Bekas menteri undang-undang Zaid Ibrahim berpandangan impian Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin untuk menjadikan negeri itu sebagai “Dubai kedua” memerlukan anjakan pemikiran dalam kalangan pemimpin PAS.
Menurutnya, perubahan tersebut penting sekiranya Perlis mahu mencontohi transformasi yang pernah dilaksanakan pemerintah Arab dalam membangunkan Dubai.
“Raja Perlis menyatakan tentang potensi besar negeri itu untuk menjadi seperti sebuah Dubai yang lain.
"Mungkin gabungan antara Perlis dan Langkawi yang sudah terkenal boleh dibangunkan semula ke tahap yang lebih tinggi.

“Namun, ini memerlukan perubahan pemikiran secara menyeluruh dalam kalangan pemimpin PAS, sebagaimana para pemerintah Arab mengubah Dubai.
“Jika PAS sentiasa bimbang tentang “maksiat” (aktiviti berdosa dan tidak bermoral), maka mustahil untuk mengembangkan wilayah tersebut secara komersial,” katanya pada hantaran di Facebook, hari ini.
Terdahulu, Malaysiakini melaporkan Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail menyuarakan keyakinan bahawa Perlis mampu muncul sebagai “Dubai Kedua” dalam tempoh beberapa tahun akan datang, sekali gus berperananan sebagai pintu gerbang terbuka kepada negara-negara Asean.
Baginda bertitah negeri itu berpotensi berkembang sebagai pusat dagang, inovasi dan pertemuan ekonomi serantau, bersandarkan kedudukan strategiknya di utara Semenanjung Malaysia yang bersempadan dengan Thailand.

“Saya juga berharap untuk beberapa tahun yang mendatang.
“Jika Dubai mampu dikenali di persada dunia sebagai pintu gerbang terbuka ke Timur Tengah, maka saya yakin negeri Perlis juga mampu muncul sebagai sebuah “Dubai Kedua”.
“Didukung oleh iltizam kerajaan negeri, Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA), Kuskop (Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi) dan kekuatan gerakan koperasi, saya yakin dan percaya Perlis mampu berkembang sebagai pusat dagang, pusat inovasi dan pusat pertemuan ekonomi serantau,” titah baginda.
Zaid turut menyentuh faktor pelancongan, berkata pengunjung asing cenderung memilih destinasi yang memberi ruang untuk mereka berhibur dan menikmati masa lapang.

“Jika PAS bersikap menolak unsur hiburan dan tidak memberi kelonggaran kepada pengunjung dalam cara mereka berbelanja dan menikmati masa, maka impian Raja Perlis itu tidak akan menjadi kenyataan,” katanya lagi.





