Pemimpin DAP, Ramkarpal Singh menggesa parti itu menjelaskan kepada perwakilan pada kongres Ahad ini bahawa DAP masih boleh keluar daripada kerajaan pada masa depan jika kerajaan melanggar “garis merah” parti.
Menurut Timbalan Setiausaha Agung DAP itu, penjelasan tersebut penting supaya undi untuk kekal dalam kerajaan tidak bermakna DAP perlu terus berada dalam kerajaan jika ia memudaratkan kepentingan parti.
“Salah satu perkara yang boleh memudaratkan kepentingan parti ialah jika Umno berkeras mendapatkan pengampunan dan pembebasan bekas presidennya, Najib Tun Razak.
“Sama ada perkara itu melanggar ‘garis merah’ DAP atau tidak, terpulang kepada perwakilan untuk menilainya. Mereka juga sepatutnya bebas memilih untuk keluar daripada kerajaan dalam keadaan itu, walaupun mengundi untuk kekal dalam kerajaan Ahad ini.
“Oleh itu, saya berpandangan bahawa perlu ada sedikit kelonggaran yang membolehkan para perwakilan menilai semula keputusan untuk kekal dalam kerajaan sehingga tamat penggal Parlimen ini, sekiranya mereka memilih demikian pada Ahad ini.
“Sama ada ia dilabel sebagai ‘klausa keluar’ atau sebaliknya, perkara ini sememangnya demi kepentingan terbaik parti,” katanya dalam satu kenyataan.

Lebih 4,200 perwakilan DAP pada konvensyen parti itu di Putrajaya Ahad ini akan menentukan sama ada parti itu perlu kekal dalam kerajaan Persekutuan sehingga tamat penggal.
Pada Isnin lalu, Setiausaha Pengelola Kebangsaan DAP, Khoo Poay Tiong berkata usul berkenaan akan dibawa oleh Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, bagi pihak Jawatankuasa Eksekutif Pusat parti dan akan dibuka untuk perbahasan.
Ia kemudian akan disusuli sesi pengundian, dengan setiap perwakilan diberikan kertas undi untuk mengundi secara rahsia.





