Seorang wanita hamil berusia 21 tahun ditemui maut dalam keadaan menyayat hati selepas dipercayai menjadi mangsa culik sebelum dibunuh di Cali, Colombia.
Artikel Berkaitan: Mondy Tatoo Didakwa Punca Rakan Dibunuh, Angkara Cinta Tiga Segi?
Artikel Berkaitan: Tak Jatuh Dari Bot Tapi Dibunuh? Kes Kematian Tangmo Nida Kembali Hangat, Wujud Dakwaan Pemalsuan Bukti
Pembunuhan kejam

Memetik laporan Daily Mail, mangsa yang sedang hamil lapan bulan itu dilaporkan hilang pada 16 Julai selepas keluar untuk menghadiri temu janji pemeriksaan kehamilan.
Bagaimanapun, mayat mangsa ditemukan beberapa hari kemudian dalam keadaan dibalut dengan selimut, kira-kira enam kilometer dari kediamannya.
Hasil siasatan mendapati mangsa mengalami beberapa kesan tikaman, manakala bayi perempuan yang dikandungnya dipercayai telah dikeluarkan secara paksa dari rahim dan sehingga kini masih belum ditemui.
Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan mangsa menaiki motosikal yang ditunggang seorang wanita yang baru dikenalinya kira-kira dua bulan lalu menerusi sebuah program sokongan untuk ibu mengandung.
Ibu mangsa, Alba Gomez, merayu agar individu yang terlibat memulangkan cucunya yang diberi nama Alahia kerana percaya bayi itu masih hidup.
Saya hanya berharap cucu saya masih hidup.
Jika benar ada individu yang menjaganya, saya merayu supaya kembalikan dia kepada kami.
Sementara itu, polis percaya lebih daripada empat individu berkemungkinan terlibat dalam kes penculikan dan pembunuhan tersebut.
Pihak berkuasa turut menawarkan ganjaran kepada mana-mana individu yang tampil menyalurkan maklumat bagi membantu siasatan.
Kes berkenaan kini disiasat sebagai kemungkinan jenayah pembunuhan berasaskan gender (feminicide).
Sumber: Daily Mail
The post Wanita Hamil Lapan Bulan Maut, Bayi Didakwa Dikeluarkan Dari Rahim Secara Paksaan first appeared on OHBULAN!.





