Pemimpin Wanita PKR membidas kenyataan Khairy Jamaluddin yang mendakwa Umno adalah parti lebih kuat dan kurang dikritik berbanding pesaingnya seperti PKR dan Bersatu.
Exco Wanita PKR, Farahida Fauzi menyorot bahawa bekas ketua Pemuda Umno itu sendiri tidak berada dalam lingkungan partinya selama bertahun-tahun.
Justeru, dia menyifatkan kenyataan Khairy ibarat menilai dari luar pagar.
"Saudara Khairy perlu sedar, bercakap tentang kekuatan dalaman parti tanpa berada dalam lingkungan parti itu sendiri selama bertahun-tahun ibarat menilai dari luar pagar.
“Nampak dekat, tetapi hakikatnya jauh daripada realiti. Dalam hal ini, apa yang cuba dilontarkan lebih mirip tafsiran peribadi, bukan gambaran sebenar.
"Lebih menghairankan, kenyataan ini secara tidak langsung cuba melagakan hubungan antara Pakatan Harapan (PH) dan BN. Dalam landskap politik semasa yang menuntut kestabilan dan kerjasama matang, naratif sebegini bukan sahaja tidak membantu, malah memberi ruang kepada pihak tertentu untuk mengambil kesempatan.
"Tanpa disedari, percikan yang dilemparkan itu sebenarnya terkena kembali ke muka sendiri. Ia membuka persoalan tentang keutamaan sebenar di sebalik kenyataan tersebut," katanya dalam kenyataan hari ini.
Pada 2 Mei lalu Khairy - yang baru saja diterima kembali bersama Umno selepas disingkirkan pada 2023 - berkata walaupun Umno berdepan tugas sukar untuk mendapatkan semula sokongan rakyat, parti itu masih berada dalam kedudukan yang lebih baik berbanding pesaingnya seperti Bersatu dan PKR, yang menurutnya mengalami perpecahan dalaman yang serius.
Bekas ketua Pemuda Umno itu berkata tidak banyak kritikan didengar terhadap menteri dan timbalan menteri Umno dalam kerajaan sekarang.
“Saya rasa menteri-menteri Umno telah menjalankan tugas dengan agak baik, mereka tidak terlibat dalam sebarang skandal besar atau menunjukkan prestasi yang lemah,” katanya.
Khairy turut merujuk ucapan Naib Presiden Umno dan Menteri Besar Pahang, Wan Rosdy Wan Ismail, yang mengetengahkan pencapaian negeri tersebut serta negeri-negeri lain yang diketuai Umno.
“Saya fikir ucapan Wan Rosdy sangat baik.
“Beliau membandingkan kerajaan negeri yang dipimpin Umno dengan kerajaan negeri lain dan jelas menggambarkan keadaan yang agak memihak kepada Johor, Melaka, Pahang dan Perak.
“Jadi saya fikir ini adalah contoh yang cukup meyakinkan tentang pengalaman, keupayaan untuk kekal kukuh secara dalaman, serta kepimpinan atau negeri yang menunjukkan prestasi yang baik,” tambahnya.
Sementara itu, Farahida juga menafikan dakwaan yang mengatakan PKR berdepan perpecahan serius, yang menurutnya tidak lebih daripada pengulangan retorik lama.
"Perbezaan pandangan bukan tanda rapuh, tetapi cerminan dinamika parti yang hidup dan berfungsi. Yang membezakan ialah keupayaan mengurus perbezaan itu dengan matang, sesuatu yang terbukti terus diperkukuh dalam PKR.
"Namun persoalan yang lebih besar wajar ditanya. Apakah tujuan sebenar kenyataan (Khairy) ini? Adakah ia satu bentuk analisis jujur, atau sekadar usaha mengembalikan relevansi diri dalam gelanggang politik?
“Dalam suasana politik yang semakin matang, rakyat tidak lagi mudah terpesona dengan kenyataan yang bersifat sensasi tetapi kosong dari asas," katanya lagi.
Oleh itu katanya, pandangan Khairy sama sekali tidak boleh dianggap mewakili pendirian rasmi Umno yang mempunyai kepimpinan, struktur dan saluran sendiri.





