27.9 C
Kuala Lumpur
Saturday, June 20, 2026
IKLANShopee SaleShopee Sale
More

    Artikel Terkini

    PRN medan Majlis Media uji mekanisme baru banteras berita palsu

    Shopee Sale

    Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan akan menawarkan peluang kepada Majlis Media Malaysia (MMM) untuk menguji mekanisme baharu, bertujuan membanteras kandungan media palsu serta melindungi kepercayaan awam terhadap maklumat semasa kempen pilihan raya.

    Pengerusi MMM Tan Sri Nallini Pathmanathan berkata tarikh pelaksanaan PRN di Johor dan Negeri Sembilan menyediakan persekitaran praktikal untuk menilai dan menambah baik Inisiatif Respons Pantas Pilihan Raya, yang baharu diperkenalkan oleh majlis itu.

    “Apa yang kita pelajari di Johor boleh terus dibawa ke Negeri Sembilan, dengan menambah baik mekanisme itu secara masa nyata,” katanya pada sesi dialog Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil bersama media, di Butterworth, hari ini.

    Program perintis itu menumpukan kepada pengesahan kandungan yang dipalsukan seolah-olah ia diterbitkan organisasi media, termasuk grafik berita rekaan semata-mata, tangkap layar yang dimanipulasi serta laporan yang menggunakan logo media secara palsu.

    Di bawah rangka kerja itu, MMM akan bertindak hanya sebagai penyelaras, manakala organisasi media sendiri akan mengesahkan sama ada kandungan yang dipertikaikan benar-benar berasal daripada platform mereka.

    Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjadi sumber rujukan bagi perkara berkaitan pilihan raya, manakala Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) akan membantu menyebarkan maklumat yang telah disahkan kepada orang ramai.

    “Forum kandungan Malaysia menjadi rakan utama kami dalam kandungan digital, penglibatan platform dan literasi media, manakala Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) serta Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) akan menyediakan maklumat yang disahkan untuk komuniti.

    “Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) pula kekal sebagai agensi sokongan penting apabila sesuatu perkara memerlukan kawal selia, bantuan teknikal atau tindakan lanjut melibatkan platform,” katanya.

    Nallini berkata inisiatif itu tidak bertujuan menentukan kesahihan manifesto politik atau dakwaan kempen, sebaliknya menyediakan mekanisme yang dipercayai untuk mengesahkan sama ada kandungan yang dikaitkan dengan organisasi media adalah sah, sekali gus membantu melindungi keyakinan awam terhadap maklumat yang tersebar semasa tempoh pilihan raya.

    MENARIK:  Keluarga Pannir mahu cabar keputusan k’jaan enggan teruskan siasatan

    Menjelaskan bagaimana mekanisme itu berfungsi, beliau berkata sesuatu grafik yang tidak benar menggunakan logo organisasi media dan mendakwa seorang calon menarik diri, boleh disahkan dalam beberapa minit oleh organisasi berkenaan, sekali gus membolehkan pembetulan dibuat sebelum maklumat palsu itu tersebar lebih meluas.

    Dakwaan palsu berkaitan prosedur pilihan raya juga boleh dirujuk kepada SPR untuk pengesahan dan penjelasan.

    Beliau menyifatkan inisiatif itu sebagai respons praktikal terhadap ancaman yang semakin meningkat daripada kandungan sintetik dan kandungan dijana kecerdasan buatan (AI), yang boleh dihasilkan dengan pantas serta disebarkan secara meluas semasa kempen pilihan raya.

    Majlis berkenaan juga akan melaksanakan kempen kesedaran awam yang mengetengahkan slogan Who Said It? What’s The Source? (Siapa kata? Sumber dari mana?) bagi menggalakkan pengundi mengesahkan maklumat sebelum menerima atau berkongsi sesuatu maklumat itu.

    “Ini bukan arahan untuk tidak bersuara. Ini pelawaan untuk berfikir. Semasa pilihan raya, rakyat mempunyai hak untuk membaca, berkongsi, berhujah dan mengambil bahagian, tetapi penglibatan secara sihat bergantung pada maklumat yang boleh dipercayai.

    “Justeru, sebelum percaya, tanya dahulu Who Said It? What’s The Source?,” kata Nallini.

    Sesi dialog yang diadakan bersempena dengan sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2026 itu turut dihadiri oleh Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Abdul Halim Hamzah dan Timbalan Ketua Setiausaha (Komunikasi Strategik dan Industri Kreatif) Datuk Bahria Mohd Tamil.

    Turut hadir Pengerusi Bernama Datuk Seri Wong Chun Wai, Ketua Pegawai Eksekutif Bernama merangkap Pengerusi Jawatankuasa Kerja HAWANA 2026 Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin, Ketua Pengarang Bernama Arul Rajoo Durar Raj, serta pengurusan kanan organisasi media tempatan.

    Latest Posts

    IKLANShopee Sale

    Mesti Baca

    Follow Facebook Portal Barang Murah