Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar berkata dia tidak mampu “memuaskan hati semua orang” ketika mengulas keputusannya melepaskan jawatan nombor dua parti itu.
Nurul berkata, ada pihak menganggap kekalahannya di Permatang Pauh pada Pilihan Raya Umum ke-15, yang sebelum ini menjadi kubu kuat keluarganya, sebagai sesuatu yang tidak boleh diterima.
Malah, ada juga yang tidak berpuas hati dengan keputusannya bertanding jawatan timbalan presiden dan menewaskan Rafizi Ramli dalam pengundian parti tahun lalu.
“Dan bagi sesetengah pihak, mereka juga tidak dapat menerima bahawa saya meninggalkan (jawatan timbalan presiden) pada 2026.
“Kamu tidak boleh puaskan hati semua orang, tapi kamu boleh kekal jujur kepada diri sendiri,” katanya dalam ucapan perasmian Kongres Tahunan PKR di Pusat Perdagangan Antarabangsa Melaka pagi ini.
Selepas ucapannya, media cuba menemubual Nurul Izzah, namun dia enggan menjawab sebarang soalan, termasuk mengenai keputusannya meletakkan jawatan.
Dalam hantaran Facebook pada 6 Ogos lalu, Izzah mengesahkan hasratnya untuk berundur daripada jawatan nombor dua parti itu.

Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil berkata kepimpinan pusat menerima permohonan peletakan jawatan Izzah pada hari yang sama, namun memberikannya cuti sementara bermula selepas Kongres Tahunan PKR hujung minggu ini.
Ahli Parlimen PKR, Hassan Abdul Karim memberitahu Mingguan Malaysia bahawa keputusan Izzah untuk berundur didakwa berkait dengan ketidakpuasan hatinya terhadap pendekatan kerajaan dalam memerangi rasuah.
Keputusan Izzah bertanding jawatan timbalan presiden sebelum ini dilihat mencetuskan ketegangan dalaman PKR, yang turut membawa kepada peletakan jawatan Rafizi sebagai Menteri Ekonomi.
Rafizi kemudiannya meninggalkan parti untuk mengetuai Parti Bersama Malaysia (Bersama), bersama seorang lagi bekas pemimpin PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad.

Krisis dalaman parti itu berterusan apabila Wong Chen, yang telah berkhidmat dalam PKR selama 17 tahun, meninggalkan parti dan mengosongkan kerusi Parlimen Subang untuk menyertai Bersama.
Menurut Wong Chen, pejabat Parlimennya disekat daripada mengakses portal MyKhas yang digunakan untuk mengurus peruntukan pembangunan kawasan.
Wong membantah tindakan itu secara terbuka pada 22 Mei. Seminggu kemudian, Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung mendakwa dia turut kehilangan akses kepada portal MyKhas, diikuti Ahli Parlimen Ampang, Rodziah Ismail pada 6 Ogos.
Lee dan Wong sebelum ini mendakwa tindakan tersebut mempunyai kaitan dengan sokongan mereka terhadap Rafizi, manakala Rodziah juga dilihat sebagai sekutu bekas Ahli Parlimen Pandan itu.





