ANALISIS | Sebut sahaja Bukit Pasir, yang terbayang lazimnya barisan kilang perabot terkemuka serta hasil pertanian tempatan yang subur.
Namun, menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16, DUN bermajoriti Melayu di utara Johor ini muncul antara kerusi panas yang wajar diberi perhatian.
Selepas proses penamaan calon selesai semalam, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengesahkan Bukit Pasir menyaksikan saingan tiga penjuru membabitkan penyandang Mohamad Fazli Mohamad Salleh (BN-Umno), bekas Adun Kapt (B) Muhd Najib Lep (PH-Amanah) dan Mohd Idzharruddin Mohd Nasirruddin (PN-Bersatu).
Bagaimanapun, naratif sebenar di Bukit Pasir kali ini bukan semata-mata tentang tiga logo di kertas undi.

Pertarungan itu turut berkisar kepada misteri lebih 5,000 undi yang pernah diraih PAS pada PRN 2022 - angka yang kini menimbulkan persoalan sama ada ia benar-benar undi tetap parti itu, sokongan pengundi atas pagar, atau sebenarnya deposit politik Bersatu yang dipinjamkan kepada calon PAS ketika itu.
Pada PRN 2022, PAS yang bertanding di bawah bendera PN memperoleh 5,850 undi.
BN menerusi Mohamad Fazli menang tipis dalam pertandingan enam penjuru dengan majoriti hanya 198 undi.
Ketika itu, BN-Umno memenangi kerusi berkenaan dengan 32.1 peratus undi, menewaskan PAS-PN yang meraih 31.1 peratus.

Mohamad Fazli memperoleh 6,048 undi, manakala calon PAS-PN, Iqbal Razak, mengekor rapat di kedudukan kedua dengan 5,850 undi. Calon PH, Elia Nadira pula menduduki tempat ketiga dengan 4,676 undi.
Baki undi lain berpecah kepada calon Bebas Najib Lep yang memperoleh 1,860 undi, dan kini kembali bertanding di bawah tiket PH. Seorang lagi calon Bebas, Johar Siraj, mendapat 207 undi.
Calon Pejuang, Mohd Akhiri Mahmood pula sekadar meraih 196 undi daripada keseluruhan 18,837 undi sah.
Sebanyak 381 kertas undi ditolak, manakala 63 lagi tidak dikembalikan daripada 19,281 pengundi yang keluar mengundi, bersamaan 59.85 peratus, dalam suasana pilihan raya pasca pandemik Covid-19.
Faktor Muhyiddin
Namun, tanggapan awal bahawa 5,850 undi itu mencerminkan kekuatan mutlak PAS mula dipersoalkan.
Kajian lapangan mendapati PAS hanya mempunyai sekitar 700 hingga 800 ahli berdaftar di DUN Bukit Pasir.
Ini menjadikan lebihan kira-kira 5,000 undi itu sukar dibaca sebagai sokongan organik PAS semata-mata.

Sebaliknya, ada kemungkinan ia turut mewakili 'undian tidak kelihatan' daripada penyokong dan jentera tempatan Bersatu yang ketika itu setia kepada jenama PN serta faktor Muhyiddin Yassin.
Teori itu diperkukuhkan lagi apabila landskap politik Bukit Pasir berubah ketara hanya dalam tempoh kira-kira lapan bulan selepas PRN 2022.
Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bagi kerusi Parlimen Pagoh, PN-Bersatu mengambil alih penguasaan di kawasan itu dengan meraih kira-kira 45 peratus undi, sekali gus melebarkan kelebihan kepada 10.75 mata peratusan.
PKR-PH pula muncul parti kedua terkuat di kawasan berkenaan dengan 34.25 peratus undi.

Lonjakan mendadak Bersatu itu menguatkan lagi andaian bahawa sebahagian besar undi PAS pada PRN 2022 sebenarnya datang daripada penyokong tegar Bersatu yang dipinjamkan kepada PAS atas dasar setiakawan dalam PN.
PAS tidak meletakkan calon kali ini dan menegaskan jenteranya tidak akan membantu kempen Bersatu.
Namun, Bersatu sebenarnya tidaklah bermula dari kosong, parti itu masih mempunyai talian hayat dan sokongan pengundi teras di kawasan ini.
Berdasarkan data rasmi SPR yang dikemas kini sehingga 31 Mei 2026, DUN Bukit Pasir kini merekodkan 34,142 pengundi berdaftar.
Drama dan percaturan
Daripada jumlah itu, 16,658 pengundi atau kira-kira 48.8 peratus berusia bawah 40 tahun. Ia merangkumi Undi18 dan belia berusia 21 hingga 39 tahun.
Ini bermakna hampir separuh daripada corak pembuangan undi di Bukit Pasir ditentukan generasi baru.
Mengikut statistik rasmi, kumpulan umur 30 hingga 39 tahun menjadi blok terbesar dengan 7,363 pengundi, diikuti kelompok belia berusia 21 hingga 29 tahun seramai 7,160 orang.

Kelompok Undi18, iaitu pengundi berusia 18 hingga 20 tahun, pula merekodkan 2,135 pengundi.
Bagi kelompok pertengahan dan dewasa, seramai 6,019 pengundi berada dalam lingkungan umur 40 hingga 49 tahun, manakala 4,776 lagi berusia 50 hingga 59 tahun.
Untuk kategori veteran dan warga emas, pengundi berusia 60 hingga 69 tahun mencatatkan 3,751 orang, diikuti kumpulan umur 70 hingga 79 tahun seramai 2,042 orang
Pengundi berusia 80 hingga 99 tahun berjumlah 717 orang, termasuk 179 lagi berusia 90 tahun dan ke atas.
Di sebalik angka demografi itu, pertembungan di Bukit Pasir kali ini sarat dengan drama peribadi dan percaturan strategi.
Selepas blok PH dan BN tidak lagi bergerak sebagai satu pasukan dalam PRN Johor, formula mudah untuk menang sudah tidak wujud. Ketiga-tiga parti kini berdepan ujian hidup dan mati yang berbeza.
Najib Lep bukan nama asing di Bukit Pasir. Dia merupakan 'arkitek' yang memenangi kerusi ini pada PRU14 2018 di bawah tiket PAS.

Pada PRN 2022, dia bertanding sebagai calon Bebas dan masih mampu mengutip 1,860 undi - angka yang luar biasa tinggi bagi calon tanpa parti di Johor.
Kini berbaju Amanah-PH, Najib mengharapkan sisa pengaruh peribadi, jaringan lama dan sokongan masyarakat Cina untuk mencipta kejutan.
DUN Bukit Pasir merupakan kerusi majoriti Melayu dengan komposisi pengundi Melayu sekitar 63 peratus, diikuti Cina 33 peratus, India empat peratus dan lain-lain satu peratus.
Sebagai penyandang, Mohamad Fazli pula turun dengan misi paling berat.

Kemenangan dengan majoriti hanya 198 undi pada 2022 meletakkan dia dalam kedudukan defensif.
Tanpa kerjasama PH, cabaran utama Fazli kali ini ialah memastikan seluruh pengundi tradisi Umno keluar mengundi dan tidak beralih arah kepada PN.
Di kem PN, Bersatu mempertaruhkan muka baru, Mohd Idzharruddin, yang lebih mesra dikenali sebagai Idzhar Nasirruddin.
Walaupun dia memikul tugas berat tanpa bantuan aktif jentera akar umbi PAS, realiti geo-politik Pagoh masih memberi kelebihan kepadanya melalui pengaruh kuat Muhyiddin Yassin di kawasan itu sejak 1995.

Namun, cabaran terbesar Bersatu bukan sekadar undi, tetapi logistik.
Di sebalik andaian parti itu memiliki sekitar 5,000 deposit undi asas, persoalan lebih besar ialah sama ada jentera Bersatu mampu bergerak sendirian untuk membawa pengundi ke pusat pengundian tanpa bantuan jentera tradisi PAS yang terkenal cekap.
Bukit Pasir bukan lagi sekadar kawasan perniagaan perabot yang tenang.
Runtuhnya kerjasama PH-BN di peringkat negeri Johor menjadikan kerusi ini medan eksperimen tulen untuk mengukur kekuatan sebenar setiap parti.
Adakah limpahan 5,000 undi kepada PAS pada 2022 sebenarnya milik penyokong tegar Bersatu di Parlimen Pagoh?
Atau adakah perpecahan undi antara BN dan PH akan membuka laluan lebih mudah kepada PN?
Jawapannya terletak pada dua perkara - siapa yang mampu menguasai minda 48.8 peratus pengundi bawah 40 tahun dan siapa paling berjaya mengunci undi teras masing-masing.
Di Bukit Pasir, dua faktor itu mungkin menjadi kunci kemenangan pada 11 Julai nanti.





