Seorang pengasuh didakwa di Mahkamah Majistret di Sepang hari ini atas pertuduhan membunuh seorang kanak-kanak perempuan berusia setahun 11 bulan, yang merupakan anak asuhannya, di Puchong bulan lepas.
Nur Syuhaida Jamalluddin, 33, didakwa membunuh Dhiya Falisha Mustaqim antara 9.31 pagi hingga 11.24 pagi pada 18 Mei lepas di sebuah unit di Apartment Kiambang, Taman Putra Perdana.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun serta tidak kurang 12 sebatan, jika sabit kesalahan.
Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh selepas pertuduhan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Norfarahanim Abdul Halim dibacakan di hadapan Majistret Khairatul Animah Jelani.
Mahkamah kemudian menetapkan 14 Julai ini untuk sebutan semula kes.





