebelum ini memilih PN kini berdepan pilihan yang jauh lebih mudah — sama ada menyokong BN atau memberikan undi kepada PH.
Kira-kira 70 peratus daripada kelompok penyokong PN di kawasan-kawasan tersebut dijangka mengalihkan sokongan kepada BN. Perubahan inilah yang menjadi faktor paling penting dalam menjelaskan mengapa unjuran kemenangan BN melonjak jauh berbanding PRN 2022.
Fenomena itu tidak berlaku secara kebetulan.
Bagi sebahagian besar pengundi Melayu konservatif, persaingan kali ini bukan lagi dilihat sebagai pertandingan antara Umno dan PAS. Sebaliknya, apabila calon PN tiada, pilihan yang tinggal ialah antara BN dan PH.
Dalam keadaan itu, ramai pengundi memilih kembali kepada Umno yang masih dianggap mempunyai akar tradisi lebih dekat dengan aspirasi politik Melayu berbanding PH. Faktor identiti politik, hubungan lama dengan jentera tempatan serta persepsi mengenai kestabilan kerajaan menjadikan BN destinasi utama limpahan undi tersebut.
Hakikatnya, sistem pilihan raya first-past-the-post turut memperbesarkan kesan perubahan kecil ini. BN tidak memerlukan majoriti undi popular untuk menguasai dewan. Cukup sekadar menang tipis di kerusi-kerusi marginal, jumlah kerusi yang diperoleh boleh meningkat secara mendadak.
Dalam konteks Johor, limpahan undi Melayu yang kembali kepada BN memberi pulangan kerusi yang jauh lebih besar berbanding pertambahan undi sebenar.
Penyatuan di peti undi
Corak itu dapat dilihat dengan jelas di beberapa kawasan.
Di Benut misalnya, PN memperoleh lebih 5,000 undi pada PRN lalu. Dengan ketiadaan calon PN kali ini, sebahagian besar undi tersebut dijangka kembali kepada BN. Jika kadar perpindahan sokongan mencapai sekitar 70 hingga 80 peratus seperti yang direkodkan dalam tinjauan lapangan, majoriti BN dijangka melonjak melepasi 10,000 undi.
Keadaan hampir sama berlaku di Larkin.
Walaupun berada dalam kawasan bandar, komposisi pengundi Melayu yang besar menjadikan pertandingan di situ masih banyak dipengaruhi sentimen politik Melayu. Pada PRN 2022, hampir 10,000 pengundi memilih PN. Tanpa calon PN kali ini, sebahagian besar undi itu dijangka kembali kepada BN, sekali gus memperkukuhkan kedudukan penyandangnya.
Apa yang menarik ialah penyatuan undi Melayu kali ini tidak berlaku melalui penyatuan organisasi politik, sebaliknya melalui tingkah laku pengundi.
Tidak wujud gabungan rasmi antara BN dan PN, namun keputusan strategik PN yang tidak bertanding di beberapa kerusi secara tidak langsung menghasilkan limpahan undi yang paling banyak dinikmati oleh BN.
Dalam erti kata lain, penyatuan itu berlaku di peti undi, bukannya di meja rundingan.
Sebaliknya, pembangkang di Johor masih berdepan masalah koordinasi.
PH lebih tertumpu di kawasan bandar dan separa bandar, manakala PN memilih mempertahankan kawasan tradisi Melayu. Pembahagian gelanggang ini menyebabkan pembangkang gagal menawarkan pertandingan yang benar-benar menyeluruh terhadap BN di seluruh negeri.
Dalam sistem pilihan raya Malaysia, keadaan seperti ini lazimnya memberi kelebihan besar kepada parti yang mempunyai jentera paling tersusun dan jenama paling kukuh.
BN masih memiliki kedua-dua kelebihan tersebut di Johor.
Sudah tentu terdapat beberapa kerusi yang kekal kompetitif. DUN Layang-Layang misalnya menjadi antara kerusi paling sukar diramal selepas penyandang Umno bertanding atas tiket PN, manakala BN mempertaruhkan calon MCA. Di kawasan seperti ini, faktor calon dan dinamika tempatan boleh mengatasi pola negeri secara keseluruhan.
Namun bilangan kerusi seperti itu terlalu kecil untuk mengubah gambaran besar.
Satu lagi faktor yang sering dibangkitkan ialah kemasukan lebih 230,000 pengundi baharu hasil pelaksanaan Undi18 dan pendaftaran pengundi automatik. Walaupun kumpulan ini berpotensi membawa perubahan, kajian lapangan menunjukkan kadar keluar mengundi dalam kalangan pengundi muda dijangka lebih rendah berbanding pengundi tradisional.
Pada masa sama, kadar penyertaan pengundi bandar dan bukan Melayu juga dijangka tidak meningkat secara signifikan. Keadaan itu sekali lagi memberi kelebihan kepada BN yang memiliki jentera akar umbi paling tersusun untuk menggerakkan penyokong keluar mengundi.
Akhirnya, PRN Johor kali ini mungkin tidak akan dikenang kerana kebangkitan mana-mana parti baharu, tetapi kerana satu perubahan yang lebih halus.
Selepas beberapa tahun menyaksikan undi Melayu berpecah antara Umno dan PAS, pilihan raya ini memperlihatkan sebahagian daripada undi tersebut kembali bertumpu kepada BN apabila pertandingan tidak lagi menemukan kedua-duanya di banyak kawasan.
Jika pola ini benar-benar berlaku pada hari pengundian, kemenangan besar BN bukan sekadar hasil kekuatan jenteranya, tetapi juga kerana penyatuan semula sebahagian undi Melayu yang sebelum ini berada bawah payung PN.
Dalam politik Johor, penyatuan undi Melayu kali ini bukanlah kemenangan PN. Sebaliknya, ia berpotensi menjadi faktor yang mengukuhkan semula dominasi BN di negeri yang sekian lama dianggap kubu tradisinya.
HELME HANAFI, penulis dan bekas wartawan politik.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.





