32.4 C
Kuala Lumpur
Sunday, June 21, 2026
IKLANShopee SaleShopee Sale
More

    Artikel Terkini

    Bersatu Johor sedia jalin pakatan pilihan raya dengan parti di bawah IPR

    Shopee Sale

    Bersatu Johor bersedia bekerjasama menerusi pakatan pilihan raya dengan parti-parti yang bernaung di bawah platform Ikatan Prihatin Rakyat (IPR) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan datang.

    Pengarah Pilihan Raya Bersatu Johor, Rashid Hasnon berkata pendekatan itu antara strategi bagi mengelakkan perpecahan undi dalam kalangan parti yang berkongsi matlamat politik yang sama.

    "Kita tidak boleh terlalu berkira untuk bergerak secara bersendirian. Di tempat-tempat yang kita tidak bertanding sebelum ini, mereka boleh membantu dan menyokong pihak yang kita iktiraf dalam pakatan pilihan raya IPR," katanya ketika ditemui baru-baru ini.

    Rashid berkata parti-parti di bawah IPR bukan sebahagian daripada Perikatan Nasional (PN), namun kerjasama pilihan raya boleh diwujudkan tanpa perlu mereka menjadi ahli gabungan tersebut.

    "IPR adalah Ikatan Prihatin Rakyat. Ia terdiri daripada parti-parti kecil yang mungkin mempunyai minat untuk bersama kita, tetapi mereka bukan ahli PN.

    "Tapi, kita tidak boleh sesuka hati menerima mereka sebagai ahli PN. Namun, sekali setiap lima tahun atau empat tahun ketika pilihan raya, kita boleh membentuk pakatan untuk saling menyokong antara satu sama lain," katanya.

    Mengulas kedudukan Bersatu Johor selepas PAS mengambil pendirian memutuskan kerjasama dengan parti itu, Rashid berkata pihaknya mengambil pendekatan tenang dan berhati-hati sebelum membuat sebarang keputusan lanjut.

    "Saya ambil petua daripada beberapa pemimpin yang matang. Kita kena kekal tenang, dapatkan maklumat dan bertindak secara bijaksana," katanya.

    Menurut Rashid, sejarah politik negara menunjukkan PAS sendiri pernah bergantung kepada kerjasama dengan parti-parti lain untuk mengembangkan pengaruhnya di luar negeri-negeri tradisi seperti Kelantan, Terengganu dan beberapa negeri di utara Semenanjung.

    Katanya, Johor masih dianggap kubu tradisi Barisan Nasional (BN), manakala PAS tidak mempunyai rekod kukuh di negeri itu tanpa sokongan gabungan politik yang lebih besar.

    MENARIK:  Menteri minta HRW kongsi data tahanan imigresen diseksa, mati

    "PAS tidak pernah mempunyai rekod ahli parlimen di Johor. Di peringkat DUN pun kejayaan mereka sangat terhad dan sebahagiannya berlaku kerana kerjasama dalam gabungan politik," katanya.

    IPR adalah gabungan politik pembangkang yang ditubuhkan pada 14 Oktober tahun lalu dan diketuai oleh Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin dengan matlamat untuk menyatukan parti-parti pembangkang di negara ini.

    Ia menghimpunkan 11 parti pembangkang di luar blok kerajaan. Selain Bersatu, ia dianggotai PAS, Gerakan, Berjasa, Pejuang, Putra, Muda, Kimma, MIPP, MAP, Iman, dan Urimai.

    Ketika diminta mengulas sama ada dia akan bertanding dalam PRN Johor nanti, Rashid yang yang juga bekas ahli Parlimen Batu Pahat berkata dia menyerahkan kepada pucuk pimpinan untuk menentukannya.

    Ketika ditemui Malaysiakini pada majlis jamuan ringkas bersama petugas jentera Bersatu Batu Pahat, Rashid keberatan untuk mengesahkan atau menafikan sama ada dia akan bertanding dalam PRN Johor kali ini.

    “Saya serahkan kepada pengurusan parti dan tunggu (pengumuman) malam ini (semasa pelancaran jentera Bersatu Johor).

    “Mungkin nama saya tak disebut lagi, mungkin. Saya tak tahu tapi apa pun saya bersedia sebab itu saya pun sudah ada jentera parti,” tambahnya.

    Bersatu dijadual melancarkan jentera pilihan rayanya malam ini di Pusat Perniagaan Bakri, Muar, Johor.

    Pada PRN Johor 2022, Bersatu bertanding di 33 kerusi dan memenangi dua daripadanya, iaitu Bukit Kepong dan Endau, manakala PAS bertanding di 15 kerusi dan memenangi satu kerusi, iaitu Maharani.

    Muda pula bertanding di tujuh kerusi dan memenangi satu kerusi, iaitu Puteri Wangsa.

    Sementara Pejuang bertanding di 42 kerusi, namun ramai calonnya kehilangan wang deposit.

    Gerakan pula gagal memenangi mana-mana daripada lapan kerusi yang ditandinginya.

    Manakala MIPP bakal membuat penampilan sulung pada PRN Johor ke-16 akan datang.

    Latest Posts

    IKLANShopee Sale

    Mesti Baca

    Follow Facebook Portal Barang Murah