Perebutan kerusi dewan undangan negeri (DUN) Puteri Wangsa antara komponen Pakatan Harapan (PH) berakhir apabila Amanah bersetuju memberi laluan kepada PKR untuk bertanding dalam kerusi itu pada pilihan raya negeri (PRN) Johor.
Perkara itu dimaklumkan Pengerusi Amanah Johor Aminolhuda Hassan yang menjelaskan keputusan menyerahkan kerusi yang secara tradisinya ditandingi mereka itu kepada sekutu PKR diambil selepas beberapa kali rundingan.
“Tidak mengapa, kami bersetuju dengan kehendak mereka (PKR). Kami mengutamakan kesetiaan dalam gabungan ini.
“Walaupun kerusi ini secara tradisinya milik kami dan Larkin secara tradisinya milik PKR, jika mereka (PKR) masih mahukannya, maka peluang Amanah untuk bertanding di Puteri Wangsa tertutup.
“Mereka boleh buat apa sahaja, kami tidak boleh kata apa-apa mengenainya. Yang penting, kita bertanding secara ‘gentlemen’. Kami serahkan kerusi itu dengan rela hati,” katanya seperti dipetik Berita Harian pada pelancaran jentera Amanah Johor, malam tadi.
Pada 16 Jun, FMT melaporkan Naib Pengerusi PKR Johor, Jimmy Puah sebagai berkata parti itu akan mewakili Harapan di Puteri Wangsa dalam PRN ke-16 akan datang.
Ahli Parlimen Tebrau itu dilaporkan mendakwa perkara tersebut telah dipersetujui oleh rakan gabungan, termasuk Amanah.
Bagaimanapun, pada hari yang sama, portal dalam talian itu memetik Aminolhuda sebagai menafikan bahawa perbincangan dengan PKR mengenai Puteri Wangsa dan satu lagi kerusi DUN telah dimuktamadkan.
Kerusi itu kini disandang Presiden Muda, Amira Aisya Abdul Aziz, yang tidak akan mempertahankannya kerusi tersebut sebaliknya mengumumkan calon penggantinya iaitu Rashifa Aljunied.
Kerusi Puteri Wangsa menjadi titik pertikaian selepas Muda keluar daripada PH, dan Amanah merupakan pihak pertama yang menyatakan hasrat untuk bertanding semula kerusi yang telah “dilepaskan” pada PRN 2022.
Muda membuat penampilan sulung dalam pilihan raya pada PRN Johor 2022 dengan bertanding di tujuh kerusi dan hanya memenangi Puteri Wangsa sebagai sebahagian daripada pakatan longgar pembangkang bersama parti-parti PH.
Johor akan mengadakan pilihan raya pada 11 Julai, dengan pertandingan pelbagai penjuru dijangka berlaku apabila BN dan PH bersiap sedia untuk bertembung di semua 56 kerusi.
Di pihak pembangkang pula meningkatkan persaingan apabila PN berpecah selepas PAS menamatkan hubungan politik dengan Bersatu.





