Seorang ahli parlimen DAP melontarkan soalan sama ada tindakan disiplin akan diambil terhadap anggota polis yang menyerang seorang pemandu e-hailing yang pekak.
“Saya nak tanya: Lans Koperal Taufik ini kena gantung tugas ke, turun pangkat, atau dipecat?
“Atau memang tidak ada tindakan disiplin lain yang akan diambil?” soal ahli Parlimen Kepong Lim Lip Eng di X.
Bercakap kepada Malaysiakini, dia berkata tindakan lanjut perlu diambil terhadap Taufik untuk memulihkan keyakinan orang ramai.
"Jika tidak, ia akan menghantar mesej yang salah dan menghakis kepercayaan terhadap proses undang-undang," katanya.
Semalam, Mahkamah Majistret Kuala Lumpur mendenda Taufik RM1,00 kerana menyebabkan kecederaan terhadap Ong Ing Keong, 47, seorang pemandu pekak sekitar jam 11.40 pagi di hadapan lobi Hotel St Regis di Kuala Lumpur pada 28 Mei lalu.
Semasa kejadian, dia sedang mengiringi Pemangku Sultan Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim, yang turut menggesa tindakan diambil.

Ong dan Pertubuhan Kebajikan dan Advokasi Pekak Malaysia (Dawn) menyatakan kekecewaan mereka dengan "hukuman ringan" yang dijatuhkan itu.
Malah menurut mangsa selepas menunggu berbulan-bulan, dia kecewa kerana gagal melihat kelibat anggota polis yang menyerangnya itu. Manakala Dawn pula memberi amaran bahawa penghakiman itu menjadi contoh yang berbahaya.
Bagi ahli Parlimen Pasir Gudang Hasan Karim, yang pernah membangkitkan perkara itu di Dewan Rakyat pada 24 Okt, berhujah bahawa memandangkan anggota polis itu telah memohon maaf kerana menyerang Ong, majistret boleh menganggap ini sebagai antara alasan bagi meringankan hukuman.
“Tambahan pula, tertuduh masih bekhidmat sebagai anggota polis. Laporan berita menunjukkan bahawa tindakan dalaman telah diambil.
“Jika hukumannya terlalu berat, sama ada denda yang lebih tinggi atau penjara, ia boleh menyebabkan dia kehilangan pekerjaannya sebagai penjawat awam.
“Jadi saya percaya majistret ambil kira semua (faktor) ini secara holistik semasa menjatuhkan hukuman,” katanya kepada Malaysiakini.
Sebelum ini, Malaysiakini melaporkan bahawa tindakan tatatertib yang diambil terhadap pegawai itu tidak berkaitan dengan serangan itu tetapi atas kegagalannya mengisytiharkan hartanya dan kertas siasatan telah diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara.





