PRN JOHOR | Muda mempersoalkan langkah BN untuk membawa lebih ramai golongan “profesional” ke dalam Dewan Undangan Negeri Johor melalui pelantikan, sambil bertanya mengapa gabungan itu tidak meletakkan mereka sebagai calon pilihan raya.
Parti itu juga memberi amaran supaya peruntukan baru itu tidak digunakan sebagai alat tawar-menawar politik selepas pilihan raya negeri.
Presiden Muda, Amira Aisya Abdul Aziz hari ini berkata partinya menjadikan pemansuhan peruntukan itu sebagai salah satu ikrar pilihan rayanya untuk PRN Johor, selepas Dewan Undangan Negeri meluluskan pindaan berkenaan dalam sidang terakhirnya bulan lalu.
“Kalau kamu nak bawa masuk pakar-pakar dalam Dewan Undangan Negeri, kamu sebagai parti besar yang nak bertanding banyak kerusi, yang ada bajet, kamu letaklah pakar-pakar sebagai calon kamu.

"Kenapa kamu nak gunakan Adun lantikan,” kata Amira kepada pemberita selepas sidang media bersama calon Muda bagi Puteri Wangsa, Rashifa Aljunied, di pusat operasi kawasan itu hari ini.
Dewan Undangan Negeri Johor bulan lalu meluluskan pindaan yang membolehkan pelantikan sehingga lima adun tidak dipilih bagi memperkukuh komposisi dan fungsi institusi perundangan itu.
Ketika membentangkan pindaan berkenaan, Menteri Besar sementara, Onn Hafiz Ghazi berkata pelantikan itu akan meluaskan penyertaan dalam Dewan Undangan Negeri serta meningkatkan mutu perbahasan dan penggubalan dasar.
Bagaimanapun, peruntukan baru itu turut mencetuskan spekulasi mengenai rundingan kerusi tidak rasmi antara parti politik menjelang penamaan calon rasmi pada Sabtu.

Pemerhati politik turut membangkitkan kemungkinan wujud permintaan untuk melantik Adun tidak dipilih sebagai balasan kepada sokongan undi, dengan merujuk laporan berhubung “arahan” Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man kepada ahli parti supaya mengundi calon BN di 45 kerusi yang tidak ditandingi parti Islam itu.
Walaupun enggan mengulas dakwaan rundingan membabitkan parti lain, Amira memberi amaran supaya jawatan adun lantikan tidak digunakan sebagai cip tawar-menawar politik.
“Jangan gunakan adunan lantikan ini sebagai currency untuk kamu buat barter trade sesama parti,” kata penyandang Adun Puteri Wangsa itu.
Terdahulu pada sidang media itu, Amira berkata empat calon parti berkenaan, termasuk Rashifa, komited untuk bersuara menentang dakwaan “salah guna kuasa” oleh pentadbiran negeri sebelum ini.
Salah guna kuasa
“Pertama, kita nak tolak enakmen paling tak masuk akal, iaitu kita nak tolak Adun lantikan. Adun lantikan ini adalah enakmen yang paling merendahkan hak rakyat...
"Sebab nanti lepas pilihan raya kita boleh tengok macam mana orang-orang yang bertanding dan kalah, atau tidak dapat bertanding, akan meminta untuk jadi Adun lantikan.
"Mereka akan dapat gaji, pencen, tapi mereka tidak ada kawasan untuk dijaga, atau perlu menjawab pada rakyat. Adun lantikan ini adalah satu bentuk salah guna kuasa sebab dia (kerajaan) boleh dapat lima undi percuma di dalam DUN,” tegasnya.
Rang undang-undang untuk meminda Bahagian Dua, Fasal 15 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor 1985 diluluskan selepas memperoleh sokongan lebih dua pertiga, dengan 40 adun menyokong dan 16 menentang.
[Baca berita asal]





