Seorang pemimpin kanan Bersatu hari ini berkata, sepatutnya tidak timbul isu ahli parlimen mempertikaikan status persidangan khas bagi membincangkan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Lembaga Tabung Haji (TH) pada Selasa lalu.
Naib Presiden Bersatu, Mohd Radzi Jidin, berkata pemakluman mengenai perkara itu sepatutnya sudah diketahui semua ahli parlimen melalui surat bertarikh 30 Julai.
Katanya, surat itu dikeluarkan oleh Setiausaha Dewan Rakyat (SUDR) dan memberitahu sidang khas Dewan Rakyat itu dijadual berlangsung pada 11 Ogos.
Dalam surat tersebut juga, tambahnya, dinyatakan bahawa sidang khas itu ialah sesi penerangan daripada menteri berhubung laporan RCI terkait TH.
“Surat itu turut menyatakan bahawa Speaker Dewan Rakyat ‘telah membenarkan ahli-ahli yang berhormat meminta penjelasan dan memberikan pandangan mengenai penerangan daripada menteri’.
“Jadi, cerita bahawa tiba-tiba format mesyuarat khas ditukar jadi sesi penerangan menteri tidak seharusnya timbul kerana perkara tersebut telah dinyatakan di dalam surat yang dihantar oleh SUDR bertarikh 30 Julai 2026,” katanya dalam kenyataan di media sosial.
Mohd Radzi yang juga Ahli Parlimen Putrajaya turut mengiringi kenyataan tersebut dengan gambar surat yang dimaksudkan.
Kenyataan itu tidak ditujukan kepada sesiapa secara khusus, namun jelas terkai dengan tindakan ahli parlimen dari PAS dan Wawasan yang sepakat memboikot sidang khas berkenaan sebelum pembentangan dibuat oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Zulkifli Hasan.
Semak, bincang fakta
Ketua Whip PN, Takiyuddin Hassan, membangkitkan isu peraturan dewan dan meminta sidang berkenaan ditangguhkan kerana Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, tidak hadir.
Ketua Pembangkang – yang juga bekas Timbalan Presiden Bersatu – Hamzah Zainudin pula menganggap sidang khas tersebut diturun taraf sebagai hanya sesi penerangan daripada menteri.
Keadaan itu, dakwa Hamzah, seperti membuang masa kerana pada akhirnya tiada sebarang keputusan atau undian boleh dibuat.
"Ia majlis penerangan, kalau diterang dia nak suruh kita bahas apa? Kalau kata ada perkara atau usul nak dibawa baru kita bahas, ini kena faham,” kata Hamzah.
Menurut Mohd Radzi, Bersatu cuma berpandangan sesi tersebut wajar dilanjutkan kerana tempoh satu hari adalah terlalu singkat.
Justeru, katanya, dia menghantar surat kepada perdana menteri selaku ketu majlis sidang parlimen untuk memohon agar tempoh sidang berkenaan dipanjangkan kepada sekurang-kurangnya dua hari.

“Bagi Bersatu, ruang untuk berbahas, mendapatkan penjelasan dan memberi pandangan dalam isu berkaitan TH amat penting dalam memikul amanah sebagai ahli parlimen.
“Kami membuat persediaan rapi. Setiap daripada kami membaca Laporan RCI Tabung Haji dengan teliti.
“Kami adakan sesi perbincangan untuk meneliti perkara-perkara utama yang hendak disentuh. Fakta-fakta yang ada juga disemak.
“Kami bukan saja ingin melihat tindakan tegas diambil terhadap mereka yang terlibat serta usaha dibuat bagi memperbaiki kelemahan yang ada dalam TH.
“Kami juga mahu perbahasan RCI TH menjadi titik tolak bagi mewujudkan perubahan besar kepada kawal selia untuk semua institusi yang mengumpul dan menjaga dana rakyat.
“Bukan sahaja TH tapi juga institusi lain seperti Lembaga Tabung Angkatan Tentera, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional, Kumpulan Wang Persaraan, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, dan Permodalan Nasional Bhd,” katanya.





