Pakatan Harapan dijadualkan mengadakan konvensyen pada 17 Mei di Johor, berlatarbelakangkan pilihan raya negeri yang akan diadakan di Melaka dan Johor, serta spekulasi yang semakin meningkat mengenai pilihan raya umum (PRU) ke-16.
Ketua Penerangan PKR, Fahmi Fadzil, Naib Presiden Amanah, Adly Zahari, dan Naib Pengerusi DAP, Syahredzan Johan, mengeluarkan kenyataan bersama hari ini untuk mengumumkan perkara itu.
Pakatan itu kali terakhir mengadakan konvensyennya pada 2022, dan selepas itu ditangguhkan untuk memberi laluan kepada PRU ke-15. Ia kemudiannya dijadualkan semula pada 5 Mac 2023, tetapi terpaksa ditangguhkan sekali lagi disebabkan oleh banjir teruk yang menjejaskan sebahagian besar Johor.
"Bertemakan 'Tekad Madani, Harapan Rakyat', konvensyen ini menjadi platform memperkukuh kesepaduan kepimpinan dan organisasi, menyelaras gerak kerja politik serta memperincikan hala tuju Pakatan Harapan dalam mendepani cabaran semasa negara.
"Sebagai teraju kerajaan Madani, PH terus memberi tumpuan kepada pengukuhan ekonomi negara, kestabilan politik serta keyakinan rakyat menjelang PRN dan PRU ke-16," menurut kenyataan itu.
Pengumuman mengenai konvensyen itu juga dibuat di tengah-tengah perkembangan politik di Negeri Sembilan, dengan Menteri Besar Aminuddin Harun meminta orang ramai bersedia untuk kemungkinan PRN mengejut.
Ini meskipun terdapat usaha oleh kepimpinan tertinggi PH untuk meredakan ketegangan di negeri itu, termasuk sokongan baru kepada Aminuddin yang hilang sokongan Adun Umno.
Pada Rabu, Umno Negeri Sembilan menegaskan bahawa ia akan terus menyokong pentadbiran negeri namun kekal mengisytiharkan kehilangan keyakinan terhadap Aminuddin.





