32 C
Kuala Lumpur
Wednesday, July 29, 2026
IKLANShopee SaleShopee Sale
More

    Artikel Terkini

    Trump mohon Mahkamah Agung benarkan perketat peraturan undian pos

    Shopee Sale

    Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump memohon Mahkamah Agung membenarkan pentadbirannya melaksanakan perintah eksekutif yang mengetatkan peraturan pengundian pos dan mewujudkan senarai kelayakan pengundi di peringkat persekutuan hanya beberapa bulan sebelum pilihan raya pertengahan penggal, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

    Jabatan Kehakiman pada Isnin memfailkan permohonan kecemasan bagi menggantung keputusan mahkamah rendah yang menghalang pentadbiran Trump daripada mengumpul data pengundi dan melaksanakan peraturan baharu berkaitan pengundian pos menjelang pilihan raya pada 3 Nov.

    Mahkamah Rayuan Persekutuan sebelum ini mengekalkan keputusan itu yang memutuskan bahawa Trump telah melampaui bidang kuasanya.

    Menurut Mahkamah Rendah, di bawah Perlembagaan AS dan undang-undang persekutuan, negeri-negeri bertanggungjawab mengendalikan pilihan raya.

    Presiden tidak boleh melaksanakan perubahan itu menerusi perintah eksekutif tanpa kebenaran jelas daripada Kongres.

    Pihak plaintif yang kebanyakannya terdiri daripada negeri-negeri yang diterajui Parti Demokrat serta District of Columbia diberi tempoh sehingga 3 Ogos untuk mengemukakan maklum balas terhadap permohonan itu.

    Perintah eksekutif Trump yang ditandatangani pada Mac mengarahkan pihak berkuasa imigresen dan keselamatan sosial AS menyusun senarai semua warganegara dewasa AS yang menetap di setiap negeri.

    MENARIK:  Kes Yusoff Rawther: Polis teliti penghakiman, perbaiki SOP siasatan - IGP

    Perintah itu juga bertujuan mewajibkan Perkhidmatan Pos AS menghantar dokumen pengundian pos hanya kepada pengundi berdaftar serta mengetatkan syarat pendaftaran pengundi, termasuk mewajibkan dokumen bukti identiti dan kewarganegaraan.

    Menurut National Conference of State Legislatures yang bersifat tidak berpihak, pengundi di 36 daripada 50 negeri di AS ketika ini dikehendaki mengemukakan sekurang-kurangnya satu bentuk dokumen pengenalan diri.

    Trump berkata perubahan itu akan menjadikan pilihan raya lebih adil dan menghalang warga asing daripada mengundi.

    Pengkritik pula berkata kes seumpama itu jarang berlaku dan memberi amaran bahawa peraturan baharu itu boleh menafikan hak mengundi pengundi yang layak tetapi tidak mempunyai akses mudah kepada dokumen seperti pasport atau sijil kelahiran.

    Menurut Jabatan Negara AS, hanya kira-kira separuh daripada rakyat negara itu memiliki pasport.

    Semua 435 kerusi Dewan Perwakilan dan kira-kira satu pertiga daripada kerusi Senat akan dipertandingkan pada November.

    Latest Posts

    IKLANShopee Sale

    Mesti Baca

    Follow Facebook Portal Barang Murah