30.2 C
Kuala Lumpur
Saturday, June 27, 2026
IKLANShopee SaleShopee Sale
More

    Artikel Terkini

    KOLUM | Mengenang Gajah Tanah Melayu di Jepun

    Shopee Sale

    KOLUM | Dara, Amoi dan Kelat ialah tiga ekor gajah dari Tanah Melayu yang kini dikurung. Saya ulang, kini dikurung di Tennoji Zoo di Osaka, Jepun.

    Dari apa yang saya baca, Dara, Amoi dan Kelat atau singkatannya DAK ialah tiga ekor gajah dari Zoo Taiping, Perak yang dihantar ke Tennoji Zoo di Osaka, Jepun pada Mac 2026. Ini sebagai sebahagian daripada Program Konservasi Gajah Malaysia.

    Pelik tetapi benar DAK ini ialah Program Konservasi Gajah. Kata penunjuk di sini ialah “konservasi gajah”.

    Apabila saya terbaca berita ini lalu saya teringat apa yang telah berlaku pada diri saya sendiri. Pada 1972 ketika musim Cuti Panjang – Long Vacation - Universiti Malaya saya telah menyertai Program Khidmat Bakti Siswa Persatuan Kebangsaan Pelajar Malaysia (PKPM).

    Saya bersama 10 pelajar dari UM, Kolej Serdang dan Universiti Pulau Pinang telah membuat kerja amal bakti di Kampung Danga, Johor Bahru. Ini kampung nelayan. Dari kampung ini kami boleh nampak tepian pantai Singapura dengan jelas.

    Setelah selesai satu bulan berkhidmat bakti kami melawat dan bercanda-canda di Singapura sebelum pulang ke kampus UM.

    Di Singapura kami menginap di rumah kenalan. Tempat pertama yang kami lawat ialah Jurung Bird Park – Taman Burung Jurung. Pada tahun 1972 nama ini disebut-sebut sebagai wajib lawat untuk sesiapa yang datang ke Singapura.

    Saya ingat lagi – apabila masuk saja ke taman ini saya berhadapan dengan satu kumpulan burung. Awalnya agak pelik untuk saya budak kampung dari Jelebu. Belum pernah saya melihat burung berbulu putih dan berkepak hitam. Berdiri dalam kolam air macam itik.

    Apabila saya hampiri papan maklumat maka saya terbaca: Penguin.

    Ha. Inilah dia burung penguin! Saya takjub. Saya hampiri lagi. Saya merasa sejuk. Oh! Baru saya sedar kumpulan penguin ini sedang duduk di atas air batu.

    Ada ketulan air batu yang besar terhampar dalam kolam ini. Air batu ini dengan bantuan tenaga elektrik tidak akan cair walau pun Singapura ini bumi tropika.

    Saya perhatikan sepuluh ekor penguin ini. Mereka berdiri saling berhadapan. Apakah mereka teringat akan lautan salji di Kutub Utara? Apakah mereka dapat samakan air batu Taman Jurung dengan salji di bumi asal-usul mereka yang kini ditinggalkan?

    Tiga tahun kemudian saya berkelana meninggalkan bumi tropika Tanah Melayu.

    Saya berhijrah ke Australia. Di Melbourne saya berpeluang melihat Dingo anjing Australia, Wombats – tikus mondok Australia dan Kaola beruang Australia yang comel.

    Binatang ini semuanya saya lihat bukan di dalam zoo tapi di dalam taman. Ertinya mereka bebas berlari berkejar memanjat pokok di bumi tanah tumpah darah mereka.

    Tapir Tanah Melayu di London

    Saya bukan ada ilmu dalam bidang zoologi. Tapi seingat saya dari kecil lagi rumah keluarga kami sentiasa ada binatang peliharaan. Malah dari surah Kakak, arwah ayah saya juga ada memelihara anjing dan burung Tekukur. Justeru hidup dengan binatang ini bukan satu yang asing untuk saya.

    Saya jarang - amat jarang melawat zoo. Saya pernah satu kali melawat Zoo Negara di Ulu Klang. Ini ketika saya di sekolah rendah. Saya menyertai rombongan orang kampung datang dengan bas melawat Kuala Lumpur. Selain dari melawat Muzium Negara, kami juga melawat Zoo Negara.

    Kemudian saya berkelana ke Eropah. Di London saya berkongsi flat dengan Christopher Kelley – rakan sekuliah anak kelahiran Plymouth. Apabila dia tahu saya dari Malaysia, lalu dia bertanya tentang Tapir.

    “I’ve seen your Tapir in London Zoo.....go and visit him Isham,” kata Chris mencadangkan saya melawat Sang Tapir di London Zoo.

    Ketika itu saya belum pernah melihat Tapir. Saya hanya mendengar nama Tapir dan melihat gambar Tapir.

    Tahun 1980-an di kota London wujud satu gerakan: Animal Liberation Front (ALF). Ini gerakan anak muda Pencinta Haiwan. Gerakan ini bertujuan untuk menyelamatkan binatang dan haiwan yang dijadikan bahan kajian dalam bilik-bilik makmal.

    Saya terbaca berita bagaimana kumpulan anak muda ini membebaskan arnab yang sedang dikurung untuk dijadikan bahan kajian ilmiah.

    MENARIK:  Ramanan nafi dakwaan krisis dalam Mitra

    Saya ada membaca berita pada tahun 1982: Kumpulan ALF telah menyerbu tempat pembiakan haiwan Harlan Interfauna di UK. Aktivis menebuk lubang di bumbung bangunan untuk masuk dan berjaya membebaskan 82 ekor anak anjing beagle dan 26 ekor arnab.

    Pada Julai 1984, ALF mensabotaj dan mencemarkan bekalan syarikat pembuat syampu. Arnab dan anjing yang mahu digunakan untuk mencuba syampu yang sedang direka telah dibebaskan.

    Saya dapat membaca berita-berita ini dari akhbar The Class War – Perang Kelas. Perang Kelas ialah akhbar tabloid anarkis yang radikal diasaskan di London pada awal 1980-an.

    Ketika itu sasaran utama tabloid Perang Kelas ini ialah kerajaan Margaret Thatcher, keluarga diraja, orang kaya dan kelas pertengahan.

    Akhbar tabloid Class War yang tidak menentu masa keluaran ini saya beli di depan pintu masuk stesen kereta api bawah tanah Brixton.

    Apabila membaca berita-berita ini saya terus mencari untuk memahami apa falsafah anak-anak muda kota London ini. Dari pembacaan saya dapat tahu bahawa mengurung bintang adalah satu keganasan.

    Haiwan yang dikurung

    Zoo diwar-warkan sebagai tempat manusia berkenalan dengan haiwan. Tempat kajian haiwan. Lebih tepat zoo dijadikan sebagai bahan hiburan.

    Malah ramai penjaga zoo ini agak kasar dan ganas terhadap haiwan yang dikurung. Pekerja zoo bukan pencinta haiwan, mereka sekadar mencari pekerjaan. Jika ingin melihat haiwan sila pergi ke wilayah kampung halaman habitat asli mereka.

    Hujah mengatakan kutipan dana dari zoo ini untuk dijadikan dana konservasi adalah lebong.

    Apabila membaca semua ini saya teringat kembali pada Malayan Tapir di London Zoo. Kalau musim panas sampai pasti mereka selesa. Tapi apabila musim sejuk sampai dan salji turun apa akan terjadi?

    Saya merasa sedih apabila memikirkan Tapir dalam London Zoo ini. Terlintas oleh saya untuk menghubungi Animal Liberation Front. Apakah mereka boleh membebaskan Sang Tapir yang di kurung dalam London Zoo?

    Kalau dibebaskan hendak hantar Sang Tapir ini ke mana? Justeru idea ini mati tanpa jawapan.

    Ingatan tahun 80-an ini kembali segar apabila saya terbaca berita mengenai Dara, Amoi dan Kelat yang kini dikurung di zoo di Osaka. Air mata sedih berlinang di mata.

    Saya tidak ada keilmuan dalam ilmu haiwan. Dari Google saya diberi tahu bahawa gajah liar memerlukan habitat yang besar dan berterusan. Mereka boleh berjalan di mana-mana dari 20 km hingga 100 km setiap hari.

    Gajah memerlukan kawasan kediaman yang besar-menjangkau dari 150 hingga lebih 30,000 kilometer persegi.

    Kawasan seluas ini memboleh Sang Gajah mencari makanan, air dan kepelbagaian genetik yang mencukupi tanpa memusnahkan persekitaran mereka sendiri.

    Saya belum pernah melihat gajah liar seperti ramai kawan yang bernasib baik dapat melihat gajah melintas di Lebuh Raya Timur Barat berdekatan dengan Jeli. Saya tahu di Kenaboi Jelebu banyak gajah liar yang sekali sekala muncul di pinggir kampung.

    Apabila saya melihat gambar Dara, Amoi dan Kelat yang sedang berdiri di atas simen, hakikatnya untuk saya mereka sebenarnya sedang dikurung.

    Apabila perkataan kurung muncul maka saya teringat kepada diri saya sendiri yang telah di kurung selama tahun di Kem Tahanan Kamunting. Saya dikurung kerana aktiviti politik saya. Saya dikurung di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri – ISA.

    Tapi Dara, Amoi dan Kelat dikurung di Osaka Jepun atas akta apa? Apakah betul mereka dikurung atas keperluan konservasi?

    Konservasi dalam pemahaman saya bertujuan untuk membanyakkan dan mengembangkan zuriat. Apakah Dara boleh bersenggama dengan Kelat di atas simen dalam zoo di Osaka Jepun?

    Soalan saya ini bukan lucah. Sabar dulu kerana ada lagi berita gajah tiga ekor ini yang lebih lucah.. opps maaf.. lebih memeranjatkan. Ini apabila kes DAK ini mula disiasat oleh SPRM.

    Gajah dan SPRM – ini kes apa? Sila ikuti sambungan minggu hadapan.


    HISHAMUDDIN RAIS aktivis politik, penulis dan pengarah filem.

    Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

    Latest Posts

    IKLANShopee Sale

    Mesti Baca

    Follow Facebook Portal Barang Murah