Tampil di pentas Kongres Wanita dan Pemuda PKR sebagai out going timbalan presiden, Nurul Izzah Anwar hari ini menegaskan beberapa peringatan tentang kompromi, godaan berkerajaan dan betapa mudahnya menjadi pembangkang.
Dia memgambil kesempatan itu bagi berkongsi dua makna – mengikut tafsirannya – kepada perkataan kompromi dan mengingatkan ahli PKR dengan perjuangan parti.
"Ada dua jenis kompromi. Satu kompromi demi kebaikan lebih besar, (contohnya) ketika saya bina jambatan dengan Tun Dr Mahathir (Mohamad) untuk menumbangkan sebuah klektokrasi.
“Satu lagi kompromi (ialah) yang membuka kepada rasuah dan kejahatan yang berakar umbi.
"Jadi, kita perlu menentukan garis merah kita, iaitu perkara-perkara yang tidak akan kita kompromi dan tidak sesekali kita langgar. Kemudian, kita menjalani kehidupan dengan mempertahankan garis merah tersebut.
"Adakah parti kawan – contohnya sampai ke sudah mahu membebaskan seorang kleptokrat. Ini merupakan garis merah.
“Tetapi ia menggunakan perbincangan dan perdebatan dalam soal kompromi, akibat daripada siri rasuah, pelanggaran undang-undang dalam fenomena antara dua darjat ini," tegasnya di Melaka.
Nurul Izzah sebelum ini mengemukakan peletakan jawatan sebagai orang nombor dua PKR namun dilaporkan majlis pimpinan terttinggi parti itu menolak, sebaliknya dia diberikan cuti.
Pertahan kerusi atau nilai
Ia berlaku ketika PKR masih belum berjaya mempertaut hubungan dalaman ekoran pengundian pada tahun lalu yang menyaksikan Rafizi Ramli gagal mempertahankan jawatan Timbalan Presiden PKR. Dia kalah kepada Nurul Izzah.
Elokan langkah terbaru diambil Nurul Izzah itu, seorang daripada Naib Presiden PKR, Saifuddin Nasution Ismail, menjalankan tugas orang nombor dua parti berkenaan.
Dalam ucapan hari ini, Nurul Izzah turut mengingatkan perwakilan supaya menghayati semangat husnuzon (bersangka baik) berbekalkan misi penyatuan ummah sebenarnya sebaliknya bukan atas dasar politik, namun atas dasar keadilan yang perlu dibawa masuk ke dalam parti sebelum dibawa kepada rakyat.
"Pimpinan adalah cerminan, rakyat adalah cerminan pemimpin. Sebab itu saya sering katakan, pemimpinan bukan soal memiliki kuasa, kepimpinan ialah soal memelihara amanah.
“Perbezaan kelihatan kecil, pada perbezaan kecil inilah lahirnya aliran politik yang berbeza.
"Yang satu mempertahankan kerusi, yang satu lagi mempertahankan nilai, pengaruh ini kita boleh warisi malah sesebuah takhta pun. Sejarah membuktikan (ia) boleh diwarisi tetapi amanah tidak boleh,” katanya.

Tambah bekas anggota Parlimen Permatang Pauh itu juga mengingatkan bahawa seseorang yang sanggup menerima amanah, dia sebenarnya membawa tangggungjawab yang beratnya, selain berdepan dengan implikasinya.
"Kita tak perlu cari contoh jauh. Saya sebut (tentang) institusi Tabung Haji dan kerana itulah seluruh perjuangan kembali ke satu soalan yang sama: bagaimana kita khususnya anak muda, wanita memelihara amanah dan tanggungjawab ini adalam institusi negara, dalam institusi parti, dalam diri kita sendiri," katanya.
Justeru, tambah Nurul Izzah lagi, kunci kepada kerajaan pula bukan sesuatu yang dipegang selama-lamanya.
"Jadi ada satu kebenaran yang saya fikir merupakan satu peringatan buat saya juga.
“Kita jarang ucapkan dengan jujur lebih-lebih di pentas sebegini. Kadangkala kita begitu biasa mengkritik sehingga apabila tiba giliran kita memerintah, kita tidak lagi pasti bagaimana kita nak memerintah dengan baik.
"Mengkritik itu mudah, menjadi pembangkang itu memang mudah. Berkerajaan dengan baik, berkerajaan dengan benar (sebaliknya) adalah kerja yang jauh lebih sukar.
"Berkerajaan dengan baik juga menghadapi godaan untuk melakukan perkara yang salah, godaan yang datang berbalut kepentingan jangka pendek, berbalut alasan pragmatik, berbalut bisikan bahawa sekali sahaja tak mengapa.
"Maka soalan yang perlu kita tanya kepada diri kita sendiri setiap kali godaan itu tiba, bisikan syaitan itu tiba, bukan tentang kelicikan taktik tetapi soalan lebih asas: untuk siapa sebenarnya kita berjuang?" katanya.
Dalam perkembangan sama Nurul Izzah turut menyatakan hasrat untuk melihat masa depan PKR yang kalis daripada fraksi atau tangan-tangan ghaib di sebalik kuasa selain mengelak pertelagahan dalaman.
"Saya berdiri di atas pentas Wanita dan AMK bukan mewakili, saya jalankan amanah saya selaku out going timbalan presiden yang mahukan masa depan PKR yang kalis fraksi.
“Kita ini tak mampu kuat sebagai sebuah organisasi kalau wujudnya parti dalam parti, dua nakhoda mengemudi satu kapal, atau pun tangan ghaib struktur kuasa tersembunyi di sebalik kuasa yang zahir.
"Kita juga tak mampu kuat sebagai organisasi selagi tenaga dihabiskan dalam pertelingkahan dalaman. Setiap jam yang kita gunakan untuk berlawan, bertelagah sesama sendiri adalah setiap jam yang tidak kita gunakan untuk memenangi hati rakyat.
“Jadi saya fikir fokus kita membulatkan tekad kepada agenda, merakyatkan ekonomi, bersaing melakukan kebaikan menerusi kemenangan dalam pilihan raya," katanya berkias.
Tanya diri sendiri
Bagaimanapun anak sulung Perdana Menteri Anwar Ibrahim itu tidak memberikan penjelasan lanjut mengenai kenyataan berkenaan.
Nurul Izzah juga menegaskan PKR perlu terus menjadi ‘rumah’ kepada pelbagai jalur pemikiran yang paling berhemah dalam pendekatan, paling progresif daripada pelbagai ras dan kaum.
"Kerana kepelbagaian itulah yang memastikan parti ini tidak pernah kehabaisan jawapan apabila zaman menuntut jawapan baru. PKR kekal menjadi harapan terbaik kita, walaupun kita ada kelemahan.
"Hanya kita perlu beringat sedaya-upaya mengelak daripada bertukar (menjadi) apa yang kita paling benci dengan lawan kita.
“Kita mesti sentiasa berwaspada apabila kita punyai kuasa, tanyalah diri: ‘Adakah saya lakukan semua ini untuk diri saya atau untuk negara atau untuk masyarakat?’.
"Saya rasa sudah tiba masanya untuk kita melihat diri sendiri di cermin.
“Kita perlu bertanya kepada diri sendiri bagaimana kita berjaya mencapai apa yang kita tetapkan untuk dilaksana.
“Ya, sudah tentu kita mencapainya," kata Nurul Izzah lagi.





