Dewan Rakyat tidak memerlukan kuasa ketiga atau sebarang ‘kuasa’ lain untuk mendesak penambahbaikan hak rakyat, kata bekas Ahli Parlimen Kapar, Abdullah Sani Abdul Hamid.
Sebaliknya, veteran PKR itu berpandangan, kewujudan blok pembangkang di parlimen sudah memadai untuk membincangkan hal berkaitan kepentingan rakyat di negara ini.
"Parlimen tak perlukan third force, fourth force atau lain-lain force, tak perlu.
“Apa yang parlimen perlu ialah apa pembentangan untuk penambahbaikan hak rakyat dan di situ ada pembangkang dan ada kerajaan.
"Mereka duduk dalam standing committee bincang dan mentelaah isu, kemudian angkat ke Dewan Rakyat untuk dijadikan sebahagian undang-undang,” katanya.
Abdullah Sani yang juga Pengerusi Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga Nasional (Tekun Nasional) ditemui media selepas merasmikan TikTok Shop Live Hub X Tekun di Kuantan, Pahang, hari ini.
Dia yang juga bekas anggota Majlis Pimpinan Pusat PKR ditanya mengenai langkah terbaru diambil bekas dua pemimpin kanan parti tersebut – Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad – yang memilih wadah politik lain beberapa hari lalu.
Melalui parti Bersama, mereka menegaskan mahu menjadi kuasa ketiga dalam politik negara bagi mengimbangi blok kerajaan dan pembangkang.
Abdullah Sani berkata dia tidak tahu apakah perkiraan ahli politik terbabit dan membangkitkan kemungkinan mereka mahu menentang semua langkah yang dibawa kerajaan.
“Itu namanya memudaratkan urusan perahu yang hendak dilayarkan, sama ada dibocorkan atau bocor sendiri," katanya.
Pada masa sama Abdullah Sani menyambut baik keputusan Rafizi serta Nik Nazmi dengan menganggap ia adalah sebahagian daripada ruang demokrasi yang ada di negara ini.
"Negara ini mengamalkan demokrasi, siapa nak tubuh parti terpulang kepada hak masing-masing. Sekarang pun dah ada lebih 70 parti.
"Biarlah (parti baru) tumbuh macam cendawan, rakyat juga yang akan memilih, lagi banyak parti lagi bagus.
“Secara jujurnya, rakyat akan memilih yang terbaiklah, cuma bagi saya, untuk melengkapkan politik kematangan, jangan buat cerita fitnah, menipu, jangan buat cerita propaganda dan pecah belah," katanya.





